Pertama kali terbabit sebagai pelakon, Adam Ismail mengaku banyak membuat silap dan rakan pelakon hebat seperti Awal serta Siti Elizad banyak membantunya.
Bergelar pemenang tempat ketiga pertandingan program masakan Hero Oven musim kedua, tuah ternyata memihak kepada lelaki bernama Muhammad Adam Mahamed Ismail apabila buat permulaan, dia bergandingan dengan pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari dalam program drama masakan terbaharu terbitan ntv7, Dapur Kongsi.
Adam atau lebih dikenali dengan nama Instagramnya, Adamdidam, 26, teruja, namun pada masa yang sama gementar menanti respons penonton terhadap program yang akan mula ditayangkan bermula 5 Mac hingga 26 Mei depan itu.
“Berbeza dengan Hero Oven, program Dapur Kongsi memerlukan saya memasak dan berlakon pada masa yang sama. Lebih-lebih lagi bekerja dengan Awal Ashaari dan Siti Elizad yang memang sudah hebat berlakon, saya jadi gementar.
“Bagaimanapun, saya banyak mendapat tunjuk ajar daripada Awal dan Elizad. Walaupun banyak kali saya tersilap dialog ketika menjalani penggambaran, mereka banyak bersabar dan membantu.
“Mereka tidak kedekut ilmu dan itu membuatkan saya suka serta jatuh hati dengan dunia lakonan,” kata Adam.
Ditanya tentang resipi yang akan dikongsi olehnya dalam program berkenaan, Adam berkata, antara masakan yang akan ditonjolkan kepada penonton adalah tomyam versinya.
“Kebanyakan resipi yang akan dikongsi dalam Dapur Kongsi adalah hasil daripada perbincangan dengan semua orang yang terlibat. Ada masakan yang merupakan signatur saya seperti tomyam.
“Resipi masakan akan dikongsi pada pertengahan drama atau program berlangsung. Senang cerita, program ini menggambarkan kehidupan dua orang bujang yang kalau mempunyai masalah cinta, mereka memasak,” jelasnya lagi.
Cabaran
Mengulas lanjut, Adam berkata, cabaran paling besar untuk berlakon buat pertama kali sepanjang hidupnya adalah mengawal mimik muka.
“Paling mencabar adalah bagaimana untuk mengawal mimik muka. Misalnya, kalaupun tangan saya melecur saya perlu santai di depan kamera. Pada masa yang sama saya perlu juga bermain dengan unsur komedi.
“Ingin menghafal skrip pun bukan sesuatu perkara yang mudah. Namun, selepas sudah serasi kerana beberapa kali berlakon, kerja menjadi mudah dan kami (pelakon) menjadi kawan. Saya harap rezeki berlakon tidak hanya di sini sahaja,” tutur Adam.
Dapur Kongsi merupakan drama masakan mengisahkan Remy (Awal Ashaari) yang sudah 49 kali gagal dalam cubaan memikat hati wanita. Remy yang kecewa dengan nasibnya telah berjumpa dengan Mia (Siti Elizad) seorang gadis yang menyukai lelaki pandai memasak.
Remy nekad untuk memenangi hati Mia dan mula belajar memasak dengan bantuan rakan serumah bernama Sam (Adam) yang merupakan seorang cef.
Menariknya, setiap resipi yang dimasak adalah menu sihat ala bujang yang disediakan sendiri oleh para pelakon dan akan ditunjukkan dengan terperinci berserta bahan setiap menu supaya boleh dipelajari penonton.
Memandangkan ia menu sihat bujang, ia mudah disediakan. Antara resipi masakan adalah kari ikan, tomyam, kurma ayam, dim sum dan banyak lagi.
Dapur Kongsi turut menampilkan beberapa pelakon dan personaliti popular sebagai artis jemputan pada setiap episod seperti Scha Alyahya, Erma Fatima, Jasmine Suraya, Shuk Hot FM dan cef Zubir.