Komitmen dan tanggungjawab terhadap perniagaan dan keluarga membataskan aktres dan pengacara tinggi lampai, Fouziah Gous, untuk terus aktif di dalam bidang seni selepas berkahwin.
Bukan tidak ada tawaran yang datang, namun semuanya harus ditolak kerana isteri kepada Zhafran Yusof, 35, ini bimbang tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya dan akhirnya menyusahkan pihak produksi.
Selepas kali terakhir muncul dalam drama Aku Di Sisimu untuk siaran RTM tahun lalu, Fouziah kembali ke set penggambaran Tok Adi arahan Rashid Sibir untuk tayangan Astro Oasis, Mac depan.
Akui Fouziah, 35, dia sebenarnya belum bersedia untuk kembali berlakon dan pernah menolak banyak tawaran Rashid Sibir sebelum ini.
"Kalau ikutkan abang Rashid memang banyak offer saya drama bersiri, watak utama, tapi saya terpaksa tolak sebelum ini kerana perlu memberi komitmen tinggi. Memang agak sukar untuk saya menerima watak utama kerana saya perlu berada di set setiap hari.
"Tapi berbeza dengan drama Tok Adi, jadualnya tidak terlalu padat, masa sangat fleksibel dan skrip juga tidak banyak. Jadilah tidaklah rasa tertekan atau kekok bila berada di set.
"Cuma tidak dinafikan ada ketikanya saya agak blur. Malah ramai orang baru di belakang tabir, agak lambat juga untuk saya 'start engine'. Tapi Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik," katanya.
Kali terakhir Fouziah sibuk di set kira-kira awal tahun lalu untuk drama Aku Di Sisimu.
Tambah ibu kepada Muhammad Zeeshan, 2, dan Zaheen Yusof, tiga bulan ini, dia terpaksa bersikap demand sebelum menerima apa-apa tawaran kerana tidak mahu menyusahkan pihak produksi di kemudian hari.
"Anak masih menyusu badan sepenuhnya dan tidak dinafikan bila ada anak kecil, saya agak penat. Lebih-lebih anak kedua ini kerap bangun untuk menyusu, jadi adakalanya saya tak dapat tidur malam.
"Jadi saya takut kalau tak mampu sebab perlu bangun pagi, blur dan macam-macam lagi dalam fikiran saya.
"Sebab kedua pula, perniagaan saya Alhamdulillah tengah naik, secara tidak langsung komitmen di pejabat juga tinggi. Semua benda itu kena fikir.
"Kebetulan penggambaran Tok Adi berlangsung ketika cuti Tahun Baru Cina dan pejabat juga tutup, lokasi penggambaran juga tidak jauh. Jadi dapatlah saya meluangkan masa seketika di set penggambaran.
"Orang mungkin melihat saya demand, tapi saya demand kerana saya tahu macam mana jadual saya dan saya mahu memudahkan kerja serta tidak banyak kerenah bila saya bekerja dengan orang lain," jelasnya.
Sepanjang ketiadaannya di rumah, kedua-dua puteranya dijaga oleh pengasuh dan ditinggalkan bersama ibu mertuanya.
Bahkan ujar Fouziah, sejak anak pertama lagi, dia tidak pernah meninggalkan anak begitu sahaja tanpa seliaan daripada ahli keluarga, biarpun mempunyai pengasuh.