Fazley Yaakob Terima kritikan, bukan cercaan


Mutakhir ini Datuk Ahmad Fadzli Yaakob atau Fazley Yaakob lebih dikenali sebagai cef selebriti, malah kerjaya itu membolehkan dia menjelajah dunia.

Bukan itu saja, kredibiliti sebagai jurumasak profesional diakui ramai sehingga banyak produk tempatan dan asing melamarnya sebagai duta serta menjayakan pelbagai kempen.

Namun, di sebalik kejayaan dikecapi banyak dugaan harus ditempuh penyanyi lagu Asmara Ini dan Kerna Asmara itu.

Terbaru, cara penyediaannya untuk hiasan meja pencuci mulut yang popular dengan tema From Rembau To Paris yang sedang dipromosikan dikritik seorang penggiat seni kulinari dengan mengatakan ia keterlaluan.

Kritikan berbaur kutukan dan hinaan itu dimuat naik oleh penggiat terbabit di laman sosial sehingga ia hangat diperkatakan dalam kalangan pencinta dunia masakan serta netizen.

Sewaktu ditemui baru-baru ini, Fazley berkata, itu bukan kali pertama dia dikritik membabitkan persembahannya dalam bidang itu.

Penyanyi yang pernah membintangi filem Janji Diana dan Gila Bola itu menerima setiap kritikan dengan hati terbuka dengan harapan dapat memperbaiki segala kelemahan yang ada.

“Sebelum ini pernah juga berlaku. Bagaimanapun tindakan penggiat bidang kulinari itu memuat naik kritikannya ke laman sosial saya anggap keterlaluan.

“Dia mengatakan cara persembahan untuk hiasan meja pencuci mulut itu tidak patut. Bukan setakat itu saja, dia juga turut menghina dengan cuba melakukan perkara sama dengan menulis ‘carutan’ menggunakan bahan makanan,” katanya.

Jelas Fazley, apa yang dilakukannya membabitkan hiasan meja hidangan pencuci mulut satu teknik persembahan makanan biasa dan ia sudah dilakukan jurumasak lain di restoran terkenal di di dunia.

“Ikutkan hiasan seperti yang saya lakukan itu kalau di Amerika Syarikat harganya RM250 satu kepala, sedangkan saya hanya buat dengan harga RM30 satu kepala.

“Sebagai jurumasak selebriti, saya cuba beri peluang kepada orang tempatan menikmati hidangan dan juadah yang sama tarafnya dengan restoran terkenal di dunia dengan harga jauh lebih murah.

“Menggabungkan teknik masakan popular negara asing dengan makanan tradisional tempatan pada saya usaha yang baik. Ini kerana kita dapat mengangkat makanan tradisional ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Fazley berkata, dia tidak menyangka penggiat bidang kulinari itu tergamak memburukkan namanya sedangkan sebagai individu yang mendakwa dirinya berpengalaman pasti sedia maklum dan faham apa yang cuba dilakukannya.

Tegasnya, bukan dia tidak boleh dikritik sebaliknya pendekatan yang dilakukan individu terbabit adalah salah dan tidak sepatutnya terjadi.

Apatah lagi individu terbabit menggunakan perkataan kesat dan menulisnya dengan menggunakan bahan makanan.

“Dia boleh saja meninggalkan mesej dan beritahu saya sendiri. Malah, saya tidak keberatan bertemunya untuk sama-sama berbincang dan berkongsi ilmu. Kalau benar cara saya buat itu salah, dia boleh bantu saya dengan menunjukkan cara yang betul.

“Pada saya bidang masakan ini sentiasa berkembang dan ada saja perkara baru yang boleh kita pelajari. Saya boleh belajar daripada dia dan begitu juga sebaliknya. Sama-sama kita berkembang dan menjadi semakin baik. Malah, kalau kena gaya kami boleh bekerjasama,” katanya.



Sama Dengan Cef Wan

Bercerita mengenai pembabitan dalam dunia masakan sehingga berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan cef terkenal tanah air, Fazley berkata, keluarganya banyak mempengaruhinya untuk mendalami bidang itu.

Bercerita lanjut perkara itu, Fazley berkata, sedari kecil ibunya banyak mengajar selok-belok kerja dapur dan memasak. Tambahan pula, ibunya juga guru masakan.

“Arwah nenek dan bapa saya pakar di dapur. Melihat kecekapan mereka memasak buat saya terpengaruh.

“Namun, disebabkan mahu mengejar cita-cita bergelar penyanyi dan pelakon, saya ketepikan dulu minat memasak,” katanya.

Bagaimanapun, selepas dinobatkan sebagai juara program realiti masakan Masterchef Selebriti Malaysia, Fazley berkata, keinginannya untuk mendalami dunia masakan kembali membara.



Dalam usaha mengejar impian baru itu, dia menjadikan Profesor Adjung Datuk Dr Redzuawan Ismail atau Cef Wan sebagai idola.

“Kebetulan laluan kami untuk menjadi tukang masak lebih kurang sama. Selepas belajar jurusan perakuanan, Chef Wan menyambung pengajian dalam bidang masakan di California Culinary Academy, San Francisco.

“Saya pula belajar masak di Le Cordon Bleu di Paris, Perancis dan meneruskan kerjaya sebagai tukang masak. Alhamdullilah, pelbagai anugerah diraih apabila saya menceburi bidang ini,” katanya.

Disebabkan itu juga, Fazley mahu bertemu Cef Wan untuk berguru dan bertukar pendapat.

Post a Comment

Previous Post Next Post