Zur Eda Terus menyanyi selagi sihat


Pada zaman kegemilanga­nnya dulu pada era 1980-an, Zur Eda pernah mendapat gelaran ‘Sade Malaysia’ kerana wajahnya dikatakan seiras penyanyi R & B dan soul dari England, Sade.

Sepanjang tiga dekad berkecimpung dalam bidang nyanyian, pemilik nama sebenar Zuraidah Mokhtar ini cukup dikenali dengan rangkaian lagu hitnya seperti Kelmarin, Pelitaku dan Lama Tak Jumpa yang popular hingga hari ini.

Malah, pada usia 52 tahun, penyanyi yang seangkatan dengan Rohana Jalil, Norsheila Amin, Ibnor Riza dan Salwa Abd Rahman ini masih aktif memenuhi undangan persembahan.

“Jika dulu saya menyanyi di kelab, kini tidak lagi. Saya juga banyak memenuhi undangan persembahan daripada pihak korporat mahupun kerajaan.

“Saya masih terbabit dalam bidang nyanyian cuma kurang publisiti saja. Oleh itu, kemunculan dalam Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) lalu turut memberitahu peminat saya masih terbabit dalam bidang nyanyian,” katanya.

Selepas GV3, Zur Eda percaya ia masa yang tepat untuk muncul dengan single terbarunya berjudul Kau Permataku yang dilancarkan pada penghujung September tahun lalu bagi mengubat kerinduan peminat.

Kali terakhir Zur Eda menghasilkan single ialah Kau Pelitaku yang diberi nafas baru pada 2006.

“Alhamdulillah, saya dilimpahkan rezeki dengan kelahiran cucu pertama, Siti Aishah tahun lalu dan single baru ini hadiah untuk cucu dan peminat.

“Saya akan terus menyanyi selagi dianugerahkan kesihatan yang baik. Saya juga bersyukur kerana suami, Zulkifli Mohd Yusoff yang memahami dan merestui pembabitan dalam karier seni sejak dulu.

“Rumah tangga kami juga bahagia sejak 30 tahun dulu,” katanya yang turut memiliki dua anak.



Tidak takut tua

Selepas pulih sepenuhnya daripada masalah jangkitan kuman pada buah pinggang pada Julai 2016, Zur Eda mengakui dia kini mengutamakan penjagaan kesihatannya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan tahap kesihatan sekarang. Selain jaga pemakanan, banyak minum air kosong, saya juga sentiasa berfikiran positif serta mengelakkan tekanan,” katanya.

Zur Eda juga tidak percaya dengan suntikan ‘botoks’ untuk mengelakkan penuaan.

“Saya tidak takut kedutan dan proses penuaan kerana ia fasa semula jadi dalam hidup kita.

“Saya ingin menikmati kehidupan ini dengan gembira bersama keluarga kerana bukan semua orang dapat menikmati fasa usia emas ini,” katanya.

Sebagai penghibur berpengalaman, Zur Eda juga melihat setiap kritikan netizen di laman sosial dari sudut positif.

“Sebab itu, saya tidak cepat melatah apabila menerima kecaman gelaran ‘Mak Lampir’ pada persembahan GV3 dulu. Wajah saya nampak begitu kerana teknik solekan dan bukan kerana saya buat perubahan pada wajah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zur Eda juga muncul dengan produk minyak wangi jenama sendiri melalui kerjasama AJ De’ Parfum.

“Saya sudah lama ingin menghasilkan produk minyak wangi sejak hujung 2016. Ia berjaya direalisasikan dengan kerjasama bersama pihak AJ De’ Parfum.

“Saya juga turun padang untuk mempromosikan minyak wangi ini ketika sesi bertemu peminat,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post