Bagi pelakon dan model, Ahya Rosli, pengalaman sewaktu menunaikan umrah penghujung tahun lalu telah membuka lembaran baharu dalam hidupnya yang selama ini dirasakan telah jauh daripada jalan Allah SWT.
Menyifatkan dia adalah antara mereka yang bertuah kerana dijemput ke Tanah Suci Mekah, lelaki berusia 31 tahun itu sedikit sebak mengenangkan momen berada di hadapan Kaabah yang tidak ternilai nikmatnya.
Kata pelakon Tanda Putera itu lagi, dia sudah terlalu lama lalai dengan tanggungjawab sebagai seorang muslim dan berasakan sudah tiba masanya dia mengubah gaya hidup yang mendekatkan diri dengan Tuhan.
Tambah Ahya sewaktu ditemui pada Pencarian Gadis Panca NR di Dewan Utusan Melayu baru-baru ini, dia juga sempat menitipkan doa untuk dipertemukan jodoh dalam masa terdekat sepanjang berada di Mekah memandangkan dia sudah melepasi usia 30 tahun.
KOSMO!: Bolehkah Ahya berkongsi pengalaman mengerjakan umrah penghujung tahun lalu?
AHYA: Ia suatu pengalaman yang tidak akan dilupakan seumur hidup saya. Sepanjang 12 hari berada di sana, saya banyak membuat refleksi diri dan menyedari betapa lamanya saya lalai dalam mengejar keseronokan hidup.
Saya mengaku bahawa bacaan al-Quran tidak lancar dan sebelum ini solat juga tidak terjaga sempurna. Oleh sebab itu, saya berazam untuk memperbaiki semua itu apabila kembali ke tanah air.
Apakah perubahan paling ketara yang berlaku kepada anda sejak pulang ke Malaysia?
Saya menjadi seorang yang lebih penyabar dan tidak cepat marah. Jika dahulu, saya seorang yang baran dan suka mengeluarkan kata-kata kurang enak apabila sedang marah. Sekarang, saya banyak bertenang dan tidak terlalu mengikut emosi. Saya juga sudah menanamkan azam untuk lebih bersederhana dalam hidup dan enggan terlalu mengejar kekayaan dunia semata-mata.
Memandangkan anda memberitahu turut berdoa untuk jodoh sewaktu di sana, adakah itu menandakan anda akan berkahwin dalam masa terdekat?
Jika Allah perkenankan, saya memang sudah bersedia untuk berumah tangga. Lagipun saya sudah 31 tahun, jadi memang tiada masa untuk main-main dalam soal cinta. Saya harap khalayak juga mendoakan yang terbaik untuk saya.
Jika tidak keberatan, boleh anda jelaskan status anda dengan produser terkenal, Datuk A. Aida?
Kami dalam proses mengenali hati budi dan baru beberapa kali keluar bersama. Apa yang membuat saya kagum dengan dia ialah kematangan dan pengalaman hidupnya yang menjadikan A. Aida seorang wanita kuat.
Malah, dia juga banyak berkongsi ilmu perniagaan dan tidak keberatan membimbing saya tentang cara bergelar usahawan berjaya.
Bilakah anda mahu membawa hubungan ini ke fasa lebih serius?
Itu bukan bawah kuasa saya kerana semua kerja Tuhan, namun buat masa sekarang, ia masih terlalu awal. Kami perlukan masa untuk lebih yakin dengan diri masing-masing tetapi saya perlu nyatakan bahawa saya serius berkawan dengan A. Aida. Jarak umur kami bukan suatu masalah dan ibu saya, Normah Damanhuri juga tidak mempunyai sebarang halangan.
Anda sebelum ini rapat dengan selebriti Zulin Aziz, adakah hubungan dengan A. Aida menjejaskan persahabatan anda berdua?
Saya dengan Zulin rapat seperti adik-beradik, cuma ada peminat salah sangka bahawa kami sedang bercinta. Hubungan saya dengan Zulin masih baik dan perkenalan dengan A. Aida tiada kena-mengena dengan dia. Saya pasti dia turut gembira jika saya gembira.