Rezeki berganda Aishah


Sewaktu dinobatkan sebagai juara pertandingan realiti nyanyian popular, Gegar Vaganza 4 (GV4) sekitar bulan Disember tahun lalu, pelantun lagu Janji Manismu itu pernah mengakui tidak mahir mengendalikan akaun Instagram.

Aishah yang sebelum ini menjalani kehidupan sebagai seorang penyanyi dan banyak memenuhi jemputan nyanyian pada majlis-majlis tertentu tanpa sebarang percikan populariti juga mengakui tidak pernah mempunyai kelab peminat sendiri.

Bagaimanapun, itu cerita lama. Sejak menyandang gelaran juara GV4, ternyata kehidupan Aishah berubah 100 peratus.

Dalam limpahan sinar populariti yang semakin dikecapi, terpancar jelas kebahagiaan pada wajah pemilik nama sebenar, Wan Aishah Wan Ariffin apabila kehadirannya dalam arena hiburan tanah air masih diraikan peminat pelbagai lapisan usia.

“Sebenarnya saya masih aktif bernyanyi biarpun hampir tujuh tahun tidak muncul di kaca televisyen. Dalam tempoh itu, saya banyak memenuhi undangan nyanyian di majlis-majlis tertentu.

“Ramai yang terkejut apabila melihat saya muncul semula. Pun begitu, saya tetap terharu kerana dalam usia sebegini orang masih boleh menerima saya untuk kembali aktif dalam industri,” kongsinya gembira.

Ditemui sempena majlis meraikan Aishah di Firezone Star, Melawati Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini, Aishah begitu teruja berkongsi perihal kelab peminatnya yang dinamakan Aishah Fans and Family Club.

Dengan penuh jujur, kongsi Aishah, kelab peminat yang sudah mempunyai 70 orang ahli berdaftar itu mula ditubuhkan sejak dia menyertai GV4.

“Dahulu memang tiada kelab peminat seperti ini. Saya sekadar menyanyi dalam undangan nyanyian dan selepas itu bergambar kenangan dengan mereka.

“Sekarang zaman sudah berubah. Seronok mempunyai kelab peminat sendiri kerana boleh mengetahui maklum balas mereka tentang persembahan.

“Dari sini juga saya tahu masih mempunyai peminat. Mereka terlalu fanatik sehingga mengalahkan saya kerana mampu mengingati semua lirik lagu dan mempunyai koleksi album yang pernah dihasilkan,” katanya sambil tertawa.



Ditanya apakah perubahan lain yang dinikmati selepas tamat GV4, sambil berjenaka Aishah memberitahu, dia kerap berjumpa dengan pekerja khidmat penghantaran barang.

“Setiap hari posmen tidak pernah gagal menghantar barang yang diberikan peminat ke rumah saya. Sehinggakan, mereka sudah tahu nombor kad pengenalan saya.

“Setiap hari juga saya akan menerima hadiah penghargaan daripada peminat. Kadangkala saya juga menerima produk daripada peniaga dalam talian yang mahukan saya membuat reviu untuk barangan mereka. Saya tidak kisah kerana dapat membantu mereka berniaga,” tuturnya tersenyum.

Single

Berkongsi soal perkembangan terkini, wanita berusia 53 tahun itu dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah single baharu.

Berharap dapat membawakan sebuah lagu balada yang mampu mengembalikan memori peminat, Aishah memilih untuk mendapatkan khidmat komposer Sir Khan bagi lagu baharunya.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Sir Khan dan dia bersetuju untuk mencipta sebuah lagu untuk saya. Tajuknya belum ada lagi tetapi mungkin saya sendiri akan menulis liriknya nanti.

“Sebenarnya saya terbuka untuk menyanyikan apa jua genre lagu. Bagaimanapun, jika boleh saya inginkan sebuah lagu balada sebagai hadiah kepada peminat selepas lapan tahun tanpa sebarang karya,” kongsinya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post