AN17 tanda aras baharu dunia nasyid


Menyaksikan persembahan dengan lantunan vokal luar biasa milik Fadzli Far East, bagaikan sudah dapat menduga dia bakal diangkat sebagai juara dalam Anugerah Nasyid 2017 (AN17) yang berlangsung penuh gemilang pada malam Sabtu lalu.

Ternyata, percaturan lelaki kelahiran Kulim, Kedah yang memasukkan unsur taranum serta penggunaan bahasa Tamil sebagai kelainan pada awal persembahan bukan sahaja memukau seisi Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, malah berjaya memancing hati para juri.

Lantas, pentas AN17 yang kembali hangat selepas dua tahun berehat pada malam itu menyaksikan kemenangan besar buat Fadzli.

Lebih manis, dia bukan sahaja menyandang gelaran juara AN17 malah turut merangkul Anugerah Vokal Terbaik, Anugerah Persembahan Terbaik serta Anugerah Artis Solo Pilihan.

Bersyukur atas kemenangan yang diraih, penyanyi berusia 42 tahun itu menyifatkan rezeki kemenangannya sebagai hasil usaha bersama dengan insan kesayangan yang tidak jemu menyokong perjalanan seninya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan begitu teruja dengan kemenangan ini. Sesungguhnya ia bukan usaha saya seorang tetapi hasil kerjasama bersama keluarga dan rakan-rakan lain.

“Kemenangan ini menjadi semangat untuk saya terus menghasilkan karya terbaik dan berkualiti, terutamanya dalam industri nasyid ini,” kongsinya penuh gembira.

Meraih kemenangan menerusi lagu Syahadah yang liriknya ditulis oleh Ito Lara dan sentuhan muziknya sendiri, Fadzli membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, kepingan emas bernilai RM15,000, sebuah trofi dan sijil penghargaan.

Hadiah bagi Anugerah Vokal Terbaik dan Anugerah Persembahan Terbaik pula adalah wang tunai RM1,500 dan kepingan emas bernilai RM1,000 untuk setiap kategori. Untuk kategori Artis solo pilihan pula dia membawa pulang wang tunai RM1,000 dan kepingan emas bernilai RM1,500.

Kekal nama

Mula bergerak solo sejak dua tahun lalu, sengaja kemudian Fadzli ditebak soal penggunaan namanya yang sehingga kini masih melekat dengan nama kumpulan asalnya iaitu Far East.

Kata Fadzli, dia begitu selesa dengan gelaran berkenaan dan tidak akan menukarnya biarpun sudah berjaya mengukuhkan nama sebagai juara AN17.

“Saya bermula dalam dunia seni sejak tahun 2001 bersama kumpulan Far East. Saya juga merupakan generasi pertama dalam kumpulan itu dan sudah begitu dikenali dengan nama Fadzli Far East.

“Kemenangan ini tidak akan membuatkan saya bertukar kepada nama lain kerana sudah selesa dengannya. Kumpulan Far East juga tidak kisah, sebaliknya mereka sering memberikan sokongan kepada saya biarpun bergerak solo,” terangnya yang turut mempunyai dua single solo berjudul Lahad dan Walid.

Bercakap soal penggunaan bahasa Tamil yang digunakan pada awal persembahan Fadzli, sambil tersenyum kongsi lelaki itu dia sudah mempunyai tujuh buah lagu motivasi dalam bahasa Tamil.

Bagaimanapun, lagu yang dirakamkan di Malaysia dan mendapat sentuhan komposer di India itu belum lagi dilancarkan.

“Saya mempunyai kenalan iaitu seorang usahawan keturunan India. Dia begitu gemar mendengar alunan azan dan lagu-lagu nasyid sehingga menawarkan diri untuk menaja saya mempelajari bahasa Tamil.

“Saya menganggap ia sebagai cabaran dan cuba mempelajari bahasa berkenaan selama setahun. Alhamdulillah, dengan bantuan kenalan itu, saya sudah mempunyai tujuh buah lagu motivasi dalam bahasa Tamil.

“Pun begitu, ia masih dalam perbincangan sama ada akan dilancarkan dalam Malaysia atau di negara India sahaja,” jelasnya yang pernah diundang ke India untuk mengadakan persembahan nyanyian.



Tanda aras

Dalam pada itu, lagu Salam nyanyian Lah Ahmad pula selesa menyandang gelaran naib juara AN17. Menurut bekas kumpulan V.E atau Versus Of Euphonious itu, dia tidak menyangka lagu berkenaan berjaya mendapat tempat di hati juri.

Ujar pemilik nama penuh Abdullah Ahmad itu lagi, ketika menghasilkan lagu berkenaan, dia tidak pernah memasang niat untuk meraih populariti atau sebarang kejayaan. Sebaliknya, tujuan dia mencipta lagu itu sebagai salah satu cabang ibadah.

“Tidak terlintas langsung niat untuk meraih populariti atau kemenangan semasa menghasilkan lagu ini. Bagaimanapun, apa yang boleh saya kongsikan, segala proses menyiapkan lagu ini dipermudahkan Allah.

“Dalam lagu Salam, saya hanya mahu memberi suntikan semangat buat seluruh pendengar agar mereka merasakan kemenangan sentiasa berpihak kepada seluruh umat Islam di dunia,” terangnya.

Mengakui selesa bertukar imej daripada penyanyi hip hop kepada ketuhanan, tambah Lah lagi, dia akan meneruskan perjuangan menghasilkan lagu-lagu nasyid yang mempunyai unsur urban pada masa hadapan.

“Saya selesa dengan genre muzik sekarang. Biarpun tidak berpakaian seperti ustaz, namun apa yang penting adalah pemahaman yang kukuh terhadap agama Islam.

“Begitu juga halnya dengan penghasilan muzik. Saya percaya untuk menarik perhatian pendengar, ia perlu menepati selera generasi sekarang, sekali gus memberi impak dalam hati mereka,” terangnya.

Sementara itu, bagi bekas juara Anugerah Nasyid 2014, Azmee Abdul Manaf atau Daqmie pula tidak menyangka lagu Jalan Syahadah dipilih menduduki tempat ketiga pada penganjuran kali ini.

Menyifatkan lagu berkenaan sebenarnya tidak menepati ciri-ciri untuk bergelar juara, lelaki berusia 47 tahun itu mengakui terkejut apabila namanya diumumkan.

“Sejujurnya saya masih lagi terkejut dengan kemenangan ini kerana dari awal sudah menjangka ia tidak akan mendapat tempat kerana lagu Jalan Syahadah tidak menepati ciri-ciri untuk menang.

“Ia sekadar sebuah lagu yang saya cipta untuk memberi penghargaan tanda berterima kasih kepada seorang ustaz yang banyak berkorban untuk menyebarkan agama.

“Kemenangan ini menyuntik semangat saya untuk terus berkarya. Saya berharap anugerah seperti ini dapat diteruskan kerana menjadi penanda aras baharu dalam industri nasyid Malaysia,” terangnya.

Terdahulu, pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 dan RM5,000, kepingan emas bernilai RM13,000 dan RM6,000, trofi serta sijil penyertaan.

Antara kategori lain yang turut dipertandingkan adalah Anugerah Lirik Terbaik milik Hafiz Hamidun menerusi lagu Penyelamat, Anugerah Artis Baru Terbaik (Kumpulan Simfoni, lagu Ana Muslim) dan Anugerah Muzik Video Terbaik (Kumpulan Al Manna, lagu Ajarkan Aku Setia).

Kumpulan UNIC pula berjaya memenangi kategori pilihan pendengar dalam Anugerah Lagu Pilihan dan Anugerah Artis Duo/Berkumpulan Pilihan menerusi lagu Syamail Muhammmadiah.

Keputusan pada malam itu diadili 100 peratus oleh juri profesional terdiri daripada Farihin Abdul Fattah selaku ketua juri, Rozman Shafie (LY), Amran Omar, Norkhayati Mohd Hashim (Baiduri), Siti Hajar Ismail dan Juliza Adzlizan Abdul Rafar.

Dendangan lagu Syahadah yang begitu memukau sambil dimuatkan dengan ilmu penghayatan taranum membawa kemenangan besar buat Fadzli Far East, sekali gus mengangkat dirinya sebagai juara Anugerah Nasyid 2017.

Post a Comment

Previous Post Next Post