Shukri Yahaya elak terlebih mesra


Mengenali lelaki bernama Mohd. Shukri Yahaya, dia boleh dikategorikan sebagai pelakon yang tidak banyak kerenah dan memiliki rekod bersih kontroversi sejak menjejakkan kaki ke dalam industri tujuh tahun lalu.

Bermula sebagai pelakon tambahan, hero pujaan hingga bergelar suami dan ayah penyayang, sikap Shukri yang sentiasa merendah diri walaupun dilambung populariti menjadikan dia antara selebriti yang dihormati peminat.

Namun begitu, reputasi positif lelaki berusia 30 tahun itu tercalar apabila namanya dikaitkan dengan satu percubaan mahu memikat seorang wanita menerusi laman WeChat sekitar pertengahan tahun lalu.

Perkara itu menjadi tular dan hangat diperkatakan meskipun Shukri menafikannya. Malah isterinya, Siti Nurfatihah Adnan atau Tya turut memuat naik status dalam laman Instagram yang menyokong si suami dan berharap si penyebar gosip itu bertaubat.

Isu itu akhirnya senyap dan lenyap, namun ia secara tidak langsung memberi kesan tersendiri buat bapa kepada Aaira Ameena ini. Selepas keadaan menjadi lebih tenang, Shukri juga ‘hilang’ daripada radar dan sukar untuk ditemui pada majlis hiburan serta sukar diajak untuk sesi fotografi.

“Saya akui tahun lepas seperti senyap sebentar daripada industri namun bukan kerana merajuk atau terasa hati tapi saya sibukkan diri dengan kerja. Saya penuhi masa bersama keluarga dan kawan-kawan rapat kerana trauma untuk beramah mesra dengan individu yang kurang dikenali.

“Saya risau jika gosip yang kononnya saya nakal dengan perempuan dan suka memikat wanita sesuka hati berulang semula.Sejujurnya waktu itu juga saya tidak mahu dengar soalan sama berkenaan isu itu kerana apabila ia asyik diulang-ulang, terasa seperti saya benar-benar bersalah,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi Surf This Love (STL) di Studio Utusan baru-baru ini.



Dikawal isteri

Tempoh mendiamkan diri Shukri hampir enam bulan pada tahun lalu turut dikatakan kerana dia kini dikawal oleh isteri. Faktor utamanya tentulah disebabkan kontroversi yang terjadi. Dia juga tidak dibenarkan keluar bersendirian.

Mendengar hal itu, dia hanya tertawa besar sambil memberitahu bahawa setakat ini, dirinya masih bebas untuk pergi ke mana-mana dan keluar bekerja atau berjumpa kawan seperti biasa.

Namun, pemenang Aktor Terbaik Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2017 itu mengakui kontroversi itu memang menguji keutuhan kepercayaan mereka suami isteri, namun bersyukur kerana ia akhirnya menjadikan kasih sayang antara mereka lebih menebal.

“Tipulah jika Tya langsung tidak marah, namun kami berbincang dengan baik dan saya menerangkan setiap apa yang berlaku kepadanya. Dia masih percayakan saya seperti dahulu dan tidak pernah masuk campur dalam urusan kerja saya.

“Saya juga mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati dalam bergurau dengan orang terutama jika mereka bukanlah yang rapat dengan saya. Saya akui saya memang nakal namun bukan nakal perempuan. Saya nakal, mengusik orang sahaja,” tambahnya sambil meraup muka perlahan-lahan.

Tambah Shukri lagi, dia kini masih trauma untuk memuat naik aktiviti di luar konteks waktu bekerja dalam laman sosial kerana bimbang ada pihak yang cuba mengambil kesempatan atas perkongsian itu.

Sehingga kini, jika Tya atau dia memuat naik foto bersama, masih ada pembenci yang cuba membuat provokasi bagi menimbulkan syak wasangka antara mereka berdua.

“Saya tidak faham mengapa wujud orang yang sanggup mencipta berpuluh-puluh akaun palsu hanya sekadar untuk menulis komen-komen negatif dalam laman sosial orang lain.

“Ada masanya isteri terkesan juga, namun saya sering menasihati dia agar tidak melayan manusia yang cetek pemikiran seperti itu. Apa yang penting kami berdua saling percaya,” tuturnya lagi.


Bosan jadi comel

Selesai sesi meluahkan isi hati yang terbuku, perbualan diajak ke topik yang lebih serius iaitu berkenaan hal kerjayanya. Bakal muncul dengan filem terbaharu STL sekitar pertengahan Februari depan, buat pertama kali Shukri tampil sebagai hero di layar lebar. Akuinya, dia tidak sabar melihat reaksi penonton.

Jika dalam kebanyakan drama dia sering membawa karakter suami penyayang, lelaki yang romantis atau kekasih yang setia, watak Billy dalam STL bakal menampakkan sisinya yang lebih berbeza. Penampilannya juga tidak rapi tetapi dia tampil dengan berambut panjang dan sedikit serabai.

Hal ini kerana karakter Billy yang merupakan seorang peluncur air dan tinggal di tepi pantai memerlukan Shukri bergaya dengan lebih santai dan bukan seperti anak orang kaya berpangkat besar seperti biasa.

Kata lelaki berlesung pipit itu, dia sebenarnya gembira apabila mendapat peluang berlakon di luar kelaziman watak klise kerana dapat mencabar diri melakukan sesuatu di luar zon selesa.

Bosan membaca komen-komen peminat yang majoriti hanya sekadar memuji ketampanan rupa parasnya, Shukri mencari respons yang lebih memfokuskan kepada keupayaan lakonan berbanding kecomelan wajah.

“Saya suka membawa watak antagonis seperti Andainya Takdir yang menyaksikan saya menjadi lelaki kaki pukul kerana ia memberikan satu kepuasan yang berbeza untuk saya sebagai pelakon.

“Bukan mengatakan membawa watak hero romantis itu senang tetapi sekali-sekala saya mahu juga dinilai atas kemenjadian watak lakonan yang berlainan daripada yang selalu saya bawa,”katanya menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post