Rabbani jawab dakwaan enggan sertai GGV


Pemilik Al Fajr Travel & Tour, Osman Ahmad (empat dari kiri), Asri (tiga dari kiri), Azadan (tiga dari kanan) bersama anggota Rabbani bergambar usai pelantikan sebagai ikon pakej umrah dan ziarah syarikat berkenaan baru-baru ini.

Tahun lalu, program realiti nyanyian Gema Gegar Vaganza (GGV) diperkenalkan dan menobatkan kumpulan UNIC sebagai juara sulung.

Justeru, untuk musim akan datang, banyak peminat pastinya mahukan kumpulan-kumpulan nasyid handalan lain, khususnya Rabbani muncul sebagai memanaskan pentas persaingan.

Mewakili Rabbani, Asri Ubaidullah selaku ketua kumpulan bagaimanapun mempunyai pandangan tersendiri tentang penglibatan mereka dalam program yang mencetuskan fenomena tersebut.

“Sebenarnya, kami belum membuat keputusan, namun selepas berbincang nampak gayanya mungkin tidak untuk Rabbani bertanding dalam program tersebut.

“Bagaimanapun, itu tidak bermakna kami tidak menyokong rakan-rakan lain yang berhasrat untuk bertanding.

“Terlibat sebagai artis jemputan mungkin kami tidak mempunyai masalah, namun bertanding, tidak rasanya. Sebagai ketua kumpulan, saya tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada ingin menyertai atau tidak tetapi buat masa sekarang, tiada hasrat untuk ke arah itu,” jelas Asri Ubaidullah.

Rabbani turut dianggotai oleh Zulkifli Azman, Rahmat Shafie, Rithauddin Yakob, Mohd Loqman Abdul Aziz, Azadan Abdul Aziz, Nazrul Azhar Tamrin dan Afendi Sahabuddin.



Bukan takut

Ditanya tentang alasan tidak mahu bertanding dalam GGV, Asri bertegas, Rabbani bukan takut kalah dengan mana-mana penyanyi nasyid lain.

“Bukan kerana sesiapa, bukan disuruh atau ditegah, bahkan kami juga bukan takut kalah. Rabbani sudah lama berada dalam industri. Kami pernah alami pengalaman dikutuk dan diangkat sampai ke langit.

“Apa pun, kami amat menghormati pilihan penyanyi nasyid lain. Kami tidak masuk dalam pertandingan bukannya bermakna kami tidak sokong industri. Industri masih besar dan kami masih ingin bersaing dengan cara kami sendiri,” tambah Asri.

Sementara itu, mengulas tentang populariti Rabbani yang seperti sedikit merundum selepas vokalis utama mereka, Ustaz Asri atau Allahyarham Mohd. Asri Ibrahim meninggal dunia lapan tahun lalu, semua anggota mengakui terkesan sehingga hari ini.

Setiap anggota kumpulan masih kekal sefahaman biarpun tanpa Ustaz Asri.

“Kami akui selepas pemergian Ustaz Asri, populariti Rabbani sedikit menurun. Namun, aura yang ditinggalkan arwah begitu kuat sehinggakan orang masih menghormati kami kerana dirinya.

“Tambahan pula, kami saling memahami antara satu sama lain, itu membuatkan Rabbani kekal dalam industri seni. Alhamdulillah, kami tetap mampu bertahan hingga sekarang,” jelas Asri.


Ikon

Asri bersama anggota Rabbani yang lain ditemui pada majlis pelantikan mereka sebagai ikon pakej umrah dan ziarah Al Fajr Travel & Tours Sdn. Bhd.

Asri turut bersyukur kerana biarpun dalam kegawatan ekonomi, Rabbani masih menerima undangan mengadakan persembahan pentas, malah diberi peluang menjalinkan kerjasama dengan Al Fajr.

Pakej umrah bersama Rabbani akan bermula pada Februari hingga Disember 2018.

Dalam perkembangan lain, seorang lagi anggota Rabbani, Azadan pula berkata, Rabbani sedang dalam perbincangan untuk tampil dengan single baharu.

Rabbani juga dalam perancangan berduet dengan penyanyi, Khai Bahar, menerusi kerjasama bersama komposer, Sheikh Qalam.

“Setakat ini, lagu yang akan ditampilkan masih dalam perbincangan bersama komposer berkenaan. Apa pun, kami perlu memastikan ada keserasian antara Rabbani dengan penyanyi itu sebelum kerjasama diteruskan,” tutup Azadan.

Post a Comment

Previous Post Next Post