Keluarga bahagia Shuib bersama Siti Sarah dan tiga anak mereka.
Memegang prinsip be like a boss, Shuib meletakkan sasaran untuk tidak bekerja di kala usia mencecah 45 tahun.
Ini kerana, pemilik nama sebenar, Shahmira Muhamad ini hanya mahu memberikan sepenuh perhatian terhadap keluarga dan anak-anak, kelak.
"Masa itu, saya hanya nak lihat matahari terbit dan terbenam di tepi pantai. Itu saja.
'Ketika itu, saya tak perlu lagi stres pasal kerja atau fikir soal duit kerana saya mahu meluangkan masa dengan keluarga dan anak-anak,'' katanya pada Sinar Harian ketika ditemui menerusi program An Evening With Siti Sarah & Hearty Sarah.
Susulan itu, selebriti berusia 33 tahun ini mengakui sedang bekerja keras untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi keluarganya.
"Saya tahu kekangan kewangan juga yang akan membuatkan kita jauh daripada anak-anak dan keluarga.
"Tapi, jujurnya saya tak boleh. Bagi saya, family first. Itulah keutamaan saya.
"Saya sendiri tengah buat kira-kira. Tahun 2018, umur saya dah 33 tahun, jadi saya ada masa 12 tahun saja lagi. Nampaknya, 12 tahun ni saya kena bantailah... kena pulun kaw-kaw," katanya sambil tertawa.
Pada masa ini, Shuib bukan sahaja sibuk dengan pembabitannya dalam pelbagai kerjaya seni tetapi turut menguruskan empat syarikatnya iaitu Monstafit, Fazalow.com, Madu Tiga Sdn Bhd dan Manhajj Mutawwif Travel.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan ruang bisnes yang diberikan kepada saya. Saya sebenarnya seronok berkongsi rezeki dengan orang lain," katanya.
Rentetan itu, ahli kumpulan Sepahtu ini mengakui perlu bersikap lebih selektif mengenai hala tuju kerjaya seninya.
"Saya tahu kekuatan saya ada di mana, jadi saya tak akan lepaskan platform itu. Macam berlakon, mungkin saya hanya akan buat untuk special episod.
"Tapi, keputusan saya untuk berhenti jadi penyampai radio adalah tepat kerana saya tak mampu terikat dengan komitmen.
"Mana lagi nak uruskan syarikat dan bila terlalu sibuk, saya rasa seperti sangat jauh dengan anak-anak," katanya.
Kini, Shuib terlibat dalam penggambaran program Konti Karat musim kedua, Meja Bulat selain sibuk bergelar pengacara bagi program Teka Tekan dan Manhajj Mutawwif.
"Insya-ALLAH, saya juga akan sibuk kembali ke penggambaran filem, Abang Long Fadil 3 pada Ogos nanti," katanya.
Pun begitu, suami kepada penyanyi popular, Siti Sarah ini tetap meletakkan keluarganya sebagai yang pertama di dalam hatinya.
"Apa-apa pun, saya letak famili sebagai nombor satu. Saya tahu, saya cuma wakil dan semua rezeki ini datangnya daripada anak-anak, doa ibu bapa dan doa isteri saya.
"Walaupun ada sesetengah benda dia tak tahu apa-apa, saya masih bertanya pendapat dan merujuk kepada dia terlebih dahulu.
"Apa yang saya miliki hari ini adalah tuah dan doa daripada isteri dan anak-anak, kerana itu mereka menjadi keutamaan saya sampai bila-bila," luahnya.
Shuib dan Sarah berkahwin pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 7, Dzahira Talita Zahra, 4, dan Ariq Matin yang berusia dua tahun.