Armada mahu beri kelainan kepada peminat


Kumpulan Armada bukanlah nama baru di negara kelahiran mereka, Indonesia, di mana mereka sebelum ini telah tampil dengan lima buah album dalam tempoh 10 tahun menjadi anak seni.

Antaranya Balas Dendam (2008), Hal Terbesar (2009), Satu Hati Sejuta Cinta (2012), Pagi Pulang Pagi (2014) dan yang terbaru, Maju Terus Pantang Mundur (2017).

Album terbaru ini dilancarkan di Indonesia pada Julai lalu dan mendapat sambutan yang cukup hangat, apatah lagi single pertama mereka, Asal Kau Bahagia berjaya menarik perhatian pendengar dalam masa yang cukup singkat.

Malah video lirik yang lagunya dihasilkan secara bersama oleh anggota Armada sendiri iaitu Radha, Mai dan Rizal ini mendapat tontonan tertinggi sebanyak 16 juta di YouTube dalam tempoh sebulan ia dimuat naik.

Armada menjadi artis pertama Indonesia yang berjaya mencipta rekod tersebut sehingga mendapat pengiktirafan pihak YouTube.

Menariknya, jumlah tontonan tersebut bukan hanya daripada peminat Indonesia, sebaliknya juga adalah dari Malaysia yang menerima lagu Asal Kau Bahagia dengan begitu baik.

Melihat kepada penerimaan baik lagu tersebut di kalangan peminat Malaysia, Armada memanjangkan langkah untuk terus memperkenalkan nama dan muzik mereka dengan melancarkan album Maju Terus Pantang Mundur di Malaysia.



“Sebenarnya kami sudah lama berhasrat untuk memperkenalkan muzik kami di Malaysia sebelum ini, namun mungkin ketika itu rezeki belum sampai kerana ada beberapa jemputan yang terpaksa kami tolak kerana terikat dengan jadual kerja sedia ada di sini.

“Cuma kali ini perancangannya menjadi kerana kesesuaian masa dan pengaruh lagu Asal Kau Bahagia sendiri yang mendapat sambutan yang luar biasa di sini,” kata Rizal selaku vokalis ketika ditemui di majlis pelancaran album ini.

Album ini mengandungi 10 buah lagu yang terdiri daripada Asal Kau Bahagia, Keluarga, Kamu Kenapa, Drama, Doa Ibu, Dengerin Abang, Adam Hawa, Pulang Malu Tak Pulang Rindu, Rela dan medley lagu-lagu popular Armada sebelum ini termasuk Kekasih Yang Tak Dianggap.

Menurut Armada, sebagaimana album-album terdahulu, mereka cuba menampilkan kelainan dari segi konsep lagu dan susunan muzik dalam usaha untuk memberi kepuasan yang maksima kepada peminat setia mereka.

“Kami suka bereksperimen dan menampilkan pembaharuan daripada setiap album yang kami terbitkan kerana tidak mahu tampil dengan benda yang sama.

“Malah kebanyakan lagu-lagu yang dihasilkan juga adalah datang dari cerita kehidupan kami sendiri sebagai manusia menjadikan ia lebih mudah difahami dan dihayati.

“Mungkin kerana itu mereka yang di luar sana dapat menerima dan terasa lagu-lagu itu begitu dekat dengan mereka,” katanya yang tidak menyangka Asal Kau Bahagia menduduki carta teratas di kebanyakan stesen radio Malaysia

Kumpulan yang dianggotai oleh lima anak muda ini juga bakal tampil dengan konsert pertama mereka di sini, Era & Empire Live Present Armada Asal Kau Bahagia Tour yang bakal berlangsung di KL Live Centre pada 17 Mac depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post