Shenty Feliziana temui jodoh aktor Indonesia


Meskipun mengakui tidak bercinta ketika di lokasi drama bersiri DO[S]A di Indonesia, namun naskhah berkenaan sebenarnya menjadi titik-tolak penyatuan hati Shenty dan Reuben yang bakal bernikah 13 April depan.

Pertemuan semasa sama-sama terlibat dalam penggambaran drama bersiri 
DO[S]A di Jakarta, Indonesia sekitar tahun lalu telah membenihkan bibit-bibit cinta antara pelakon Shenty Feliziana dengan aktor popular negara republik terbabit, Reuben Elishama.

Memperincikan momen manis jodoh mereka, Shenty, 29, bagaimanapun bertegas, percintaan yang terjalin sebenarnya tidak berputik di lokasi. Sebaliknya kata Shenty, kasih mereka bercambah sejurus penggambaran drama tersebut selesai apabila Reuben yang merupakan duda anak seorang itu mula meluahkan perasaan terhadapnya.
Tidak menunggu lama, mereka bakal disatukan sebagai suami isteri pada 13 April depan di tanah kelahiran Shenty di Singapura. Terdahulu, Shenty dan Reuben mengikat tali pertunangan pada 25 November tahun lalu.

Ikuti temu bual bersama Shenty yang merupakan bekas pengacara program HLive! dan Reuben ketika ditemui pada sesi temu ramah pelakon DO[S]A di Hotel Nouvelle, Seri Kembangan baru-baru ini.

KOSMO!: Tahniah atas perkhabaran gembira kalian. Boleh Shenty ceritakan dengan lebih lanjut tentang perancangan pernikahan dengan Reuben?

SHENTY FELIZIANA: Alhamdulillah, setakat ini persiapan sedang giat dilakukan oleh keluarga memandangkan kami berdua sedang sibuk dengan kerja. Cuma apa yang boleh saya kongsikan setakat ini, memang tarikh 13 April itu menjadi pilihan. Insya-Allah doakanlah semuanya berjalan dengan lancar.



Adakah cinta kalian berputik ketika berada di lokasi penggambaran DO[S]A?

SHENTY: Sebenarnya ia tidak berputik di lokasi penggambaran kerana sewaktu bekerja masing-masing sangat sibuk memandangkan watak kami semuanya mencabar. Jadi, waktu itu memang fokus kepada diri sendiri dan tidak sempat berfikir tentang perkara atau orang lain.

REUBEN: Sewaktu bersama dia ketika penggambaran, saya sendiri tidak pasti tentang perasaan yang ada. Saya juga bimbang, kalau ia sekadar perasaan biasa tatkala bertemu di lokasi. Namun selepas seminggu tamat penggambaran, barulah saya sedar perasaan sudah timbul terhadapnya dan yakin dialah orangnya.

Jadi, apa yang membuatkan kalian tertarik antara satu sama lain?

SHENTY: Sepanjang menjalani penggambaran, saya selalu tengok dia memegang telefon dan membalas mesej seseorang. Pada waktu itu saya fikir mungkin dia sudah ada teman wanita. Tetapi rupa-rupanya orang yang sering dihubungi Reuben adalah ibunya sendiri.

Jadi, dari situ saya tertarik dengan sikapnya yang sangat menghormati dan meletakkan wanita pada kedudukan tinggi.

Saya katakan kepadanya, kalau betul-betul ikhlas datanglah berjumpa keluarga di Singapura dan tidak sangka dia berani melakukannya. Saya nampak tahap kesungguhan dan keikhlasannya.



REUBEN: Pada awal perkenalan kami, ia sama seperti orang lain. Sekadar rakan pelakon tetapi lama-kelamaan, kami sering berbual dan dari situ timbul persefahaman. Sewaktu di set penggambaran pun, saya sudah lihat warna sebenar Shenty. Kalau dia tidak suka sesuatu perkara, dia akan berterus terang.

Bagi Shenty sendiri yang pernah mengalami episod putus cinta, adakah anda sukar untuk menerima lelaki baharu?

Saya tidak nafikan pada awalnya memang ada timbul perasaan sangsi sebab hampir tiga tahun pintu hati saya tertutup untuk bercinta lagi, selain tidak begitu mengenali siapa Reuben.

Namun selepas berkawan, apa yang saya lihat pada diri Reuben, dia seorang yang sangat jujur dan tidak berpura-pura. Dia juga faham apa yang pernah saya lalui sebelum ini.

Baiklah, beralih kepada perkembangan karier pula. Boleh anda kongsikan tentang peranan dalam drama bersiri DO[S]A?

Dalam drama ini, saya memegang watak sebagai Fara iaitu anak bongsu kepada Latif. Dia mempunyai tiga orang abang iaitu Fuad lakonan Asyraf Sinclair, Farid (Remy Ishak) dan Fahad (Hisyam Hamid).

Karakter dalam drama ini sangat berbeza dengan diri saya yang sebenar kerana Farah seorang pemberontak, pandai bersilat dan perwatakannya agak kasar.

Post a Comment

Previous Post Next Post