Rosyam Nor Tiada istilah penat dalam hidup


Setiap kali tibanya tahun baru, antara perkara yang dibincangkan tentunya azam dan perancangan yang akan dilakukan oleh seseorang dalam hidupnya sepanjang tahun tersebut.

Perancangan tersebut juga menjadi pembakar semangat untuk lebih menggapai kejayaan. Hakikatnya, hal yang sama turut disemat kemas dalam diri penerbit dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor.
Biarpun usianya sudah mencecah 50 tahun, namun pelakon yang popular dengan filem KL Gangster itu tidak pernah mengenal erti penat.

Ditemui ketika majlis pembukaan cawangan baharu Pak John Steamboat & BBQ di IOI City Mall, Putrajaya, Rosyam teruja berkongsi jadual seni dan perniagaannya sepanjang tahun 2018 yang disifatkan semakin padat.

KOSMO!: Apa khabar Datuk? Boleh Kongsikan perkembangan terkini sempena tahun baru 2018 ini?

ROSYAM NOR: Alhamdulillah sihat. Sempena tahun baru ini jadual saya semakin padat. Semuanya bermula pada awal bulan Februari dengan pelancaran sebuah pasar raya saya yang bernama ST Rosyam Mart di Setiawangsa, Kuala Lumpur. Ia merupakan kerjasama antara saya dan syarikat Sri Ternak. Untuk pengetahuan, pasar raya seluas 13 unit lot kedai ini akan membawakan konsep berlainan dengan yang lain kerana ia menawarkan kemudahan canggih, persekitaran menarik namun barangannya dijual pada harga murah iaitu harga borong.

Saya juga akan melancarkan jenama Adra yang menawarkan produk minuman berasaskan durian belanda hasil tanaman dari ladang saya. Jika tiada halangan, pada tahun ini juga saya akan membuka sebuah hotel bertaraf tiga bintang di Brickfields. Begitupun, tarikhnya belum ditentukan.

Bagaimana pula dengan perkembangan dalam dunia lakonan?

Pada 8 Mac ini, filem lakonan saya KL Special Force bakal ditayangkan di pawagam. Semestinya saya akan sibuk dengan promosi untuk filem berkenaan. Seterusnya, pada 15 Mac pula saya akan sibuk dengan promosi filem biografi berkenaan Datuk Lee Chong Wei. Saya juga akan masuk ke set penggambaran filem seram arahan Syafiq Yusof dan kemudian filem Tailong arahan Syamsul Yusof.

Alhamdulillah, terima kasih kepada peminat kerana masih memberi peluang untuk saya terus berlakon. Bukan itu sahaja, saya bersyukur penggiat filem di Malaysia juga masih memerlukan khidmat saya dalam filem mereka serta masih memberikan watak utama.



Jika dilihat, ramai rakan seangkatan yang sudah mengambil keputusan untuk memperlahankan kerjaya, namun anda pula seperti tidak pernah penat. Komen sedikit apabila anda semakin sibuk dengan aktiviti seni dan perniagaan?

Ini yang saya minta, maka inilah tanggungjawab yang diamanahkan Allah. Dalam hidup saya tiada istilah penat kerana ini impian dan tanggungjawab saya kepada industri. Selagi orang boleh menerima, saya akan terus berlakon. Saya juga tidak mahu berehat kerana dunia seni banyak memberi impak kepada jenama Rosyam Nor. Dari situ saya dapat mengembangkan pelbagai rangkaian perniagaan.

Kenapa selepas usia 50 tahun baru anda memilih untuk rancak dalam kedua-dua bidang tersebut?

Jika semua perasan, jenama saya mula berkembang pada usia 33 tahun iaitu selepas 13 tahun saya masuk dalam industri seni. Apabila dihitung, baru 17 tahun jenama saya betul-betul dikenali di pasaran. Sebenarnya, saya suka jenama Rosyam Nor dilihat sebagai suatu inspirasi kepada masyarakat, khasnya untuk peminat. Saya tidak mahu hanya dipuja sebagai seorang pelakon.

Mungkin boleh kongsikan kepada pelakon baharu kekuatan anda untuk terus bertahan dalam industri?

Sebagai pelakon, saya sentiasa memerlukan peminat baharu untuk mempertahankan karier. Dalam masa sama, pelakon baharu pula memberikan suatu persaingan sihat buat saya. Mereka membuatkan saya berfikir bagaimana untuk mempertahankan jenama Rosyam Nor dalam pasaran. Seperti yang selalu diperkatakan, mencari populariti bukan mudah, tetapi mempertahankan ia jauh lebih sukar.

Terus terang tiada orang yang mengecapi populariti dan kemudian mahu namanya jatuh. Saya juga berperasaan sebegitu, jadi saya berhenti berlakon drama di televisyen untuk mengekalkan nilai eksklusif Rosyam Nor dan hanya berada dalam karya filem. Mungkin sekali sekala baru saya muncul di televisyen untuk drama khas misalnya untuk tayangan hari raya.

Post a Comment

Previous Post Next Post