Den Wahab, Aziz 
M. Osman serik ditipu


Gara-Gara kerugian lebih RM90,000 sewaktu bercuti ke Korea Selatan baru-baru ini selepas ditipu seorang individu yang menyamar sebagai ejen sebuah agensi pelancongan, pelakon Den Wahab dan pengarah Aziz M. Osman membuat laporan polis.

Kejadian tersebut berlaku ketika mereka bersama rombongan seramai 22 orang bercuti selama lima hari dari 24 hingga 28 Disember lalu dengan menggunakan khidmat seorang wanita yang menawarkan pakej murah bawah agensi pelancongan ARBA Travel & Tours Sdn. Bhd. (ARBA Travel).

Namun, kegembiraan mereka bertukar ngeri apabila pada hari ketiga percutian, mereka terpaksa keluar dari hotel penginapan selepas ARBA Travel tidak mendapat sebarang bayaran.

Ditemui sewaktu membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Den, 54, berkata, disebabkan penipuan tersebut, mereka terpaksa menanggung kerugian lebih daripada RM90,000, meliputi kos penerbangan pergi dan balik, penginapan, makanan serta pengangkutan.

“Kami bersetuju menggunakan khidmat wanita itu tanpa ragu-ragu pada awalnya kerana dia mendakwa dirinya sebagai ejen agensi pelancongan terkemuka, ARBA Travel.

“Masuk hari ketiga di sana, barulah kami sedar telah ditipu apabila tiba-tiba diminta keluar dari hotel penginapan selepas agensi pelancongan tidak menerima sebarang bayaran, padahal kami telah melakukan pembayaran secara tunai berjumlah RM50,000 kepadanya untuk menguruskan segala persiapan ke sana,” ceritanya.

Tambah Den atau nama sebenarnya Zaharudin Abd. Wahab, selepas menyedari tiada pembayaran dibuat, pihak ARBA Travel ada menghubungi wanita berkenaan untuk meminta penjelasan. Namun sebaliknya berlaku apabila ada sahaja alasan dan individu itu berdolak-dalik selain turut mengugut untuk membuat laporan polis terhadap mereka.



“Sudahlah ditipu, malah kami diugut tetapi kami tidak bodoh. Kami tidak akan tertipu lagi dengan kata-katanya. Apa yang kami mahukan adalah keadilan,” tegas Den yang merupakan pemilik butik tersohor itu.

Meskipun keseronokan mereka terganggu disebabkan hal berkenaan tetapi baki dua hari percutian tetap diteruskan selepas pihak ARBA Travel menghulurkan bantuan dengan membiayai sepenuhnya perbelanjaan di sana.

“Alhamdulillah kerana pihak ARBA Travel sudi membuat bayaran dan kami selamat pulang ke tanah air. Tetapi apa yang kami mahukan pada hari ini adalah keadilan supaya individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Kami tidak mahu perkara yang sama berulang kepada orang lain kerana pengalaman kami selama dua hari di sana perit untuk dikenang,” katanya.

Sementara itu, Aziz pula memberitahu, individu yang dikenali sebagai Farah Farhan Abd. Fatah itu sebenarnya aktif melakukan aktiviti penipuan sebegitu sejak tahun 2016 lagi.

“Selepas tertipu, barulah kami sedar modus operandi yang digunakannya sama sahaja dengan apa yang terjadi kepada mangsa lain iaitu membatalkan perancangan melancong pada saat-saat akhir tetapi wang sudah diambil.

“Kami sangat berharap individu ini dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan supaya orang lain tidak akan menjadi mangsa pada kemudian hari,” katanya.

Den dan Aziz memberi tempoh selama dua minggu kepada wanita itu untuk menyerah diri dari tarikh laporan polis dibuat.

Jika tidak, mereka tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan identiti wanita itu kepada umum selain mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post