RJ akui susah jadi artis


Tiada tawaran dan pendapatan tetap menyebabkan RJ berdepan tekanan untuk meneruskan perjuangan dalam karier nyanyiannya.

Sejak meletakkan jawatan sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) di sebuah syarikat rakaman terkemuka, Monkey Bone hampir dua tahun lalu demi mengejar impian bergelar penyanyi sepenuh masa, rapper bernama RJ atau pemilik nama sebenar, Mohd. Helmy Hamdan, 33, semakin menyedari, bukan mudah untuk melalui liku-liku menjadi seorang anak seni.

RJ bagaimanapun dapat menemui ketenangan selepas berhenti kerja sebagai PRO. Sembilan tahun menggalas tugas tersebut, kini dia sudah boleh menumpukan perhatian 100 peratus terhadap bidang muzik.
Mula dikenali ramai apabila menggantikan tempat Malique untuk berduet dengan Black Hanifah ketika menyanyikan lagu Teman Pengganti pada Anugerah Juara Lagu ke-27, RJ kini muncul dengan single terbaharu berjudul Dunia Fantasi berpadu suara dengan Mark Adam.

Ingin terus melebarkan sayap seninya, RJ bercadang berkecimpung secara aktif dalam dunia nyanyian walaupun sedar terpaksa bersaing dengan muka-muka baharu yang ramai pengikut di laman sosial seperti Instagram.



KOSMO!: Boleh ceritakan sedikit mengenai single terbaharu berjudul Dunia Fantasi?

RJ: Single ini adalah ciptaan DJ Fuzz edaran Warner Music. Saya pilih Mark Adam sebagai rakan duet kerana percaya dengan bakat nyanyiannya. Saya juga meminati cara nyanyiannya. Dalam pada itu, saya amat selesa bekerjasama dengan Mark.

Mengapa anda tidak menyanyikan lagu berkenaan secara solo, adakah anda masih tidak percaya dengan bakat nyanyian anda?

Bukan begitu. Saya seorang penyanyi rap. Barangkali ada yang berpendapat mengapa perlu saya menampilkan penyanyi lain dalam lagu sendiri. Jawapan saya mudah, saya bukan seorang penyanyi namun tidaklah saya menumpang populariti orang lain. Kalau saya ingin menyanyi secara solo, saya perlukan karya yang sesuai dengan kemampuan vokal atau cara nyanyian saya. Insya-Allah, saya sudah ada perancangan untuk ke arah itu, tunggu masa sahaja.

Baiklah, bagaimana dengan kerjaya seni anda selepas meletakkan jawatan tetap sebagai PRO?

Alhamdulillah, masih lagi berjalan. Namun kadang-kadang saya tertekan juga kerana pendapatan sebagai penyanyi atau orang seni tidak tetap. Kalau tiada undangan persembahan, maka tiadalah duit. Tambahan pula, untuk bersaing dengan muka-muka baharu yang mempunyai ramai pengikut di laman sosial bukan mudah. Namun ini jalan yang saya pilih, saya tetap kena teruskan.

Adakah disebabkan tertekan tiada kerja tetap, ia memberi kesan negatif terhadap diri anda?

Ya, kerana sembilan tahun saya bekerja sebagai PRO lain rasanya. Sekarang sudah menjadi artis sepenuh masa, banyak masa terluang. Dari sudut positif, saya dapat menghabiskan masa bersama keluarga dan kawan-kawan. Kalau sebelum ini keadaannya lain kerana saya terikat dengan kerja tetap. Bagaimanapun, kadang-kadang tertekan juga kerana tiada kerja tetap sehingga memberi kesan terhadap kesihatan. Saya kurus pun sebab tertekan tiada kerja tetap.

Bagaimana pula dengan status anda sekarang, masih mencari wanita yang sesuai untuk dijadikan teman hidup?

Saya masih single. Kegagalan bercinta dengan seorang wanita sebelum ini banyak mengajar saya erti hidup. Wanita hadir dalam hidup, meyakinkan konon cintanya untuk kita namun akhirnya mengkhianati.

Adakah disebabkan sifat anda yang suka menyendiri menyebabkan wanita takut untuk mendekati dan mengenali anda?

Mungkin disebabkan rupa yang garang, ramai wanita takut untuk berkenalan dengan saya. Orang cakap muka saya jahat, rasanya sebab itu saya kurang didekati wanita.

Bagaimana perancangan untuk tahun 2018?

Saya ingin muncul dengan lagu solo berentak rancak kerana sebelum ini, orang kata lagu-lagu saya terlalu ‘serius’. Saya ingin kembali aktif dalam dunia lakonan. Orang mungkin tidak perasan bahawa saya juga seorang pelakon. Selepas Papa Ricky, saya akan muncul dengan drama terbaharu tidak lama lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post