UNIC berevolusi dengan muzik


Tempoh 15 tahun berkecimpung dalam industri seni tanah air dilihat sebagai jangka masa yang sesuai buat kumpulan nasyid UNIC untuk perlahan-lahan membuat anjakan dari pelbagai segi demi kebaikan hayat seni mereka.

Mula memanfaatkan kecanggihan teknologi seperti media sosial untuk mencari kumpulan peminat yang lebih ramai dan baharu, kumpulan yang terkenal dengan lagu Ainul Mardhiah itu enggan terus berada di takuk lama.

Sehubungan itu, selepas menjuarai program realiti Gema Gegar Vaganza musim pertama (GGV) pada Mei tahun lalu, UNIC yang dianggotai Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin (Fakhrul), Bazli Hazwan Che Osman (Bazli) dan Wan Najdi Wan Mohd. Noh (Imam Muda Najdi) nekad membuat perubahan agar nama mereka kekal relevan dalam arus muzik masa kini.

Antara langkah pertama yang digagahi UNIC adalah menghasilkan single terbaharu bertajuk Sedar yang menyaksikan gabungan mereka dengan rapper muda, Caprice.

“Saat awal kami memberitahu peminat tentang kolaborasi dengan Caprice, sebahagian daripada mereka mempertikaikan keputusan itu kerana menganggap penampilan Caprice tidak sesuai dengan imej nasyid UNIC.

“Namun, kami meminta agar diberi peluang dan dengarkan dahulu lagu yang kami sampaikan. UNIC perlu kreatif untuk menarik peminat zaman sekarang dan penampilan Caprice sesuai dengan misi tersebut,” kata Fakhrul sewaktu majlis pelancaran Sedar di D’Academia Cafe & Bistro,Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Fakhrul, UNIC pernah dimarahi peminat kerana hadir pada satu persembahan dengan bertopi, berseluar jean dan berbaju-T kerana mereka masih berasakan nasyid perlu berjubah dan berkopiah.



“Nasyid bukan hanya pada pemakaian atau rentak lagu. UNIC percaya, selagi setiap karya yang kami bawa memberikan mesej baik kepada pendengar, itulah kejayaan dakwah yang sebenar,” jelasnya lagi.

Persepsi
Sementara itu, Caprice pula mengakui berasa gementar ketika mula hendak menerima tawaran berkolaborasi dengan UNIC. Dia bimbang tidak boleh menjayakan kerjasama tersebut.

Bagaimanapun, pemilik nama Ariz Ramli itu boleh melepaskan rasa lega apabila UNIC memberikan kebebasan kepadanya untuk menulis dan menyampaikan bahagian rap dalam lagu Sedar mengikut pengalaman sendiri.

Menerusi lagu Sedar, dia berharap peminat muzik tempatan tidak meletakkan sempadan dalam berkarya dan boleh menghargai sesebuah lagu dengan betul tanpa meletakkan persepsi secara terburu-buru.

“Mungkin ramai yang pelik kenapa saya mahu menyanyi bersama kumpulan nasyid seperti UNIC tetapi sebenarnya lagu Sedar sangat universal dan tidak terbatas kepada sekelompok peminat sahaja.

“Saya berasa bertuah kerana diberi peluang oleh UNIC untuk meneroka bahagian dunia muzik yang baharu menerusi lagu Sedar,” tutupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post