Kelab motosikal Wings angkat jati diri Melayu


Memasuki perkarangan Tadom Hill Resort yang terletak di Bukit Tadom, Banting, Kuala Selangor baru-baru ini, lelaki-lelaki dengan persalinan hitam lengkap bertanjak kelihatan memenuhi arena utama.

Ada yang bersampin ada juga yang sekadar bertengkolok songket, masing-masing bersiap-siaga dengan imej laksana pahlawan Melayu ‘berkudakan’ jentera roda dua berkuasa besar.

Mereka seperti sebuah pakatan yang dalam misi besar. Semuanya itu demi Wings Motor Gang Society (WMGS) yang diterajui kumpulan rock legenda, Wings.

Lebih 30 tahun dalam arena rock bahkan antara ikon pop yang terkenal dengan gaya motosikal kuasa besar sejak daripada filem Sembilu, Awie sebagai menyifatkan penubuhan kelab tersebut sebagai pelengkap rasa yang tidak kena sepanjang menjadi peminat motosikal sejak muda.

Lebih penting juga kata pelakon Hantu Kak Limah Balik Rumah itu, WMGS akan memartabatkan budaya Melayu menerusi aktiviti kelab permotoran. Pada masa akan datang, pihaknya akan memperkemaskan lagi imej dan etika pemakaian mereka seiring tuntutan semasa.

Disoal tentang jati diri Melayu, adakah usaha sedemikian cukup sekadar daripada luaran, sebagai tunjang utama kelab, Awie ada jawapannya.



“Pembentukan jati diri juga boleh bermula dari luaran, kalau luaran pun sudah hancur, dalaman lagilah bersepai (ketawa). Saya main motosikal sejak lebih 30 tahun. Banyak benda yang saya lakukan dan lama-kelamaan ada perkara dirasakan tidak kena, macam tidak puas.

“Saya pernah melalui zaman ‘poyo’ sewaktu muda dahulu, saya tunggang motosikal dengan pakai jaket kulit tengah hari dengan perasaan poyo walaupun panas.

“Tetapi lama-lama saya fikir, saya tidak mahu mewariskan perasaan poyo itu kepada generasi masa depan penunggang motosikal. Buat masa ini, kami hanya tetap imej bertanjak dan pakai baju Melayu cekak musang, Apabila kami perkenalkan destar right, kelab lain pun ada imej lain macam gentleman right, tetapi kalau mereka mahu cuba imej kami, itu dialu-alukan,” ujar Awie.

Dianggotai sepenuhnya oleh ahli Bumiputera yang mendukung tiga perkara utama iaitu silaturahim, ekonomi dan kebajikan, itu tiang-tiang yang menegakkan WMGS, selain menjunjung moto berbunyi Ride & Respect sebagai kunci pegangan geng mereka.



Sehingga kini, WMGS yang tercetus menerusi siri jelajah Konsert 30 Tahun Wings hampir dua tahun lalu sudah mempunyai 100 orang ahli berdaftar yang datang Brunei, Thailand, Singapura dan seluruh negara.

Sepanjang penubuhan secara rasmi sejak 6 September 2016, WMGS aktif dalam aktiviti seperti Bikes Week di dalam dan luar negara, majlis berbuka puasa, mengutip dan menyalurkan sumbangan ke rumah-rumah kebajikan serta golongan yang memerlukan.

“Akan datang, kami sasarkan mahu ada sebuah rumah kelab tempat berkumpul dan merencanakan aktiviti.

“Seterusnya, kami mahu ke Indonesia untuk meramaikan lagi ahli,” ujar Awie sambil menerangkan antara syarat kemasukan dalam kelab berkenaan.

Selain Bumiputera, antara syarat utama WMGS adalah penunggang yang mempunyai motosikal berkuasa tinggi 700 cc ke atas dan tiada rekod kesalahan jalan raya yang serius.

Post a Comment

Previous Post Next Post