Raja Farah mahu kembali berlakon


Raja Farah bersama suami dan anaknya, Imran.

Sejak mendirikan rumah tangga pada 2015 dan melahirkan anak setahun selepas tempoh tersebut, pelakon dan pengacara, Raja Farah Raja Aziz pernah mengeluarkan kenyataan untuk memperlahankan kerjaya seninya bagi memberi tumpuan kepada keluarga.

Kini apabila sudah hampir tiga tahun menyepi daripada industri, wanita berusia 29 tahun itu meluahkan hasrat untuk kembali aktif memandangkan anak sulungnya, Imran Iskandar sudah hampir mencecah usia dua tahun.

Raja Farah bagaimanapun cukup sedar, untuk kembali ke dunia lakonan bukan suatu keputusan yang boleh dibuat dalam sekelip mata kerana banyak hal perlu dipertimbangkan.

Antara isu paling dititikberatkan oleh pelakon Aku Masih Dara itu adalah berat badannya yang bertambah dengan ketara selepas bersalin dan masih belum mencapai berat ideal sehingga sekarang.

Ditemui usai tayangan program sepanjang 2018 Media Prima di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini, Raja Farah berkata, andai dia menerima tawaran berlakon mungkin dia akan mempertimbangkan untuk menguruskan badannya kembali.



KOSMO!: Adakah anda ada menerima tawaran sejak berehat daripada lakonan selepas berkahwin?

RAJA FARAH: Setakat ini memang tiada tawaran, mungkin banyak pihak menganggap saya sudah tidak mahu berlakon selepas berkahwin dan mempunyai anak.

Saya akui ada mengeluarkan kenyataan mahu memperlahankan kerjaya seni demi keluarga. Oleh sebab itu, rasanya tiada yang cuba mendekati atau menghulurkan tawaran buat saya.

Jika diberikan peluang, adakah anda akan meletakkan sebarang syarat berhubung watak lakonan?

Rasanya selagi ia menghormati status saya sebagai wanita bertudung yang sudah berkahwin, tiada masalah.

Cuma, saya perlu selektif berhubung komitmen atau tuntutan sesebuah watak memandangkan anak saya masih menyusu badan.

Saya memang tidak boleh meninggalkan dia terlalu lama untuk bekerja. Kebiasaannya, saya akan berbincang dengan suami, Iskandar Ismail dan jika dia memberi izin, barulah saya bersetuju dengan sebarang tawaran kerja.

Anda sudah bersedia untuk kembali berlakon buat masa ini?

Niat itu sudah ada cuma sebelum saya kembali aktif di depan televisyen, kalau boleh saya mahu menurunkan berat badan terlebih dahulu. Selepas melahirkan Imran, berat saya mencecah lebih 70 kilogram dan ia bukan berat yang ideal jika mahu buat kemunculan semula. Mungkin selepas saya sudah kurus sedikit, barulah saya akan serius bercakap soal berlakon semula.

Adakah badan anda semakin berisi kerana sedang hamil anak kedua?

Ramai juga yang bertanya soalan sebegitu dan menyangka saya kelihatan gemuk kerana sedang mengandung tetapi sebenarnya tidak. Berat saya bertambah kerana saya masih menyusukan anak, jadi rutin pemakanan saya macam biasa dan memang tidak pernah diet.



Adakah anda membuat sebarang perancangan keluarga?

Tidak kerana suami saya memang tidak mahu menunggu lama untuk menambah bilangan anak dalam kerana umurnya yang sudah hampir 40 tahun. Saya juga bersedia untuk melahirkan anak lagi, cuma belum ada rezeki. Tahun lepas sahaja, sudah dua kali saya mengalami keguguran iaitu pada bulan Jun dan November kerana terlalu aktif bekerja.

Bagaimana perasaan anda selepas berdepan dua kali keguguran dalam jangka masa singkat?

Saya sangat terkesan sewaktu berdepan keguguran kali kedua kerana saya tidak tahu sedang hamil. Ketika itu kandungan saya sudah berusia lapan minggu dan perasaan sedih akibat keguguran kali pertama belum habis, namun Allah duga lagi dengan kehilangan kali kedua.

Saya berazam, kalau mengandung lagi selepas ini, saya akan lebih berhati-hati dan hanya akan aktif bergerak selepas usia kandungan melepasi fasa tiga bulan pertama.

Selain menjadi suri rumah, apa lagi pekerjaan yang anda lakukan sekarang?

Saya sekarang sedang giat mengusahakan perniagaan bakeri bawah jenama Chenta by Raja Farah yang membuka tempahan untuk kek dan biskut buatan sendiri.

Meskipun tidak mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini, namun saya sering menghadiri kelas membuat kek supaya dapat menambah ilmu dan kemahiran.

Post a Comment

Previous Post Next Post