Bront Palarae bimbang


Menyebut nama Bront Palarae, bukan sahaja di negara ini, bahkan sosok lelaki berusia 40 tahun itu juga sudah cukup dikenali di negara seberang, Indonesia. Semuanya gara-gara penangan filem pecah panggung di Indonesia, Pengabdi Setan yang menyebabkan namanya mula meniti di bibir peminat di negara jiran.

Bahkan, sejak itu, tidak dapat dinafikan, Bront banyak menerima tawaran berlakon di Indonesia. Tidak keterlaluan jika mengatakan Indonesia bagaikan sudah menjadi rumah keduanya selepas ibu kota Kuala Lumpur yang menjadi tapak awal perjalanan karier seninya.

Situasi itu secara tidak langsung membuatkan ada beberapa pihak beranggapan bahawa pelakon filem Terbaik Dari Langit itu mungkin sudah beralih angin ke kota seberang untuk mencari rezeki. Perkara itu sedikit sebanyak menimbulkan perasaan bimbang dalam diri si empunya nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin itu.

“Alhamdulillah, saya menerima respons yang baik dalam industri lakonan di sana. Memang banyak juga masa saya habiskan dengan menjalani penggambaran di Indonesia untuk beberapa projek.

“Adakalanya, saya terdetik perasaan risau kalau orang ingat saya sudah tidak berlakon di sini lagi. Mungkin ada yang berkira-kira nak panggil saya berlakon kalau fikir saya ada di sana (Indonesia),” katanya kepada Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi di ibu kota baru-baru ini.



Menurut Bront lagi, dia juga tidak pernah terdetik untuk meninggalkan negara ini dan membina nama di Indonesia. Baginya, dia melihat peluang yang datang daripada produksi luar itu sebagai satu rezeki buatnya.

Katanya, sekurang-kurangnya dia kini mempunyai pilihan lebih banyak dalam menentukan karya-karya yang bersesuaian dengan dirinya.

“Tak kisah sebenarnya peluang yang datang itu dari negara mana. Kalau dahulu mungkin ada satu pilihan sahaja. Kini, sama ada Malaysia atau Indonesia ada beberapa pertimbangan yang perlu saya buat sebelum bersetuju untuk menerimanya.

“Tambahan pula, mungkin atas faktor keluarga. Apabila berada di Indonesia, saya perlu berjauhan dengan isteri dan anak. Jadi, sekiranya tawaran yang diterima itu berbaloi untuk masa yang saya korbankan, mungkin akan dipertimbangkan sebaiknya,” jelas pemegang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-23 menerusi filem Belukar itu.



Ceritanya lagi, penerimaan yang baik di Indonesia itu dianggap sebagai satu rezeki buat dirinya sekeluarga.

“Alhamdulillah, ini semua rezeki anak juga,” katanya yang kini muncul dengan filem baharu dari Indonesia, Ayat-Ayat Cinta 2.

Bercakap mengenai pembabitannya dalam naskhah tersebut, kata Bront, dia memegang watak sebagai seorang lelaki berbangsa Yahudi bernama Baruch.

“Saya berpeluang untuk mempelajari bahasa Ibrani (Hebrew). Memang ada tenaga pengajar yang berada di set untuk memberi tunjuk ajar,” katanya.

Ditanya mengenai kesediaannya untuk berdepan dengan isu sensitif memandangkan dirinya sebagai seorang Islam, kata Bront, dia mempunyai sudut pandang tersendiri.

“Sebenarnya dalam filem itu kalau saya tidak beritahu watak sebagai orang Yahudi, orang pun tidak akan tahu. Pada saya tidak ada sebab untuk disensitifkan kerana dalam konteks lakonan tiada sebarang tindakan yang saya lihat boleh mengganggu akidah,” katanya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post