Badan lemah, Mia Ahmad tolak tawaran


Masih lemah selepas mengalami keguguran, Mia Ahmad terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon kerana mahu berehat dan memulihkan dirinya.

Pelakon ini memberitahu, dia masih tidak boleh terlalu aktif dan perlu mengutamakan kesihatan diri.

"Lagi pun, selepas berkahwin tahun lalu, saya sudah mengambil sikap memilih dalam menimbang tawaran berlakon.

"Cuma untuk permulaan 2018, saya tidak boleh terlalu aktif kerana badan masih lemah selepas keguguran baru-baru ini.

"Kesihatan perlu diutamakan. Jadi saya perlu jaga dan kuatkan badan sekarang," katanya.

Minggu lalu, peminat dikejutkan dengan berita dikongsi Mia yang mengesahkan dirinya keguguran.

Mia yang mendirikan rumah tangga dengan penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan pada 13 Januari lalu, bagaimanapun dilaporkan reda dengan insiden itu.

Penerima trofi Pelakon Wanita Terbaik melalui drama rantaian, Mr Boss Miss Stalker pada Anugerah Telenovela 2017, mengaku ada hikmah atas apa yang berlaku.



"Saya percaya ada baik dan buruknya memperlahankan kerjaya seni tahun lalu demi memberi tumpuan kepada rumah tangga dan diri sendiri.

"Dalam hidup ini, pasti ada kos melepas. Namun, saya gembira dengan keputusan ini. Tiada apa yang perlu dirungutkan," kata pelakon yang mula dikenali menerusi drama Hati Perempuan ini.

Ditanya mengenai sasaran 2018, Mia berkata, tumpuan lebih kepada usaha membina keluarga.

"Saya ambil tawaran berlakon boleh dibilang dengan jari. Drama lakonan saya, Bilo Nogori Jupe Kelate yang menyaksikan saya berganding dengan Nazrief Nazri sedang disiarkan melalui slot Iris di TV3.

"Di sebalik dugaan diuji insiden keguguran, saya akhirnya beroleh kejayaan apabila menang trofi pada Anugerah Telenovela 2017," katanya yang masih berulang-alik antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Post a Comment

Previous Post Next Post