Emma Maembong masih meneruskan hubungannya dengan pelakon Kamal Adli seperti biasa meskipun sebelum ini mereka dikatakan telah berpisah.
Positif mengharungi tahun baharu, pelakon Emma Maembong menjadikan sejarah yang berlaku sepanjang 2017 sebagai pengalaman buatnya mematangkan diri dan asam garam kehidupan sebagai anak seni.
Situasi tersebut termasuk cerita panas tentang ‘kemesraan’ kekasihnya, Kamal Adli dengan gandingan drama rantaian Duda Pujaan Dara, Zahirah Macwilson sehingga mencuri perhatian pengikut industri seni tanah air.
Meskipun riak wajahnya tampil yakin dengan bersemangat baharu, namun Emma atau nama lengkapnya Fatimah Rohani Ismail, 25, mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut mengenai kisah lalu.
Baginya, perancangan masa hadapan lebih penting berbanding menoleh ke belakang meratapi masa lampau. Pada masa sama, dia juga mengharapkan kerjaya dalam bidang lakonan semakin berkembang sementelah sudah lima tahun berkecimpung dalam industri hiburan tanah air, termasuk memastikan pengurusan perniagaan tudung dan kosmetik bawah jenama sendiri berjalan lancar.
KOSMO!: Apakah yang boleh Emma kongsikan tentang pengalaman sepanjang tahun lalu terutama melibatkan tentang kisah hubungan dengan Kamal Adli yang melewati musim panas dingin?
EMMA MAEMBONG: Saya tiada sebarang masalah dengannya dan kami terus berkawan seperti biasa. Segalanya berjalan lancar seperti biasa dan tiada apa yang perlu diulas panjang.
Memasuki tahun baharu, apakah perancangan mahupun harapan anda bagi 2018?
Saya ingin berehat buat sementara waktu. Tidak mengambil terlalu lama kerana sekitar penghujung bulan ini saya akan kembali sibuk di lokasi penggambaran projek istimewa sempena sambutan Aidilfitri bagi naskhah berjudul Awak Suka Saya Tak? Memandangkan Ramadan dijangka jatuh sekitar Mei depan, jadi perancangan dibuat lebih awal. Selain itu, saya ingin memberi fokus ke arah pengurusan perniagaan kosmetik dan tudung. Pastinya setiap tahun kita mengharapkan perkara baik dan menjadi individu yang lebih positif. Jadi, saya mengharapkan 2018 membawa lebih banyak tuah dan tawaran lakonan termasuk perniagaan berjalan semakin lancar.
Melihat ke arah kerjaya lakonan, anda dilihat kerap muncul di kaca televisyen berbanding layar perak. Adakah situasi berlaku kerana tidak diberi peluang atau anda mempunyai penjelasan tersendiri?
Tidak dinafikan, saya ada banyak tawaran untuk berlakon filem. Tetapi, disebabkan masih belum bersedia untuk tampil di layar perak. saya mengambil keputusan untuk menimba lebih banyak pengalaman membintangi drama rantaian. Sebelum ini saya terlibat dalam filem arahan Mamat Khalid bertajuk Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh (2015) dan Kimchi Untuk Awak (2017).
Ketika itu saya berpendapat, kualiti lakonan masih perlu banyak diperbaiki kerana bimbang akan kecaman peminat. Namun, syukur usaha keras sepanjang lima tahun berkecimpung dalam industri berjaya membuahkan hasil apabila saya berjaya membawa pulang trofi Ratu Telenovela dan Pelakon Wanita Prolifik pada acara Anugerah Telenovela 2017 pada 23 Disember tahun lalu. Insya-Allah.
Bagaimana perasaan anda setelah memenangi dua anugerah tersebut?
Pertamanya, saya ingin berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu tidak mengira sama ada secara langsung atau tidak. Apatah lagi, kedua-dua anugerah tersebut juga dinilai oleh juri profesional, itu membuatkan saya berasa bangga dan gembira. Anugerah tersebut juga secara tidak langsung menjadi pembakar semangat untuk saya memberikan lakonan lebih bermutu pada masa akan datang.
Adakah anda sudah berasa cukup berpuas hati dengan pencapaian tersebut?
Secara peribadi, sebagai pelakon saya tidak pernah berasa puas kerana perkara itu akan membataskan kualiti lakonan. Sekiranya mudah berasa selesa, seseorang pelakon itu mungkin tidak akan berusaha untuk meningkatkan kualiti lakonan kerana sentiasa berada dalam zon selesa. Tambahan, masih banyak karakter yang masih belum dijayakan seperti terlibat dalam babak aksi atau membawa watak antagonis.