Ayda Jebat dan Redza Rosli dikaitkan bercinta.
Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat mengambil pendekatan mengunci mulut mengenai gosip terbaharu mengatakan dia kerap menemani aktor Redza Rosli di lokasi penggambaran gara-gara cemburu.
Ketika dihubungi mStar Online, penyanyi lagu Mata berusia 25 tahun ini menganggap dakwaan tersebut adalah hal yang tidak perlu dihuraikan kerana ia bukan perkara yang sesuai.
"Saya rasa tak perlu ulas perkara begini sekarang. Malah, rasanya ia tidak sesuai untuk saya perkatakan.
"Saya mahu pada 2018 ini menjadi lebih positif dan kalau boleh saya tak mahu lagi jawab soalan-soalan yang boleh buat orang tertanya-tanya lagi. Saya harap anda memahami," katanya.
Ayda Jebat enggan memberi komen dakwaan cemburu dilemparkan kepadanya.
Isu itu mula diperkatakan apabila ada sumber memaklumkan Ayda atau Nur Suhada Jebat sering dilihat menemani Redza di lokasi penggambaran kebelakangan ini kerana dipercayai cemburu pembabitan aktor itu bersama pelakon wanita lain.
Situasi itu dikatakan menimbulkan perasaan kurang senang orang sekeliling yang berurusan dengan Redza ketika penggambaran.
Ditanya pula mengenai perkembangan hubungannya dengan Redza, Ayda berkata, dia tetap menganggap aktor itu sebagai sahabat rapat.
"Saya senang dengan keperibadian dan sikap Redza sebab itu kami selesa berkawan. Kebetulan pula, saya tidak ada ramai kawan untuk berborak dan berkongsi cerita.
"Malah, kami juga ada beberapa komitmen kerja untuk dipromosikan bersama. Jadi sudah tentu kami masih berkawan macam biasa," katanya.
Ayda berkata pada tahun ini, dia merancang untuk mengurangkan komitmen lakonan kerana mahu lebih fokus pada cabang nyanyian.
"Pada tahun lepas saya dah siapkan dua rakaman lagu single baharu dan sekarang dalam proses akhir untuk memperkemaskan lagu itu. Saya rancang mahu mengeluarkan single pertama itu pada bulan ini. Tahun ini juga saya ingin mengembangkan lagi kerjaya nyanyian.
"Jadi untuk lakonan itu, saya perlu pilih-pilih, mungkin satu filem dan satu drama siri saja. Kalau tawaran watak itu lebih kurang dengan yang pernah saya bawa sebelum ini saya tak ambil rasanya. Kita tengoklah nanti macam mana," kata pelakon drama siri Dekatkan Jarak Kita ini.