Tidak dinafikan nama penyanyi lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun terpalit kontroversi antara paling hangat pada tahun 2017. Siapa sangka, perkahwinannya dengan wanita bernama Siti Arifah Mohd. Amin atau Joy Revfa menjadi perhatian meluas media dan netizen.
Hafiz, 33, ketika ditemui pada sidang akhbar Anugerah Nasyid 2017 (AN17) di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) baru-baru ini menyifatkan 2017 sebagai tahun paling mencabar buat dirinya sebagai seorang manusia.
Tidak mahu lagi mengungkit kisah tersebut, pelantun lagu Kasih Padamu itu reda dengan ketentuan Ilahi malah berharap akan dibuka peluang mendirikan rumahtangga lagi.
Apa yang berlaku sebelum ini menjadi pengajaran cukup berharga buat dirinya untuk menempuhi hari mendatang sebagai seorang manusia lebih bijak dalam membuat pilihan. Kata Hafiz, dia tidak trauma untuk mendirikan rumah tangga namun biarlah menstabilkan kehidupannya terlebih dahulu selepas ‘tragedi’ yang menimpanya.
Kosmo!: Apa yang boleh Hafiz rumuskan tentang perjalanan hidup anda sepanjang tahun 2017?
HAFIZ HAMIDUN: Banyak pengalaman yang saya timba pada tahun ini. Perancangan untuk berumahtangga berjaya namun tidak seindah yang dijangka. Walaupun saya cuba sedaya upaya untuk menyelamatkannya, ia berakhir dengan keadaan yang rumit. Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi apa yang berlaku menjadi pengajaran buat diri saya. Di laman sosial, saya masih mendapat komen-komen yang menyakitkan hati tentang hal itu (kegagalan perkahwinan). Saya mohon tolong beri peluang memperbaiki diri dan melupakan apa yang berlaku.
Adakah tahun 2017 merupakan tahun paling mencabar buat diri anda?
Cukup luar biasa cabaran yang ditempuhi pada tahun ini. Bahkan bukan sahaja buat diri saya tetapi orang terdekat seperti keluarga. Saya tidak pernah diuji dengan begitu berat sekali. Begitupun, apa yang menguatkan saya adalah sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan teman media. Tanpa semua sistem sokongan tersebut, saya tidak mungkin akan dapat menempuhi cabaran besar yang saya lalui walaupun penyudahnya bukan sesuatu menggembirakan.
Adakah anda trauma untuk mendirikan rumah tangga selepas ini?
Beri saya tempoh setahun dua untuk melupakan episod hitam ini. Jodoh dan rezeki semua adalah di luar kuasa saya. Biar saya perbetulkan hidup saya semula. Kalau jodoh datang, siapa saya untuk menolaknya.
Apa yang berlaku sebelum ini, adakah sedikit sebanyak mengganggu perjalanan seni anda?
Selama tiga bulan perkara itu menjadi bualan ramai, banyak perkara yang terpaksa saya batalkan. Namun, kehidupan harus diteruskan dan cuba menjalani kehidupan seperti biasa. Saya mengisi masa dengan melakukan perkara digemari seperti merakam lagu di studio rakam dan melancong. Sejujurnya, banyak benda menjadi kucar-kacir dan tentunya kepercayaan orang terhadap saya juga terjejas kerana terpaksa membatalkan banyak program yang telah dirancang. Bagaimanapun, perlahan-lahan rezeki itu datang kembali.
Bagaimana pula reaksi daripada keluarga selepas insiden tersebut berlaku?
Keluarga tidak marah dan tidak menyalahkan pihak lain. Kalau saya salah, saya tetap salah dan kalau orang lain salah, saya tidak mahu melihat seperti mereka salah. Alhamdulillah, mereka memahami keadaan saya.
Apa perancangan anda untuk tahun depan?
Perancangan saya untuk bercuti sepanjang tahun. Insya-Allah, sebelum bulan puasa saya bercadang untuk melancong sambil bekerja di Eropah, Afrika Selatan dan negara di Asia Barat. Saya juga bercadang untuk pergi ke Amerika Syarikat. Selepas hari raya, saya ingin ke New Zealand, Australia dan Jepun.