Sejak akhir-akhir ini agak sukar untuk menghubungi pelakon Shah Iskandar, 35, hingga ada mengatakan dia sombong serta sengaja mengelak dengan media.
Shah atau Shah Iskandar Mahfuz ketika dihubungi menafikan dirinya sengaja mengelak apatah lagi menyombong dengan media dan juga orang industri.
Katanya, banyak panggilan telefon tidak dapat dijawab kerana sibuk selain penat selepas menjalani penggambaran.
“Bukan saya sengaja tidak membalas atau menjawab panggilan. Sebenarnya saya memang berniat untuk berbuat demikian tetapi selalu tidak berkesempatan kerana terlalu penat.
“Jadual penggambaran saya kini sangat ketat sehingga tiada masa untuk diri sendiri. Saya terpaksa menolak sebarang jemputan fotografi mahupun acara.
“Tapi saya bukannya sengaja menyombong dan tidak mahu didekati,” katanya.
Pelakon Singapura itu menjelaskan, pembabitannya dalam drama Dendam Aurora sebanyak 100 episod sangat membataskan masanya.
Katanya, dia sendiri jarang dapat meluangkan masa dengan isteri, Siti Sarah Mohd Noor memandangkan perlu berada di set seawal Subuh hingga tengah malam.
“Saya sebenarnya kasihan dengan isteri kerana penggambaran itu membuatkan saya kena sentiasa meninggalkannya. Tambah pula penggambaran banyak dilakukan di luar Kuala Lumpur,” katanya.