Jihan Muse, Ungku Hariz risau bersalin di pentas GV4


Kehadiran cahaya mata dalam institusi kekeluargaan bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan suami isteri tetapi turut menjadi impian bagi setiap pasangan yang berumah tangga.

Keinginan tersebut semakin dirasai oleh pasangan selebriti Jihan Muse dan suami, Ungku Hariz yang berumah tangga sejak Mac tahun lalu. Penantian untuk menimang cahaya mata yang telah disahkan lelaki pada Januari depan pastinya amat mengujakan sementelah kandungan Jihan kini memasuki usia 33 minggu.

Biarpun menghampiri waktu untuk melahirkan zuriat sulungnya, Jihan atau nama lengkapnya Nuur Jihan Musa bagaimanapun mengakui, belum membuat sebarang persiapan, terutama melibatkan kelengkapan bayi.

Baginya, tiada apa yang perlu dikejarkan dalam membuat persiapan kerana segalanya masih boleh dilakukan pada saat akhir.

“Mulanya, persediaan kelengkapan bayi tidak dilakukan kerana saya tidak mengetahui jantina anak sehinggalah didedahkan sewaktu sidang akhbar pada hari ini (kelmarin). Insya-Allah setelah mengetahui bakal menimang cahaya mata lelaki, kami akan cuba mempersiapkan segalanya nanti,” ujar sambil tersenyum gembira.

Pada masa sama, Jihan turut berasa terkejut dan teruja apabila doktor yang merawatnya dari Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Dr. Norleen Mohd. Salleh mengumumkan dia bakal mendapat anak lelaki ketika sidang akhbar program Hi Mommy Jihan! di sebuah restoran di ibu kota kelmarin.


Kehamilan

Mengakui tidak pernah mengambil pusing soal jantina anak melainkan memastikan tahap kesihatan bayi sentiasa berada dalam keadaan baik dan sihat, Jihan memberitahu, dia lebih gemarkan kejutan tatkala melahirkan bayi kelak.

Katanya, momen itu lebih bermakna berbanding terlalu ghairah membuat persiapan mengikut jantina anak hanya dengan berdasarkan keputusan pemeriksaan imej imbasan bayi.

“Berdasarkan pengalaman kenalan dan keluarga terdekat, ada sebahagian daripada mereka berasa kecewa kerana jantina bayi berbeza banding sewaktu melakukan imbasan dengan setelah dilahirkan.

“Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk tidak mahu mengambil pusing soal jantina, mahupun melakukan sebarang persiapan mengikut jantina anak,” terang pengacara rancangan Gegar Vaganza (GV) itu ceria.

Wanita berusia 34 tahun itu turut berkongsi pengalaman ketika fasa awal kehamilannya sehingga kandungannya kini mencecah usia 33 minggu.

Tanpa mengalami sebarang alahan mahupun mengidam menikmati pelbagai juadah tertentu seperti kebanyakan wanita hamil, Jihan memberitahu, dia tidak mengalami sebarang perubahan melainkan peningkatan berat badan dan simptom normal seperti muntah-muntah.

Perkara tersebut secara tidak langsung membuatkan dia bersyukur kerana tahap kesihatannya sentiasa berada dalam keadaan baik meskipun kadang-kala mudah berasa letih dan kepenatan.

“Disebabkan tuntutan kerja saya tidak mahu kesakitan yang dialami itu akan mengganggu emosi sehingga menyebabkan hilang tumpuan. Jadi, apabila berasa sakit saya akan cuba berehat seketika sebelum memulakan sebarang aktiviti.

“Tambahan, khalayak mengetahui sikap saya yang gemar berjenaka dan sentiasa aktif di hadapan kamera. Sekiranya mempamerkan reaksi tidak bermaya, bimbang pihak stesen televisyen akan menggantikan dengan artis lain,” ujarnya berseloroh sambil melepaskan ketawa kecil.

Persediaan
Mengalihkan pandangan kepada insan tersayang yang setia di sisi, Jihan tidak menafikan suaminya Ungku Hariz atau nama lengkapnya, Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli seorang yang mudah panik apabila melibatkan soal kelengkapan baik.

Pelakon filem Polis Evo itu bagaimanapun menjelaskan, dia berasa panik kerana bimbang sebarang persiapan bayi masih belum dilakukan.

Menurutnya, memandangkan ini merupakan cahaya mata pertama, jadi dia menginginkan segala keperluan bayi tersedia bagi memudahkan proses penjagaan bayi sejurus dilahirkan kelak.

Berdasarkan nasihat doktor, keadaan isterinya yang kemungkinan akan bersalin lebih awal berbanding tarikh jangkaan juga membuatkan dia lebih prihatin terhadap keselamatan Jihan.

Memandangkan konsert akhir GV musim keempat bakal berlangsung di selatan tanah air, Ungku akan menemani isterinya selain membuat pilihan tentang hospital dan prosedur pemilihan tempat kelahiran.

“Tahap kesihatan Jihan ada masanya terganggu membuatkan saya berasa bimbang dan mengambil keputusan untuk menemaninya ke Johor pada konsert akhir GV4, Ahad ini.

“Saya pastinya menginginkan yang terbaik buat dirinya dan tidak mengharapkan proses dan prosedur kelahiran bayi berjalan lancar. Memandangkan saya mempunyai susur galur dengan kerabat diraja Johor, jadi terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira terutama melibatkan pendaftaran anak.

“Saya juga perlu bersiap sedia secara mental dan fizikal terhadap segala kemungkinan sekiranya Jihan bersalin ketika dia sedang mengendalikan program GV4 nanti,” terang pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu mengenai persediaannya sambil berseloroh.

Diari hamil Jihan

Mengulas mengenai persediaan menyambut kelahiran zuriat pertamanya itu, kisah kehamilan Jihan di rakam dalam bentuk blog video (vlog) dan disiarkan menerusi program Hi Mommy Jihan! secara atas talian dan menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Vlog program tersebut akan dimuat naik di laman YouTube MeleTOP pada setiap hari Khamis dan Jumaat sejak 7 Disember lalu, pukul 9 malam. Manakala bagi siaran di kaca televisyen, program berkenaan bersiaran pada setiap hari Isnin dan Selasa, pukul 10.55 malam serentak di saluran Astro Ria dan Ria HD.

Kata Ungku, program berkenaan bakal memaparkan gelagat lucu mereka berdua bersama beberapa kenalan artis seperti Rozita Che Wan, Nabil Ahmad dan Liza Hanim.

“Rakaman vlog mula dilakukan sejak kandungan Jihan berusia 31 minggu. Ia akan bersiaran sebanyak 30 episod dan diharapkan penonton dapat meluangkan waktu menontonnya seisi keluarga,” kata Ungku yang turut menjangkakan program berkenaan mendapat sambutan baik sehingga meraih sejuta tontonan pada minggu pertama tayangan.

Harapan sama turut dizahirkan oleh Jihan yang mengharapkan agar program tersebut secara tidak langsung dapat membantu penonton tentang menguruskan diri mahupun pasangan yang sedang hamil.

“Memandangkan kami kurang berkongsi aktiviti peribadi di media sosial terutama Instagram, justeru program ini merupakan perkongsian terbaik untuk peminat mengikuti perkembangan sepanjang proses kehamilan saya,” terang Jihan seraya tersenyum saat mengakhiri perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post