Adi Putra berserah


Datuk Adi Putra mengakui setiap yang berlaku di dalam hidup setiap individu adalah ujian dari-Nya dan akuinya, jika tiada ujian maknanya tiadalah kasih dari ALLAH SWT.

Adi atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera Halim,36, meluahkan rasa tersebut selepas ditemui Sinar Harian di majlis pelancaran trailer filem terkininya, Makrifat Cinta yang turut menampilkan Nabila Huda, Nora Danish dan Syamsul Yusof sebagai teraju utamanya di IRDKL, Shah Alam semalam.

Adi Putra ketika hadir di majlis pelancaran trailer filem Makrifat Cinta.

Ditanya mengenai dua laporan polis yang telah dibuat bekas isteri keduanya, Norshahida di Balai Polis Nilai baru-baru ini kerana dikatakan Adi telah memalsukan sijil nikah mereka pada awal Januari lalu atas urusan perniagaan, pelakon kelahiran Singapura itu bagaimanapun enggan memberikan komen lanjut.


“Saya tiada komen (mengenai perkara tersebut) kerana saya adalah saya. Biarlah perkara itu berlalu dan itu hak dia. Kalau sudah buat laporan polis, mungkin saya tidak berada di sini untuk ditemu bual. Jadi kita berserah,” katanya lanjut.

Mengulas mengenai perjalanan hidupnya sepanjang tahun ini, pelakon KL Gangster dan Balistik itu menganggap apa yang terjadi merupakan sebuah titian perjalanan.

“Saya percaya individu lain pun akan terus menjalani perjalanan hidup masing-masing dan akan alami pelbagai ujian. Bagi saya sama ada tahun 2017 atau masa akan datang, kita tak boleh lari dari hadapi ujian selagi nama kita manusia,” akhiri Adi.

Post a Comment

Previous Post Next Post