
Biarpun kurang sihat, ia tidak pernah mematahkan semangat Syura. Dia merancang untuk menerbitkan single selepas gagal ke final GV4.
Selepas enam minggu bertahan di pentas Gegar Vaganza musim keempat (GV4), penyanyi lagu Nazam Berkasih, Syura tersingkir pada peringkat separuh akhir yang berlangsung di Dewan Seri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Biarpun tersingkir pada saat akhir, Syura atau nama lengkapnya, Zuraidah Badron, 31, tetap berasa puas hati dengan persembahannya mendendangkan lagu bertajuk Dokter Cinta dan Cinta Antara Benua.
Tidak menafikan penyingkirannya berpunca daripada kelemahan diri sendiri yang gagal membuat persembahan dengan baik, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu turut memberitahu, salah satu perkara tersebut berlaku kerana masalah penyakit misteri yang dialaminya beberapa minggu lalu.
Pertemuan singkat bersama pakar motivasi, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah telah mengubah perspektif Syura mengenai penyakitnya, sekali gus berhasrat untuk menjalani rawatan tradisional dalam tempoh masa terdekat.
KOSMO!: Bagaimanakah perasaan Syura apabila tersingkir pada peringkat separuh akhir GV4?
SYURA: Secara peribadi saya sendiri tidak berpuas hati dengan persembahan yang dilakukan pada konsert berkenaan. Namun, segalanya telah ditakdirkan dan sememangnya tertulis rezeki saya cukup sampai di sini. Saya menerimanya dengan hati terbuka.
Selepas menyertai GV4, adakah anda mempunyai sebarang perancangan untuk kembali aktif dalam lapangan seni muzik tanah air?
Pastinya saya mempunyai perancangan ke arah itu tetapi segala keputusan perlu dibuat dengan baik, selain melakukan penilaian dengan terperinci. Hal itu disebabkan selepas menjuarai program Masterchef Selebriti musim kedua (2013), saya berusaha untuk membuat kemunculan semula tetapi tiada rezeki.
Percubaan saya kurang mendapat sambutan dan menyebabkan berasa kecewa serta berhati-hati sekiranya ingin membuat kemunculan semula. Bagaimanapun, saya ingin berterima kasih kepada pihak GV4 kerana memberikan platform, sekali gus membantu perancangan untuk membuat kemunculan semula.
Setelah menyertai program nyanyian D’ Academy Asia musim kedua pada tahun lalu dan GV4, bolehkah anda kongsikan pengalaman terlibat dalam kedua-dua rancangan televisyen berkenaan?
Tujuan saya menyertai program D’ Academy Asia musim kedua kerana ingin menimba pengalaman selain mempelajari teknik nyanyian baharu. Sejujurnya saya tidak menghadiri sebarang kelas vokal selain daripada mendengar cara nyanyian penyanyi lain dalam industri dan luar. Radio adalah menjadi tempat untuk saya membuat rujukan dan mempelajari teknik nyanyian.
Namun, setelah menyertai D’ Academy Asia, saya diberi peluang untuk belajar teknik vokal daripada guru profesional. Sementara itu, penglibatan dalam GV4 pula telah membuka ruang buat saya untuk berkongsi pengalaman dengan penyanyi senior termasuk Datuk Ramli MS. Beliau banyak memberi nasihat dan setiap kritikannya membantu saya untuk memperbaiki diri dan menjadi lebih baik.
Banyak peminat berpendapat cara nyanyian anda tidak ubah seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza. Bagaimanakah komen anda?
Pada saya, khalayak mungkin melihat cara nyanyian seakan sama kerana ton suara. Saya memang mempunyai ton suara seperti itu dan tidak boleh diubah. Kadangkala terdapat beberapa bahagian kedengaran sama, tetapi saya menyanyi dengan cara saya sendiri.
Menurut anda apakah yang menjadi punca kegagalan sehingga tersingkir?
Saya tidak mempertikai keputusan juri dan pasrah dengan segala yang berlaku. Secara peribadi saya sendiri tidak berpuas hati dengan persembahan lagu pertama (Dokter Cinta) sehingga mengundang kritikan daripada pihak juri.
Saya menerimanya dengan baik tetapi apa yang boleh dikongsikan ialah saya berasa kurang sihat ketika ingin membuat persembahan. Saya mengalami demam dan migrain. Selain itu saya juga mengalami masalah kesihatan misteri yang kini sedang berusaha untuk mendapatkan rawatan secara tradisional.
Bolehkah jelaskan apakah yang berlaku dan mengapakah anda berpendapat sebegitu?
Beberapa minggu lalu saya bertemu secara tidak sengaja dengan pakar motivasi, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah di sebuah stesen radio. Ketika itu, beliau memanggil nama saya dan bertanyakan sama ada mengalami sebarang mimpi buruk, senggugut atau migrain.
Saya mengakui kerap mengalami migrain, kemudian beliau menasihati agar memperbanyakkan beribadah dan memaafkan individu yang telah berbuat jahat kepada saya.
Beliau tidak menjelaskan secara terperinci tetapi menerusi riak wajah dan kata-kata membuatkan saya berasa setiap ada sesuatu yang tidak baik. Tambahan, ada kenalan dalam industri juga menasihati agar saya mendapatkan rawatan tradisional kerana bimbang ia akan melarat.
Saya juga ada menceritakan kepada ahli keluarga tentang masalah kesihatan ini dan mereka juga menasihati agar segera menjalani rawatan.
Adakah sebarang perkara pelik atau kejadian misteri yang anda alami setelah menyedari perkara itu?
Biarpun ada yang berpendapat sebegitu tetapi saya tetap yakin dengan kuasa Allah dan percaya setiap penyakit ada penawarnya. Insya-Allah saya akan segera mendapatkan rawatan tradisional pada kadar segera.
Perkara itu berlaku sebelum saya menyertai program GV4. Ketika itu saya dalam perjalanan ke Indonesia kerana tuntutan kerja. Sepanjang perjalanan, saya muntah sebanyak tiga kali dan sekali di hotel. Kadang-kala saya berasa demam secara tiba-tiba tetapi kemudian akan pulih seperti sediakala.
Sejak itu, saya berasa pelik mengapa demam dan pulih secara tiba-tiba sehingga berat badan turun sebanyak 12 kilogram. Dalam pada itu, saya menyedari perubahan diri yang kerap berpeluh terutama saat membuat persembahan di atas pentas.
Keluarga juga kerap bertanya mengapa ia berlaku sedangkan saya sebelum ini tidak bersikap sebegitu. Namun, saya tetap positif dan mengatakan ia mungkin berlaku disebabkan rasa tertekan dan kepenatan dengan kerja.