
Lakonan - Sedang hangat dengan drama rantaian Coffee Prince, kata Janna, komitmennya terhadap dunia lakonan tidak akan berkurang hanya kerana dia juga bergelar penyanyi.
Tidak mahu terlalu memikirkan pandangan orang terhadap kebolehan diri, pelakon Janna Nick ingin terus mengejar impian bergelar pengarah muda dalam landskap seni tanah air.
Sebagai langkah awal mengejar impian tersebut, Janna atau pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner itu mempertaruhkan debut dalam bidang penerbitan melalui klip video single terbaharu berjudul Akan Bercinta.
Lebih membanggakan, klip video berkenaan yang baru dimuat naik selama empat hari telah mencecah lebih 300,000 tontonan dalam laman YouTube.
Wanita berusia 22 tahun itu berkata sesi penggambaran klip video Akan Bercinta tersebut mengambil masa dua hari untuk disiapkan ketika berada di Roma, Itali.
“Konsep klip video berkenaan merupakan cambahan idea saya sendiri. Bagaimanapun, klip video pertama yang saya hasilkan ini tidak mungkin menjadi realiti tanpa bantuan dan khidmat nasihat daripada mereka yang terlibat dalam penghasilan drama Coffee Prince.
“Biarpun berpuas hati dengan hasil produk akhir klip video ini tetapi masih banyak yang boleh diperbaiki.
Ia merupakan sesi pembelajaran dalam bidang penerbitan buat diri saya,” katanya.
Janna berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Akan Bercinta di Neway Karaoke Box, One Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Cabaran
Pelakon drama Coffee Prince itu menjelaskan, kekangan masa merupakan cabaran utama yang perlu dilalui sepanjang penggambaran klip video berkenaan.
“Saya hanya berada selama lima hari di Roma, Itali. Justeru, saya perlu menggunakan masa dengan sebaik mungkin kerana menjalani dua penggambaran klip video termasuk single duet bersama Alvin Chong berjudul Aku Kamu.
“Berbeza dengan Malaysia, keadaan cuaca yang gelap pada pukul 4.30 petang juga merumitkan lagi proses penggambaran kerana mengejar masa,” ujarnya.
Begitupun, pelantun lagu Mungkin Saja itu menganggap ia sebagai cabaran dalam pembikinan klip video pertamanya.
Selain itu, Janna berkata, dia ingin mengetengahkan konsep klasik dalam pembikinan klip video itu.
“Saya perlu mencari lokasi sesuai untuk menjalani penggambaran. Ia berikutan Roma merupakan kawasan tumpuan pelancong dan berdepan khalayak yang memakai pakaian moden,” katanya sambil tersenyum.
Ditebak soalan sama ada artis di bawah naungan Laugh Out Loud Entertaintment itu sudah bersedia membikin filem ataupun drama. Janna memberitahu, masih banyak yang perlu dipelajari sebelum mempertaruhkan diri berkecimpung dalam bidang perfileman atau drama.
“Saya terlebih dahulu ingin belajar secara formal tentang bidang perfileman, pengarahan dan pengurusan produksi. Ia berikutan saya hanya belajar secara praktikal apabila berada di set penggambaran.
“Pembikinan klip video Akan Bercinta merupakan platform memahami dalam pengarahan industri muzik dan perfileman,” ujarnya.
Sebagai anak seni, Janna menyimpan keazaman bergelar pengarah muda tetapi perlu menuntut ilmu terlebih dahulu untuk merealisasikan impian tersebut.
Dia tidak menafikan berasa tertekan dengan jadual padat yang diharungi sepanjang penggambaran drama, klip video dan pembikinan single terbaharu.
“Dalam tempoh tiga bulan sehingga hari ini, saya akui berasa sangat tertekan. Bagaimanapun, penat dan tertekan saya masih mementingkan kualiti dalam apa sahaja dilakukan untuk memberikan yang terbaik buat peminat.
“Sudah tentu saya berasa penat tetapi akan cuba memberikan yang terbaik. Saya tidak boleh mengambil sesuatu benda sambil lewa, malah akan mencari masa untuk berehat agar dapat membikin sesuatu yang baik,” ujarnya.
Single baharu
Janna turut ditanya berhubung pembikinan single terbaharu selepas terdapat segelintir khalayak mempertikaikan kredibilitinya dalam bidang nyanyian.
“Kalau hendak ikut orang yang pertikaikan kebolehan diri ini, saya akan berada pada tahap itu sahaja. Justeru, saya sentiasa akan ikut gerak hati dan peminat.
“Bahkan, saya mementingkan kualiti dan akan memberikan yang terbaik dalam bidang lakonan mahupun penghasilan sesuatu produk baharu agar orang yang benci ataupun tidak menyukai saya akan beralih arah suatu hari nanti,” katanya.
Anak kelahiran Kedah itu memberitahu, lagu Akan Bercinta merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh vokalis Drama Band iaitu Aepul Roza.
Katanya, ia berkisar tentang seorang wanita yang menyimpan perasaan terhadap lelaki idaman dan berharap dapat bercinta dengan lelaki itu.
“Saya lebih yakin dalam membawa lagu single kedua ini berbanding Mungkin Saja. Bukan kerana lagu ini lebih bagus tetapi terdapat keyakinan dalam diri walaupun berdepan pelbagai rintangan sebelum proses rakaman dilakukan.
“Di samping itu, Aepul juga banyak memberi tunjuk ajar dalam kawalan vokal bagi single terbaharu ini. Ia umpama saya masih bayi ketika single pertama tetapi kini sudah mula bertatih dan bersedia berjalan dengan lebih pantas,” katanya.