
Barisan pelakon dan tenaga produksi drama bersiri Syurga Yang Kedua. Antara yang hadir termasuk Jalaluddin Hassan (berdiri tiga dari kiri).
Sejak menyertai program Gegar Vaganza musim yang ketiga pada tahun lalu, rezeki Zarul Husin dalam bidang seni semakin memekar. Selain karier nyanyian yang semakin rancak, Zarul atau nama sebenarnya, Zairulkefli Husin, 44, dilihat turut mengembangkan bakat dalam bidang lakonan.
Selepas berjaya mencuri tumpuan dalam beberapa buah drama seperti Misteri Sofa Lama dan Cik Serba Tahu, vokalis kumpulan Umbrella itu diberi pula tanggungjawab untuk memainkan peranan utama dalam drama bersiri 70 episod berjudul Syurga Yang Kedua.
Menariknya, selain bergandingan dengan nama-nama besar seperti Fasha Sandha, Elizad Sharifuddin dan Datuk Jalaluddin Hassan, Zarul bakal membawakan watak Daniel, seorang suami berusia 40-an yang berkahwin dua.
Biarpun agak risau untuk menjayakan watak tersebut, Zarul berkata, masyarakat kini lebih bersifat terbuka dalam menerima sesuatu perubahan menerusi penerbitan drama.
“Agak risau juga untuk membawa watak tersebut memandangkan isu poligami merupakan isu yang agak sensitif dalam kalangan masyarakat.
“Namun saya percaya, penonton semakin matang dalam menilai. Tambahan pula, Syurga Yang Kedua tidak hanya memaparkan isu kahwin dua semata-mata, sebaliknya drama ini turut mengangkat kisah semasa yang berkisar tentang permasalahan keluarga,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama tersebut di Penang Village, Great Eastern Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berbicara mengenai poligami, sebagai seorang lelaki yang telah berkahwin, Zarul mengakui bahawa ia merupakan sebuah realiti yang sukar untuk diterima.
“Secara faktanya, poligami itu mudah Tetapi apabila ia dilakukan tanpa pengetahuan pihak tertentu, ia menjadi sukar,” katanya.
Ditebak dengan soalan tentang keperluan atau keinginan Zarul dalam soal poligami, penyanyi yang popular dengan lagu Ramalanku Benar Belaka itu ketawa besar.
“Saya sayangkan isteri saya,” ujar suami kepada Intan Nur Fathihah itu dalam nada jujur.
Melanjutkan bicara mengenai drama bersiri yang diadaptasi daripada sinetron dari Indonesia Surga Yang Kedua itu, Zarul berkata dia menerima banyak tunjuk ajar, terutama daripada Fasha dan Elizad.
Kongsi ilmu
Zarul berkata, dua pelakon yang memegang watak isterinya, Fasha dan Elizad begitu senang berkongsi ilmu, lebih-lebih lagi apabila menjayakan babak-babak berat penuh emosi.
“Saya berasa bersyukur kerana mereka banyak membantu dalam proses menjiwai watak.
“Pada masa sama, pelakon Ellie Suriaty yang bertindak sebagai guru lakonan juga tidak pernah lelah untuk memperbaiki kekurangan lakonan saya,” katanya lagi.
Beralih tentang cabaran lakonan, Zarul mengakui tugasnya untuk membawakan watak utama sedikit sebanyak menyebabkan jadual kerjanya menjadi lebih padat.
Justeru, dia terpaksa berkompromi terhadap kerjaya nyanyian yang terpaksa direhatkan seketika untuk tempoh beberapa bulan.
“Sejak memulakan penggambaran pada Ogos lalu, saya menumpukan sepenuh perhatian kepada lakonan.
“Namun, pihak produksi akan memberikan saya cuti jika saya perlu menghadiri persembahan pentas yang terlebih dahulu telah dipersetujui sebelum saya memulakan penggambaran,” kata Zarul yang begitu menghargai tolak ansur pihak produksi sepanjang bekerja dengannya.
Sebelum mengakhiri perbualan, Zarul menegaskan bahawa karier lakonannya berjalan seiring dengan nyanyian.
“Biarpun banyak berlakon, ia tidak memberi gambaran yang saya akan memberi fokus kepada satu bidang sahaja.
“Saya akan terus menyanyi. Jika diberikan tawaran berlakon dan masa mengizinkan, saya menerimanya dengan hati terbuka,” tutup Zarul.