Sweet Child mahu terus berkarya


Biarpun berdepan persaingan dan cabaran dalam era digital, kumpulan Sweet Child tidak mahu mengangkat bendera putih dalam membikin karya muzik versi mereka.

Sweet Child yang sudah bertapak dalam industri seni sejak lebih dua dekad menyedari kesukaran menembusi pasaran muzik tanah air semakin mencabar.

Vokalisnya, Acong memberitahu, mereka akan terus berkarya selagi memiliki kemampuan dan kudrat mewarnai industri muzik tanah air.

“Sebagai antara kumpulan yang sudah lama bertapak dalam industri sejak tahun 1990-an, kami akan cuba sedaya upaya untuk meneruskan cinta mendalam terhadap muzik sebagai sebuah kumpulan.

“Begitupun, saya tidak menafikan cabaran yang dilalui bagi mengetengahkan muzik-muzik kami. Zaman telah berubah dan kami perlu menyesuaikan diri dengan landskap muzik hari ini,” kata Acong dalam satu pertemuan di Studio Utusan baru-baru ini.

Selain Acong, Sweet Child turut dianggotai Ahmad Zamri Zainal Abidin (Ijan), Romzi Mohd. Minsawi (Pet) dan Suzahari Aziz (Yem).

Masih bercerita tentang suasana muzik hari ini yang jauh berbeza berbanding dahulu, Acong atau nama sebenarnya, Ahmad Fauzi Manat menjelaskan, perincian harus diberikan bukan hanya dari aspek pembikinan muzik bahkan strategi promosi yang memerlukan transformasi, khususnya penggunaan media sosial.

Cabaran

“Sweet Child perlu bersaing dengan kumpulan-kumpulan baharu yang mempunyai ramai pengikut di laman media sosial dan YouTube,” ujarnya.

Peserta program Gegar Vaganza musim kedua (GV2) itu menambah Sweet Child perlu menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut kerana ia merupakan medium penting bagi melancarkan sebarang kempen publisiti.

Dalam nada terkilan Acong meluahkan, terdapat sesetengah pihak yang mengambil pendekatan untuk memutarkan lagu berdasarkan jumlah pengikut di laman media sosial atau YouTube.

“Saya tidak menyalahkan pendekatan tersebut kerana ia mengikut peredaran zaman malah sudah menjadi satu trend.

“Bagaimanapun, saya masih menyimpan impian dan harapan agar artis-artis lama diberi peluang serta kesempatan diputarkan lagu-lagu mereka di corong radio,” katanya.

Acong memberitahu platform seperti GV juga telah membuka jalan memperkenalkan semula artis-artis lama kepada khalayak. Katanya, ia sekali gus menjadi pembakar semangat kepada artis lama untuk kembali menghasilkan karya baharu.

“Tetapi, salau kami menghasilkan karya baharu tetapi tidak mendapat peluang diputarkan di corong radio, itu akan melemahkan semangat untuk terus berkarya,” ujarnya.


Penghibur

Dalam perkembangan lain, Sweet Child sedang menghasilkan dua single baharu yang akan dilancarkan pada tahun ini.

“Pada tahun lalu, Sweet Child telah menghasilkan dua lagu baharu dengan rentak balada berjudul Doa Dariku dan Lepaskanmu.

“Biarpun dua lagu tersebut kurang diputarkan di radio, Sweet Child tetap akan membikin dua lagi single baharu berentak rancak,” katanya.

Sementara itu, Yem selaku pemain keyboard memberitahu, Sweet Child kini dikenali sebagai kumpulan penghibur apabila mendapat undangan mengadakan persembahan dalam majlis-majlis rasmi.

“Selain menyanyi dan menghiburkan audiens, Sweet Child turut menyelitkan sedikit unsur humor dalam persembahan.

“Pada mulanya, agar gementar juga dengan sambutan audiens kerana bimbang penonton tidak akan ketawa dengan humor yang diketengahkan. Alhamdulillah, mereka boleh menerima pembaharuan kami,” ujarnya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post