
Dilabel sebagai perintis jenama hip hop tanah air, Joe Flizzow bukanlah satu figura yang memerlukan introduksi seperti artis yang lain. Sejak zaman Too Phat sekitar lewat tahun 1990-an, pemilik nama sebenar, Johan Ishak itu sudah jauh berkelana, bukan hanya atas nama muzik, malah dunia usahawan yang diceburinya.
Muncul dengan single terbaharu berjudul Drop yang diterbitkan oleh Alif (Sleeq) dan telah diadun oleh jurutera muzik terkemuka dunia, Chris Athens, Joe, 38, optimis mahu menembusi pasaran antarabangsa seperti penyanyi terkemuka lain, antaranya Jay Park (Korea Selatan), Agnez Mo (Indonesia) dan tidak ketinggalan, Yuna.
“Sebenarnya, saya cemburu dengan rakan-rakan saya. Jay Park misalnya sudah bernaung bawah syarikat rakaman milik Jay Z (Roc Nation). Agnez Mo pun bekerjasama dengan Chris Brow dan Yuna semakin mengorak langkah di Amerika Syarikat.
“Saya gembira dengan kejayaan mereka, sekali gus memberi inspirasi untuk melahirkan karya dalam bahasa Inggeris. Seperti pemain bola juga, saya pun ingin merasai peluang bermain dalam liga antarabangsa,” ujar Joe ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Drop di Hotel St. Regis Kuala Lumpur.
Lagu Inggeris
Mengulas lanjut, Joe mengakui, tidak ramai penyanyi atau pemuzik tempatan melahirkan album atau lagu berbahasa Inggeris disebabkan kurang penguasaan bahasa tersebut.
“Bahasa Inggeris adalah bahasa pertama saya. Mengambil contoh Jay Park walaupun dia seorang penyanyi Korea Selatan, dia mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang bagus.
“Saya bermula dalam bidang ini melalui karya berbahasa Inggeris. Bapa dan guru-guru di sekolah memberi pendidikan yang baik kepada saya. Sehingga hari ini, bahasa Inggeris saya agak bagus dan saya ingin melebarkan pengaruh muzik pada tahap yang lebih tinggi,” jelasnya.
Berbicara tentang penghasilan lagu Drop, Joe mendedahkan, sepatutnya dia meluncurkan lagu berbahasa Melayu terlebih dahulu namun dia berkeras untuk hadir dengan single bahasa Inggeris.
“Saya sudah ada dua lagu berbahasa Melayu namun nekad untuk ‘beri’ lagu ini kerana percaya ia harus didengarkan kepada peminat terlebih dahulu.
“Tidak tahu mengapa, tetapi lagu ini mengambil masa selama 24 jam untuk disiapkan dan sebenarnya, ia proses yang agak laju. Saya boleh lancarkan single berbahasa Melayu dan ia terus popular di corong radio, namun saya cuma mahu lagu ini keluar dulu,” terang Joe.
Pada asalnya dia tidak mempunyai hasrat untuk menyanyikan lagu tersebut secara solo.
Sensasi klip video
Sudah mula ditonton di laman perkongsian video, YouTube, barangkali ada segelintir peminat yang kurang selesa dengan unsur kebaratan yang dicetuskan dalam klip video Drop.
Bagi yang belum menonton, klip video berdurasi selama empat minit 20 saat tersebut antara lain turut mempamerkan aksi wanita yang hanya berbikini.
“Saya terima segala kritikan. Bagaimanapun, bagi saya banyak lagi perkara di dunia ini yang perlukan perhatian berbanding klip video tersebut. Model tersebut adalah orang Brazil dan berbikini bukan sesuatu yang asing buatnya.
“Kata orang, kalau ingin makan makanan pedas, harus sedikit bubuh cili. Sejujurnya, saya tidak pernah baca kecaman atau kutukan orang ramai di YouTube atau media sosial,” tuturnya.
Tambah Joe lagi, dia menghormati pandangan orang ramai, sama ada menyukai mahupun mengkritik klip video yang menjalani penggambaran di sebuah resort terkenal di Phuket, Thailand tersebut.
“Setiap orang ada pandangan masing-masing dan saya hormati setiap pendapat yang dilemparkan.
“Orang Brazil berbikini di pulau adalah sesuatu yang normal buat mereka. Saya ingatkan orang akan kritik saya tidak berbaju dalam klip video tersebut,” tutur pemilik jenama kedai gunting rambut, Joe’s Barbershop itu berseloroh.
Aiman bukan perosak
Dalam pada itu, Joe diminta memberikan sedikit pandangan tentang nyanyian rap Aiman Tino dalam single terbaharunya berjudul Terasa Cinta duet Fara Hezel (kakak Aiman), Joe menyifatkan usaha penyanyi tersebut sebagai okey dan tidak merosakkan genre hip hop atau rap.
Mengakui tidak pernah mendengar lagu berkenaan sebelum ini, Joe menyifatkan usaha Aiman dan Fara sebagai suatu cubaan yang bagus. Sebagai senior dalam genre berkenaan, Joe sentiasa mengalu-alukan mana-mana penyanyi untuk cuba menyanyikan lagu rap.
Terdahulu, Damien yang juga penyanyi popular rap sekitar awal tahun 2000 menyifatkan tindakan Aiman menyanyikan lagu rap sebagai satu pencemaran dan penghinaan bagi industri muzik hip hop.
“Saya baru dengar lagu tersebut. Pada pendapat saya, tiada masalah apabila seorang penyanyi mencuba perkara yang baharu. Tidaklah teruk mana pun nyanyian rap dia. Saya ingatkan teruk sangat.
“Muzik tiada peraturan tertentu dan pengakhirannya terpulang kepada mana-mana penyanyi pun untuk mencuba irama rap, kecuali apabila penyanyi itu menyanyi 10 lagu rap dan hasilnya masih teruk, itu lainlah.” kata penyanyi yang cukup terkenal menerusi lagu Havoc itu bersahaja.
Jelas Joe lagi, dia sebenar lebih ‘tercabar’ jika ada individu yang menyalahgunakan imej atau fesyen hip hop untuk kepentingan yang entah apa-apa.
“Lagi teruk kalau menggayakan fesyen hip hop tetapi tiada apa tentang muzik yang diperjuangkan. Misalnya di Hong Kong, banyak program televisyen mengadakan sketsa yang bukan-bukan menggunakan imej hip hop,” tutup Joe.
Hampir sedekad tidak hadir dengan single hip hop solo berbahasa Inggeris, Joe Flizzow meluncurkan single berjudul Drop untuk pasaran antarabangsa. Lelaki tersebut memberi pandangan bernasnya tentang masa depan genre tersebut dalam atmosfera muzik tanah air.