Xpose dianggotai oleh (dari kanan) Taqim, Zaim, Furhan, Eppy dan Fakhrul sudah mengatur strategi dengan memperjuangkan konsep irama 1990-an dalam kelana mereka di persada seni tanah air.
Nama Xpose Band barangkali masih asing dalam kalangan peminat, ironinya, lagu dendangan kumpulan yang dianggotai lima anak muda itu yang berjudul Sandiwara sebenarnya sudah cukup terkenal buat bagi khalayak yang gemar mengikuti perkembangan dunia muzik.
Semakin hangat dan mendapat sambutan sehingga kerap diputarkan di corong radio, sehingga kini lagu Sandiwara telah mencatat lebih tiga juta tontonan di laman carian YouTube.
Lagu tersebut dicipta sepenuhnya oleh Din dan Lan daripada kumpulan Lela serta Zimie Sofazr.
Bertemu anggota Xpose Band yang terdiri daripada Furhan (vokalis), Eppy (bass), Zaim (keyboard), Taqim (dram) dan Fakhrul (gitar) pada majlis pelancaran single Sandiwara baru-baru ini, pelbagai perasaan diekspresikan mereka dengan sambutan yang diterima setakat ini.
“Kami pun secara jujurnya sangat tidak sangka dengan sambutan yang diberikan oleh peminat terhadap lagu ini sehingga mencatat jutaan tontonan dalam masa beberapa bulan sahaja.
“Tetapi kami anggap ini rezeki dan permulaan yang baik untuk kerjaya dalam industri. Ada juga timbul kebimbangan, bagaimana sekiranya nasib kami akan jatuh merudum jika populariti tiba-tiba seperti terhenti. Bagaimanapun, kami tetap berharap untuk bertahan lama sebagai sebuah kumpulan,” ujar Furhan yang bertindak selaku vokalis.
Ditanya tentang populariti yang diraih lebih kepada lagu berbanding penyanyi, Xpose Band akui tidak kisah dengan situasi yang dialami. Apa yang penting adalah perjuangan muzik mereka diterima peminat.
“Kalau diikutkan, bagus juga kalau orang tidak berapa kenal kami sebagai penyanyi tetapi lebih kepada lagu. Sebab kami masuk dalam industri bukan untuk meraih populariti, sebaliknya menjual karya. Senang cerita, kami menawarkan seni kepada peminat bukannya rupa semata-mata,” ujar Furhan ringkas.
Menceritakan latar belakang masing-masing dan penubuhan Xpose Band, Eppy memberitahu, segalanya bermula apabila anggota kumpulan Lela iaitu Din dan Lan memberi idea penubuhan sebuah band baharu.
“Saya dan Furhan memang bekerja sambilan dengan sebuah syarikat produksi milik mereka. Jadi, daripada situ lalu timbul idea untuk menubuhkan sebuah kumpulan memandangkan Furhan sendiri pernah menjadi penyanyi latar untuk beberapa penyanyi.
“Mereka menyerahkan segala urusan kepada kami untuk mencari ahli. Demi memudahkan semua orang, kami pilih ahli kumpulan yang memang aktif dan berada di sekitar Melaka,” jelasnya.
Ditanya tentang strategi untuk kekal lama dalam industri sebagai sebuah kumpulan, Xpose Band optimis untuk mengekalkan konsep asal kumpulan mereka iaitu bertunjangkan muzik era 1990-an.
“Kami sedar untuk sesebuah kumpulan bertahan lama dalam industri bukan mudah. Sebab itu kami mengekalkan konsep asal iaitu lirik dan muzik era 1990-an tetapi disuntik dengan elemen segar.
“Ada juga perancangan menghasilkan lagu sendiri tetapi masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk ke arah itu. Buat masa sekarang kami banyak bertanya dan meminta tunjuk ajar daripada orang lama,” ujar Furqan.
Berkongsi perancangan, Xpose Band kini dalam proses menghasilkan lagu kedua yang akan dikeluarkan menjelang tahun depan.