Anak matangkan Amar Baharin, Amyra Rosli


Setiap rumah tangga yang dibina pasti akan lebih bermakna dengan kehadiran cahaya mata yang pastinya menjadi pengikat kasih sayang sesebuah keluarga.

Bagi pasangan romantis Amar Baharin dan Amyra Rosli, tanggal 15 Oktober 2017 pasti tarikh paling diingati selepas hari pernikahan mereka November tahun lalu, apabila lahirnya si permata hati, Aqeef Anaqi sebagai tanda cinta mereka.

Sejak dilahirkan, si kecil itu sudah mendapat perhatian meluas, terutama apabila Amyra dan Amar mengambil pendekatan tidak mendedahkan wajah dan namanya sehingga tiba pada satu tarikh tertentu.

Ramai yang mempertikaikan keputusan mereka untuk terlalu berahsia dengan identiti si kecil sehingga ada banyak spekulasi kurang baik dilemparkan tanpa diketahui punca sebenar ia dibuat.

Bagi Amar, selaku suami dan ketua keluarga, dia memilih untuk bersabar dan menenangkan si isteri yang sedang berpantang untuk tidak terlalu terpengaruh dengan komen-komen negatif masyarakat.

“Bukan niat saya hendak menyembunyikan wajah anak cuma kami mempunyai kontrak eksklusif bersama Astro untuk program realiti, The Adventure of Aqeef yang menceritakan perjalanan kehamilan Amyra sehingga Aqeef lahir. Selepas episod pertama 6 Disember lalu, barulah kami boleh berkongsi semuanya dengan peminat.

“Ini ialah persetujuan yang kami tanda tangan sejak awal, jadi ia perlu dipatuhi. Kalau peminat tidak sabar untuk melihat Aqeef, bayangkan keterujaan saya dan Amyra sebagai ibu bapa kali pertama untuk berkongsi keletahnya, namun kami perlu profesional,” katanya sewaktu ditemui pada majlis cukur jambul dan kesyukuran Aqeef di Rosa Event Space, Wangsa Walk Mall, baru-baru ini.

Siri The Adventure of Aqeef sebanyak lapan episod boleh disaksikan menerusi Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123) setiap Rabu pada pukul 9 malam.


Tanggungjawab

Bercerita lanjut tentang perubahan rutin kehidupan sejak bergelar bapa, Amar atau nama sebenarnya Amar Mohd Baharin, 31, berkata, tanggungjawab yang terpikul di bahunya semakin besar dengan kehadiran seorang anak.

Bersyukur kerana diberi peluang menyaksikan saat si isteri bertarung nyawa sewaktu hendak melahirkan zuriat sendiri, Amar agak terkejut dengan keberanian dalam dirinya sewaktu proses tersebut.

Sering mendengar pengalaman rakan-rakan yang tidak tahan bau darah, bahkan ada juga yang pernah pengsan, pelakon Si Kolot Suamiku itu bertuah kerana berjaya mengharungi momen penuh makna tersebut tanpa sebarang masalah.

“Saya teruja dan bersyukur kerana berpeluang melihat proses kelahiran, memotong tali pusat dan mentahnik sendiri Aqeef sejurus selepas dia dilahirkan.

“Kini tanggungjawab saya semakin berat, jika dahulu saya hanya menjaga Amyra kini Aqeef juga harus diberikan lebih perhatian. Saya berterima kasih kepada isteri kerana melahirkan anak kami dan melengkapkan hidup saya sebagai seorang lelaki,” jelasnya tersenyum.

Bagi Amyra pula, dia perlahan-lahan mula belajar menguruskan anak, terutama dari segi memandikan dan menyiapkan Aqeef tanpa bantuan orang lain.

Amyra yang pada mulanya gementar mengendalikan Aqeef sendirian mulai seronok dan yakin selepas beberapa hari mencuba.

“Biasanya mama (Noor Zaridah Ahmad) yang menguruskan Aqeef, terutama dalam waktu pantang namun selepas dia mencecah usia dua bulan, saya disuruh belajar mengambil alih hal itu.

“Menguruskan anak menjadikan saya lebih berdisiplin, teliti dan peka dengan setiap tangisan atau keperluannya berbanding pada awal kelahiran,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Amyra yang sudah hampir setahun berehat daripada dunia lakonan sejak disahkan hamil, meluahkan kerinduan untuk membuat kemunculan semula tahun hadapan.

Rindu berlakon
Kata pemilik nama Nur Amira Izarti Rosli itu, dia kini dalam proses mengembalikan berat badan asalnya kerana mengalami pertambahan agak banyak sewaktu mengandung iaitu dari 45 kilogram (kg) menjadi 58kg pada bulan kesembilan kehamilan.

“Saya memang berpantang dengan ketat selama 44 hari dan melakukan semua aktiviti bengkung, bertungku dan makan makanan yang direbus atau dipanggang sahaja.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang, saya akan kembali ke set penggambaran sebuah drama untuk slot Akasia pada Februari depan,” tuturnya yang kini berjaya mendapatkan berat badan sebanyak 48kg.

Ditanya tentang pemilihan watak atau menjadi lebih selektif dengan tawaran selepas bergelar ibu, wanita berusia 26 tahun itu berkata, perkara tersebut belum difikirkan memandangkan dia belum kembali ke industri secara rasmi.

Amyra sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk berlakon seperti biasa kerana Amar memberi izin manakala Aqeef akan dijaga oleh ibu atau ibu mertuanya jika mereka mempunyai komitmen penggambaran.

“Saya masih belum memutuskan watak dan tawaran bagaimana yang saya akan ambil apabila kembali aktif berlakon, namun yang pasti saya akan bekerja seperti biasa.

“Bezanya sekarang saya perlu menyesuaikan diri untuk belajar tidak terlalu merindukan anak apabila bekerja kerana sudah biasa berkepit dengannya sepanjang dua bulan ini,”luahnya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post