Amira Othman Saya cerewet pilih lagu


Popular dengan lagu Hati Hati, namun setelah single terakhirnya Jaga Jaga dilancarkan pada tahun lalu, nama penyanyi Amira Othman agak tenggelam.

Mengaku dirinya bersikap agak cerewet dan teliti dalam soal pemilihan lagu sehinggakan mengambil masa lama untuk muncul dengan material baharu, penyanyi berusia 24 itu berkata, dia perlu bersikap sebegitu kerana mahu memberikan yang terbaik kepada peminat.

Persoalannya, pendekatan yang dibuat Amira seperti memakan diri sendiri apabila dia seperti sedang dilupakan peminat sendiri.

Ikuti penjelasan daripada penyanyi yang pernah muncul dalam drama Abang Bomba, I Love You itu ketika ditemui baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh Amira kongsikan sedikit perkembangan terkini?

AMIRA OTHMAN: Dalam masa terdekat, lagu terbaharu saya berjudul Mimpi Indah bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Alhamdulillah, selepas setahun peminat menunggu, bahkan ada yang beranggapan saya sudah tidak menyanyi dan fokus kepada lakonan sahaja.

Sebenarnya tidak, saya masih menyanyi dan fokus buat masa sekarang untuk single terbaharu ini.

Mengapa mengambil masa agak panjang untuk muncul dengan lagu baharu?

Sejujurnya, saya memang seorang yang agak cerewet dalam pemilihan lagu sebab saya berpegang kepada prinsip, lagu yang bagus akan membantu menaikkan nama seseorang penyanyi.

Jadi, saya perlu mencari material yang sesuai agar diterima peminat sama seperti kedua-dua buah lagu terdahulu iaitu Hati Hati dan Jaga Jaga.

Saya tidak perlu terburu-buru untuk mengeluarkan sesebuah lagu kerana apa yang pentingkan adalah kualiti bukannya kuantiti.


Boleh ceritakan serba sedikit tentang lagu tersebut?

Lagu Mimpi Indah ditulis sepenuhnya oleh Hael Husaini yang turut bertindak selaku komposer. Kali pertama mendengar lagu ini, saya terus jatuh cinta kerana melodinya yang mudah melekat di telinga dan jiwa pendengar.

Genrenya tidak jauh berbeza daripada kedua-dua buah lagu sebelum ini, cuma temponya diperlahankan sedikit.

Tidak pernah muncul dengan lagu balada, jadi ada yang mempersoalkan kredibiliti vokal anda. Apa yang boleh dijelaskan?

Itu cuma tanggapan mereka yang melihat lagu rancak mudah dibawa. Sebenarnya, semua lagu ada cabaran dan untuk lagu rancak, cabarannya lebih kepada stamina.

Sejujurnya, jiwa saya lebih menyukai lagu berentak balada dan perlahan. Jika melihat kepada video nyanyian yang saya kongsikan di laman Instagram, kebanyakannya adalah lagu balada dan sedih.

Perancangan untuk menghasilkan lagu balada memang ada, tetapi sampai sekarang saya belum jumpa material terbaik.

Seperti yang saya katakan, apa yang penting adalah kualiti. Saya mahu sebuah lagu itu bukan sekadar sedap didengar tetapi mampu melekat dalam hati peminat.

Bagaimana pula dengan perkembangan dunia lakonan anda?

Buat masa sekarang, saya baru selesai penggambaran drama bertajuk Red Velvet.

Jadi, ini masanya untuk berehat seketika daripada berlakon dan memberi tumpuan terhadap nyanyian.

Kalau jadual saya dipenuhi dengan penggambaran, memang tiada masa untuk fokus kepada lagu.

Lari sedikit daripada soal karier, bagaimana anda mengekalkan rekod bersih kontroversi sehingga kini?

Mungkin sebab saya sangat dijaga dan dipantau oleh ibu bapa. Apa jua yang saya lakukan, saya membawa nama mereka ke mana sahaja.

Jadi, mungkin daripada sikap berhati-hati dan pandai membawa diri, melindungi saya daripada perkara-perkara yang tidak diingini.

Jika ditanya soal teman hati pula, buat masa sekarang saya belum ada sesiapa.

Umur masuk 25 tahun, saya baru bersedia untuk memasuki fasa berkenalan tetapi sebenarnya saya sangat susah mencipta keserasian dengan orang lain.

Saya harap, berjodoh dengan lelaki yang memahami dan penyabar kerana bidang kerja serta sikap saya yang kuat cemburu (ketawa).

Post a Comment

Previous Post Next Post