Saharul Ridzwan cari keseimbangan


RAMAI mula menyedari kelibat Saharul Ridzwan kini semakin sukar untuk dilihat di kaca televisyen. Pelakon berusia 28 tahun itu juga jarang menghadiri majlis-majlis hiburan, lebih-lebih lagi selepas kelahiran cahaya mata sulungnya, Muhammad Luth Ali pada bulan Jun lalu.

Mendasari situasi sebegitu, kebanyakan peminat Saharul atau nama lengkapnya, Mohd. Saharul Ridzwan Hashim menganggap lelaki kelahiran Kuantan, Pahang itu mahu memencilkan diri daripada dunia glamor, seterusnya menumpukan lebih perhatian kepada keluarga.

Bertemu dengannya pada majlis pelancaran drama online, Chor & Chah musim kedua di Kuala Lumpur baru-baru ini, Saharul yang mula memancing tumpuan khalayak menerusi lakonannya dalam drama bersiri Hati Perempuan dan Kau Aku Kita itu mengakui masih menjalankan rutin hariannya seperti biasa.

Ujar Saharul, dia tidak pernah menghilangkan diri seperti yang disangka umum, sebaliknya masih aktif beraksi di hadapan kamera.

“Ramai tidak tahu yang tarikh tayangan sesebuah drama ditentukan oleh stesen televisyen. Tidak semestinya drama yang telah saya habiskan penggambaran pada tahun ini akan disiarkan dalam masa terdekat.

“Barangkali peminat menganggap saya sudah tidak berlakon, walhal ada lagi beberapa drama yang telah saya jayakan masih belum ditayangkan,” katanya membuka bicara.

Mengulas lanjut, Saharul turut menegaskan, peranannya sebagai bapa sedikit sebanyak memberi impak terhadap karier lakonannya yang sedikit perlahan berbanding sebelum ini.

“Biarpun saya masih menjalankan rutin lakonan seperti biasa, namun saya perlu beringat bahawa saya mempunyai anak kecil di rumah.

“Saya masih ingat ketika Ali baru belajar meniarap tetapi ketika itu saya sedang bekerja di Terengganu. Agak kecewa juga kerana sebagai seorang bapa, saya tidak mahu terlepas momen-momen indah bersama anak terutama sepanjang proses tumbesarannya,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga dengan Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir pada 2016.

Ketika ditanya, adakah dia ada meletakkan had umur pada Ali sebelum kembali aktif seperti zaman bujangnya, ini jawapan Saharul:

“Sebagai pelakon yang telah berkeluarga, keutamaan saya sudah tentu terhadap isteri dan anak. Namun, sebagai seorang suami dan bapa pula, keutamaan saya adalah untuk mencari nafkah bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Sejujurnya, apa yang penting adalah keseimbangan kerjaya dan pengurusan hal peribadi. Jika kedua-duanya diatur dengan baik, insya-Allah semuanya akan berjalan dengan lancar.”


Pengurusan

Terlanjur berbicara mengenai pengurusan karier, peserta pertandingan Hero Remaja 2012 itu kini tidak lagi diuruskan oleh pengurus lamanya, Shawn Amer. Sejak tiga bulan yang lalu, kerjaya seni Saharul dikelolakan oleh Awin Nurin, isteri kepada pelakon dan penyanyi Izzue Islam.

Menafikan tercetus masalah dalaman bersama bekas pengurus, Saharul berkata, peralihan pengurusan berlaku sejajar dengan perkembangannya yang kini telah berumah tangga.

“Sejak berkahwin, fokus telah berubah dan tawaran kerja juga perlulah selari dengan status terkini.

“Saya tidak mengatakan Shawn gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pengurus tetapi Awin yang terlebih dahulu menguruskan Izzue dilihat lebih serasi untuk saya pada waktu ini,” katanya.

Tegas pelakon telefilem Trauma itu lagi, hubungannya bersama Shawn tidak mengalami sebarang masalah dan masih berhubung dengan bekas pengurusnya itu.

“Hubungan kami baik-baik sahaja walaupun tidak lagi bekerjasama. Jika Shawn ada tawaran kerja, dia pasti akan menghubungi dan bertanyakan kepada saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Saharul tidak terfikir untuk menguruskan kerjayanya sendiri walaupun telah lama menumpahkan keringat sebagai anak seni.

“Pada pendapat saya, kerjaya seorang pelakon boleh diibaratkan seperti sebuah organisasi syarikat. Tanpa kehadiran jabatan-jabatan lain, tuan empunya syarikat pasti sukar meneruskan survival perniagaan.

“Begitu juga dengan selebriti, kami perlukan seseorang yang bukan sahaja arif tentang pengurusan tetapi bijak dalam mengelolakan jadual artis yang diuruskan,” ujarnya.

Menyanyi
Menyentuh mengenai perkembangan terbaharu, Saharul bakal mengembangkan sayap dalam bidang nyanyian menerusi single perdananya, Buku Putih.

Berkolaborasi bersama penyanyi dan komposer Ajai, Saharul menyifatkan lagu tersebut sebagai sebuah kerjasama yang begitu istimewa.

“Segalanya bermula apabila saya berborak dengan Liza, iaitu isteri kepada Ajai. Secara berseloroh, saya ada menyatakan hasrat untuk bergelar penyanyi.

“Tidak berapa lama kemudian, Ajai menghubungi saya dan meminta supaya datang ke studio untuk merakamkan lagu ciptaannya,” kata Saharul yang menyanyikan lagu tersebut secara rap, manakala Ajai pula menyanyikan bahagian korus.

Menganggap projek bersama Ajai itu sebagai sesuatu yang tidak serius, Saharul masih menjadikan bidang lakonan sebagai kerjaya utamanya.

“Saya hanya mahu mencuba perkara baharu dan bukannya serius menyanyi seperti pelakon lain.

“Bidang cari makan utama saya masih lagi lakonan,” katanya.

Beralih pula pada penglibatannya dalam drama ensiklopedia perniagaan, Chor & Chah musim terbaharu, Saharul berkata, watak yang dijayakannya iaitu Chor mengalami evolusi seiring dengan perkembangan plot dan jalan cerita.

“Menerusi musim pertama, penonton diberikan gambaran mengenai cara-cara memulakan berniaga dan mendaftar syarikat.

“Pada musim terbaharu ini, watak Chor diperkemaskan dan penonton juga dapat mempelajari cara yang betul untuk meluaskan perniagaan,” katanya.

Chor & Chah merupakan drama mini bersiri tentang dunia perniagaan terbitan Suhan Movies & Trading dengan kerjasama SME Corp Malaysia.

Selain Saharul, drama berdurasi 15 minit setiap episod tersebut turut membariskan Ummi Nazeera, Ruhainies dan Afifah Nasir. Episod pertama bagi Chor & Chah musim kedua mula ditayangkan di YouTube sejak 5 Disember lalu.

Status bapa yang digalas oleh Saharul Ridzwan telah banyak memberi perubahan kepada dirinya terutama dalam memberi prioriti terhadap keperluan keluarga berbanding kerjaya.

Post a Comment

Previous Post Next Post