Menjelang konsert Public Distortion, kumpulan XPDC berdepan dugaan apabila ada cubaan mensabotaj dan memburuk-burukkan nama mereka oleh individu berniat jahat menerusi laman sosial, Facebook.
Disebabkan perkara tersebut, Lola atau nama lengkapnya, Saiful Rizla Kamarudin, 44, mewakili XPDC meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan selain berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang.
Katanya, sejak sebulan lalu individu yang dimaksudkan telah menyebarkan berita palsu mengenai kumpulan XPDC termasuk cubaan memboikot konsert mereka yang bakal berlangsung di Oasis Plazza, Oasis Damansara pada 9 Disember ini.
Tambah Lola, individu terbabit juga menghasut peminat agar memboikot kumpulan Prime Domestic yang turut terlibat menjayakan konsert berkenan.
Dalam usaha menghentikan tindakan individu berkenaan, Lola selaku pemain dram XPDC, Ali (vokalis), Eddie (pemain bass) dan Izo (pemain gitar) telah membuat beberapa laporan polis dan sedang mengumpul bukti bagi membawa kes tersebut ke muka pengadilan.
KOSMO!: Bolehkah Lola kongsikan persiapan menjelang konsert Public Distortion yang bakal berlangsung pada 9 Disember nanti?
LOLA: Kami telah membuat persediaan rapi terutama melibatkan persembahan termasuk memastikan sistem audio berada dalam keadaan terbaik bagi memuaskan hati peminat menjelang konsert bersama kumpulan Prime Domestic itu. Konsert itu turut menampilkan penghibur tersohor, Amy Search sebagai penampilan istimewa.
Ikut perancangan, dalam konsert berdurasi selama tiga jam itu, penonton bakal dihiburkan dengan sekitar 40 buah lagu milik XPDC dan Prime Domestic. Tiket kini dijual pada harga RM68 dan boleh didapati menerusi www.ilassotickets.com atau hubungi 03-2170 6333.
Bagi menjayakan konsert tersebut, mungkin ada cabaran besar yang sedang kalian hadapi?
Berhubung persediaan konsert, kami mahupun kumpulan Prime Domestic tidak mengalami sebarang masalah. Namun, saya ingin meluahkan rasa terkilan apabila wujud individu tidak berpuas hati dengan kami dengan bertindak menyebarkan berita palsu serta memburuk-burukkan nama XPDC menerusi laman sosial, Facebook dan YouTube. Kejadian itu telah lama berlaku tetapi menjadi semakin rancak apabila menghampiri hari konsert.
Perbuatan individu berkenaan secara tidak langsung menjadikan peminat keliru selain berpendapat kumpulan kami menghadapi masalah.
Dia juga menghasut peminat agar tidak hadir ke konsert berkenaan termasuk cuba memboikot kami. Lebih teruk, individu itu turut meracuni fikiran peminat agar tidak memberi sokongan kepada Prime Domestic kerana menjalinkan kerjasama dengan kami.
Apakah tindakan anda terhadap individu berkenaan?
Kami sedang mengumpul bukti mengenai aktivitinya di media sosial dan mesej yang dihantar secara peribadi kepada kami. Semua itu bukti untuk membawanya ke muka pengadilan. Kami sebenarnya telah membuat beberapa laporan polis mengenai perbuatan buruk individu tersebut.
Kami juga akan mendapatkan nasihat pihak peguam sama ada ingin membawa kes tersebut ke mahkamah atau tidak. Secara peribadi, kami tidak mahu memanjangkan isu ini tetapi sekiranya ia keterlaluan, langkah drastik seperti mengambil tindakan undang-undang merupakan penyelesaian terbaik.
Sorotan daripada kejadian tersebut, adakah anda berpendapat ia akan memberi kesan buruk terhadap penganjuran konsert pada 9 Disember nanti?
Meskipun ada peminat bertanyakan kepada kami mengenai insiden tersebut tetapi syukur mereka masih memberi sokongan. Peminat sebenarnya bijak menilai baik atau buruk sesuatu perkara.
Syukur, penjualan tiket juga sangat memberangsangkan selain mendapat sambutan baik daripada peminat. Lebih 2,000 keping tiket telah terjual dan kami menyasarkan kira-kira 5,000 pengunjung akan hadir menonton konsert itu kelak.
Adakah anda mengenali individu tersebut?
Secara peribadi, kami mengenali individu itu tetapi enggan mendedahkannya kepada umum kerana tidak mahu mengaibkan sesiapa. Tidak dinafikan dia merupakan orang yang pernah terlibat dalam industri suatu ketika dahulu.
Menurut pendapat anda, mengapakan individu tersebut bertindak sebegitu?
Dia mungkin berasa kurang senang dengan kejayaan yang diraih kami sekarang. Masya-Allah, itu semua rezeki Tuhan dan kita semua hanya manusia biasa yang tiak mempunyai kuasa untuk mengatur apa-apa.
Setiap daripada kita mempunyai rezeki masing-masing sekiranya gigih berusaha. Saya enggan menuduh melulu tetapi cemburu mungkin salah satu punca individu tersebut bersikap sedemikian.
Bercerita mengenai konsert berkenaan, adakah terdapat sebarang kejutan mahupun gimik istimewa untuk penonton? Selain itu, boleh jelaskan tentang pemilihan Amy Search sebagai artis undangan?
Pastinya kami ada memikirkan kejutan buat peminat tetapi biarlah mereka menonton sendiri pada konsert itu nanti. Kumpulan XPDC juga turut membuat kejutan bersama kumpulan Prime Domestic.
Tujuan kami menampilkan Amy sebagai bintang undangan pula kerana mahu memberi pengalaman luar biasa kepada penonton yang hadir. Tidak dinafikan, itu juga salah satu strategi untuk menarik lebih ramai penonton.