
Melihat kepada persaingan yang semakin sengit di pentas Gegar Vaganza musim keempat (GV4), minggu suku akhir yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil malam Ahad lalu telah menampilkan empat juri profesional berbanding tiga seperti biasa.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd. Kamal, keputusan menambahkan seorang lagi juri profesional dilihat wajar memandangkan peningkatan persembahan yang dibuat oleh para peserta sejak minggu kelima.
Tambah Emarina, dengan hadirnya seorang lagi juri profesional bagi peringkat penting iaitu suku akhir, separuh akhir dan akhir akan membantu daripada segi pemarkahan yang lebih sekata serta saksama.
“Kami sedar GV4 memiliki pengikut yang ramai dan bagi memastikan pemilihan finalis serta pemenang tidak menjadi pertikaian maka seorang lagi juri ditambah bagi membantu pemarkahan.
“Juri profesional keempat itu adalah orang yang berbeza bagi setiap minggu. Bagi minggu suku akhir ini, komposer terkenal, Datuk Mokhzani Ismail telah dijemput sebagai juri profesional keempat,” katanya pada sidang media selepas tamat minggu keenam GV4.
Bagi minggu keenam, peserta yang tersingkir ialah Aqasha apabila mendapat markah terendah sebanyak 43.8 peratus menerusi lagu That’s Why You Go (Away) nyanyian asal Micheal Learns To Rock.
Bagi peringkat separuh akhir, hanya tujuh peserta yang bertempur iaitu Aishah, Liza Hanim, Firman, Lan Solo, Syura, Hazami dan Tia Jinbara bagi merebut gelaran juara serta wang tunai RM100,000.
Tidak terjejas
Sementara itu, juri tetap GV4, Datuk Ramli MS turut melihat penambahan seorang lagi juri sebagai langkah yang baik dan membuktikan bahawa setiap persembahan peserta GV4 dinilai tanpa sebarang hal berkepentingan.
Kata Ramli lagi, sistem pemarkahan masih sama dan tidak akan berubah jika juri ditambah seramai mana pun, kerana apa yang penting ialah kualiti persembahan peserta serta tiada kaitan dengan bilangan juri.
“Peminat menyangka juri memilih berdasarkan siapa yang disukai sedangkan peserta dinilai berdasarkan persembahan mereka pada malam pertandingan.
“Jadi apabila ada juri keempat bagi peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir akan membuktikan bahawa kami sebagai juri menjalankan tugas secara profesional dan memberi markah selayaknya diterima,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Astro menerusi satu kenyataan memberitahu akan menawarkan pengalaman menonton GV4 peringkat separuh akhir dan akhir GV4 secara langsung dalam sudut tontonan realiti maya 360 darjah atau dikenali sebagai VR360 menerusi GV VR Live.
Pengalaman sudut VR360 membolehkan penonton yang mempunyai gajet menyokong sistem berkenaan menikmati pengalaman menonton dengan lebih nyata dan jelas pada setiap situasi di pentas.