
Barangkali ramai yang mempersoalkan rasional di sebalik pemilihan pemilik nama lengkap Selena Marie Gomez sebagai Woman Of The Year oleh majalah Billboard sedangkan dari aspek perkongsian seni, tidak banyak yang boleh dibanggakan hadir darinya.
Kalau dihakimi daripada soal muzik, Gomez, 25, hanya muncul dengan untaian single yang hanya mendapat respons sederhana dari segi pendakian carta lagu popular. Lagu-lagu seperti It Ain’t Me (featuring Kygo), Bad Liar, Fetish dan terbaharu, Wolves (Marshmello) gagal meroket tinggi di carta lagu popular seperti Billboard Hot 100.
Bagaimanapun, bintang muda yang mula dikenali menerusi program hiburan kanak-kanak, Barney & Friends itu mengejutkan atmosfera hiburan dunia pada tahun 2015 apabila mendedahkan dia menghidapi penyakit lupus (sejenis penyakit yang menyerang sistem ketahanan badan manusia) sehingga menyebabkan dia mengalami masalah kemurungan yang teruk.
Penyakitnya itu pernah membuatkan dia dimasukkan ke pusat pemulihan untuk merawat masalah kemurungan pada 2013. Dalam tempoh tersebut, kehidupannya menjadi kucar-kacir dan dia sedikit memencilkan diri.
Sehingga pada sekitar Oktober 2017, pelantun lagu Love You Like A Love Song itu mendedahkan telah menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang. Dia mengungkapkan penghargaan buat sahabatnya, Francia Raisa, yang mendermakan buah pinggang kepadanya.
“Saya sangat bertuah. Sesungguhnya saya tidak tahu bagaimana untuk meletakkan ucapan terima kasih dalam bentuk perkataan.
“Dia telah bermurah hati berkongsi buah pinggangnya dengan saya. Itu adalah pengorbanan dan hadiah paling besar yang saya peroleh dalam hidup,” ujarnya.
Dalam tempoh tersebut, Gomez memutuskan komunikasi dengan ramai rakannya termasuk hubungan cintanya dengan penyanyi, The Weeknd yang berakhir pada bulan November selepas hampir 10 bulan bersama.
Dihimpit persoalan sama ada dia dan bekas teman lelaki, Justin Bieber kembali bercinta, kebenaran tersebut terjawab melalui wawancara bersama Billboard yang dikepilkan bersama pegangannya sebagai seorang wanita yang bebas membuat keputusan sendiri.
Baru-baru ini, anda mengatakan tidak mahu orang berasa kasihan tentang pembedahan pemindahan buah pinggang dan penyakit lupus yang ditempuhi. Dua pengamalan tersebut membuka lembaran baharu dalam hidup anda. Apakah perkara yang paling mengejutkan datang daripada dua perkara tersebut?
Saya selalu memikirkan tentang betapa berharganya badan saya. Sejak berusia tujuh tahun, kehidupan saya selalu berkisar tentang memberi kebahagian kepada orang lain. Saya berasa sangat kesepian walaupun dikelilingi orang-orang hebat dalam hidup. Selepas banyak perkara berlaku dalam hidup saya, adakah mereka masih berada di sisi saya? Saya bersyukur dengan keputusan yang diambil dan akan lebih dengar firasat hati saya selepas ini.
Adakah anda selesa dengan kesan parut daripada pembedahan tersebut?
Pada awalnya, memang sukar untuk menerima hakikat ini. Saya masih ingat melihat diri di depan cermin dalam keadaan berbogel dan berfikir tentang semua perkara tidak senonoh yang pernah dilakukan. Saya tanya, ‘mengapa?’. Apabila melihat tubuh badan sekarang (berparut), saya melihat satu kehidupan.
Saya boleh melakukan laser, pembedahan dan sebagainya tetapi saya okey dengan keadaan sekarang. Bagaimanapun, tidak salah untuk melakukan pembedahan plastik. Cardi B yang juga melakukan hal sama telah menjadi inspirasi terbesar saya sejak akhir-akhir ini. Justeru, saya tiada masalah dengan parut atau bahagian tubuh yang tidak sempurna. Saya telah dicipta dengan sempurna.
Bagaimana anda berdepan dengan kritikan atau suara-suara sumbang tentang diri anda?
Saya harus berhati-hati dengan pendapat yang saya dengar daripada orang. Masyarakat memberi anda ruang dan rasa hormat kepada orang di sekeliling. Pada pendapat saya, kesetiaan dan kejujuran boleh memberi maksud yang amat berlainan. Saya berpendapat, merubah diri demi kepentingan orang lain adalah perkara yang telah saya lakukan sepanjang hidup saya. Saya mengambil masa selama beberapa tahun untuk membuang perangai itu dan ‘berperang’ mengikut cara saya sendiri
Adakah anda sedang menghasilkan muzik baharu?
Ya, saya suka dengan cara bagaimana karya muzik saya dikongsi kepada peminat pada tahun ini. Ia tidak bersifat agresif namun mempunyai kualiti yang tertentu. Saya sudah membuat banyak lagu namun harus memilih dengan baik bersama syarikat rakaman.
Adakah sebarang perbezaan melihat diri anda pada sudut pandang media waktu ini berbanding lima tahun lalu?
Semestinya, untuk seketika saya cuma mahu mempertahankan diri sendiri. Saya mahu menjerit dan berkata, ‘anda tidak tahu apa yang telah saya alami dan bebas membuat keputusan!’. Saya bangga dengan apa jua perkara yang telah saya lakukan pada masa lampau.
Saya masih ingat teruk dihakimi bukan kerana hasil kerja tetapi disebabkan siapa diri saya. Ketika melancarkan lagu The Heart Wants What It Wants, untuk pertama kali saya berkongsi banyak perkara tentang diri saya. Bagaimanapun, saya tidak mempunyai kuasa untuk mengawal semua perkara. Apa saja kritikan, saya terima dan sentiasa mencuba untuk memperbaiki.
Dengan seramai 129 juta pengikut di Instagram, anda dinobatkan sebagai manusia paling ramai pengikut di laman sosial. Namun, anda mengambil jalan ‘berehat’ daripada berkongsi terlalu banyak benda kepada umum. Mengapa?
Saya kenal dengan pengasas Instagram (Kevin Systrom). Dia amat marah apabila saya memberitahu mahu berehat daripada berkongsi terlalu banyak benda di Instagram. Bagaimanapun, ‘berehat’ di Instagram bermakna saya telah banyak menghabiskan masa yang berkualiti dengan perkara-perkara penting dan kawan-kawan lama. Setiap perbualan lebih bermakna andai ia kekal berada pada lingkungan orang-orang yang penting. Ia bukan tentang apa yang berlaku bersama ‘perhatian orang’.
Apakah perkara yang paling seronok apabila kini sudah kembali solo?
Satu perkara yang amat saya banggakan adalah persahabatan dengan The Weeknd masih kekal. Sejujurnya, saya tidak pernah mengalami perkara seperti ini dalam hidup. Hubungan kami berakhir sebagai rakan baik dan sentiasa memberi sokongan terhadap satu sama lain.
Apa yang membuatkan anda kembali menerima Bieber dalam kehidupan anda?
Saya sekarang berusia 25 tahun. Bukan 18, 19 atau 20. Saya amat menghargai individu yang memberi impak terhadap kehidupan saya. Sebelum ini, ia mungkin telah menjadi perkara yang salah atau sia-sia tetapi itu tidak bermakna saya berhenti menyayangi seseorang yang amat dicintai.
Misalnya, saya membesar dengan Demi Lovato, Nick dan Joe Jonas serta Miley Cyrus. Kami telah menempuhi pelbagai perkara dalam hidup. Ini adalah kehidupan saya. Kadang-kadang saya rasa kesunyian tanpa orang yang sepatutnya ada dalam hidup. Bagi saya, cinta itu definisinya amat besar dan ia bermula dari dalam diri sendiri terlebih dahulu.
Benda kecil kadang-kadang memberi impak yang luar biasa dalam hidup kita.
Baru-baru ini, saya bercakap dengan seorang wanita yang sedang menyambut hari kelahirannya di Disneyland. Saya kongsi dengannya perkara menarik di sana dan dia teruja. Secara automatik, saya juga berasa teruja.
Apakah perkara yang paling membanggakan anda telah kecapi sehingga hari ini?
Saya amat berbangga dengan di mana saya berada sekarang. Saya berasa seronok kerana sudah mampu mengatakan ‘tidak’ kepada benda yang saya tidak berminat.
Generasi sekarang takut dengan diri masing-masing. Banyak sangat kebimbangan dan ketakutan di antara kita anda ia membuatkan kita semua tertekan.
Bagaimanapun, saya paling berbangga kerana masih mempunyai semangat untuk meneruskan kehidupan. Saya boleh sahaja tidak mengendahkan kritikan orang ramai tetapi sedar saya seorang selebriti. Saya juga bersedia untuk berdepan hari-hari yang tidak bagus dan berjuang untuk hari yang mendatang.