Siti Sarah Jangan salah faham erti diet


Selepas lebih setahun membuat kemunculan semula menerusi Gegar Vaganza musim ketiga pada tahun lalu, Siti Sarah bakal menghadiahkan peminatnya dengan sebuah single baharu pada Januari depan.

Penyanyi Siti Sarah Raisuddin yang dimasukkan ke hospital pada malam 28 November lalu akibat tekanan darah rendah menafikan dakwaan amalan diet berlebihan sebagai punca terjadinya insiden tersebut.

Siti Sarah, 33, sebaliknya menjelaskan, dia jatuh sakit akibat jadual kerja yang terlalu padat sejak kebelakangan ini, selain tidak berdisiplin dalam soal penjagaan kesihatan dan pengambilan makanan. Atas alasan tersebut, pelantun lagu Jangan Kau Mimpi itu menepis tuduhan sesetengah pihak yang mendakwanya mengamalkan rejim diet melampau sehingga memudaratkan diri.

Menjelaskan perkara sebenar, Siti Sarah yang ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk kesihatan rambut Sugardollbynn baru-baru ini ada jawapan konkrit.

KOSMO:! Boleh ceritakan tentang kejadian Siti Sarah dimasukkan ke hospital baru-baru ini?

SITI SARAH: Beberapa hari sebelum kejadian, saya memang sudah tidak sihat tetapi hanya buat tidak endah dan melakukan kerja seperti biasa. Tetapi sebagai manusia normal, akhirnya saya tewas juga. Saya dimasukkan ke hospital pada malam 28 November selepas hampir pengsan di rumah. Selepas dirawat, doktor mengesahkan saya mengalami tekanan darah rendah. Insiden itu berlaku mungkin disebabkan jadual terlalu padat kebelakangan ini sehingga pernah tidak pulang ke rumah atau kerana kecuaian sendiri yang tidak berdisiplin, kurang minum air masak dan tidak mengambil suplemen.

Apa pula penjelasan anda dengan tindakan berkali-kali meminta maaf daripada suami, Shuib baru-baru ini?

Ini merupakan kali pertama saya berhadapan situasi cemas sebegitu. Disebabkan perkara sebegitu tidak pernah terjadi, saya terus tertanya adakah tubuh badan saya bermasalah. Jadi, tindakan meminta maaf itu berlaku secara spontan apabila kepala sudah memikirkan perkara yang bukan-bukan seperti ajal mahu menjemput, sebab itu awal-awal saya minta maaf daripada suami.


Adakah ia berlaku disebabkan amalan diet yang anda lakukan?

Masyarakat perlu faham apa itu diet. Diet adalah amalan mengambil jumlah dan makanan yang betul, bukannya tidak makan langsung. Kalau tidak makan langsung, itu membunuh diri namanya. Jadi, ramai orang tidak faham tentang diet. Apa yang saya amalkan adalah dari segi bahan masakan yang sihat dengan menukar penggunaan gula putih kepada gula perang, beras biasa kepada beras perang dan penggunaan santan dalam masakan. Saya bukannya tidak makan langsung, kadang-kadang ada masanya saya makan banyak.

Menyentuh sedikit tentang pengunduran Shuib dari sebuah stesen radio baru-baru ini, apa yang boleh dijelaskan memandangkan ada yang mengaitkan anda sebagai punca tindakan tersebut?

Saya antara penyokong kuat apa sahaja keputusan yang dilakukan Shuib. Biarpun pada awalnya terkejut tetapi apabila sedar niatnya untuk memberi fokus terhadap perkara lain, saya okey sahaja. Pendek kata, dia lebih bebas untuk melakukan apa sahaja kerja yang dimahukan. Dia juga pernah kata mahu jadi kaya dan tolong orang, jadi, dengan memberi fokus kepada bidang perniagaan, dia boleh menjana lebih banyak pendapatan.

Boleh kongsikan perkembangan karier nyanyian terkini anda?

Alhamdulillah sehingga Mei tahun depan, jadual seni dipenuhi dengan undangan persembahan. Insya-Allah, pada bulan Januari saya akan muncul dengan single terbaharu. Siapa komposer dan penulis liriknya, biarlah saya simpan dulu rahsia ini sehingga hari perasmian kelak. Selain itu, saya juga bakal muncul dengan sebuah program televisyen tetapi segala maklumat lengkap mengenainya belum boleh dikongsikan buat masa ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post