Pekerja pendawaian elektrik mengaku bocorkan filem Pinjamkan Hatiku


Individu yang membocorkan filem Pinjamkan Hatiku melalui aplikasi Facebook Live, Syafiq bersalaman dengan Osman selepas mengaku bersalah.

Individu yang membocorkan filem Pinjamkan Hatiku melalui aplikasi Facebook Live, Mohamad Syafiq Adam, 21, mengaku bersalah dan tampil membuat kenyataan dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat Aurawhite Sdn. Bhd di sini hari ini.

Menurut lelaki yang merupakan pekerja pendawaian elektrik berasal dari Terengganu itu, dia tidak menyangka tindakannya tersebut merupakan kesalahan ketika merakam sedutan filem arahan Osman Ali itu secara haram di sebuah pawagam di Kuala Terengganu.

"Saya tidak tahu apa yang dilakukan merupakan satu kesalahan. Saya buat untuk suka-suka sahaja. Kalau saya tahu salah, saya tidak akan buat.

"Saya mengambil tanggungjawab mengaku bersalah atas apa yang telah dilakukan. Disebabkan itu, saya membuat permohonan maaf secara terbuka dan bersedia menerima tindakan," ujar pemuda itu yang mendedahkan telah merakam sedutan filem itu selama sejam menggunakan telefon pintar miliknya.

Akui Syafiq lagi, dia merakam sedutan filem itu secara rahsia menggunakan baju sejuk dan tidak disedari oleh petugas pawagam yang sedang bekerja pada waktu malam.

Sementara itu, penerbit eksekutif filem romantik tersebut, Datuk Saiful Safwan Mohamed Ghazi mengatakan, dia tetap menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak polis meskipun lelaki tersebut sudah membuat permohonan maaf secara terbuka.


"Semoga apa yang dilakukan oleh saudara Syafiq iaitu mengakui kesilapannya menjadi pengajaran kepada orang lain. Walaupun dia sudah memohon maaf secara terbuka, kes masih disiasat oleh pihak polis.

"Sebelum ini, banyak kes sebegini berlaku namun tindakan atau hukuman lanjut masih samar-samar. Saya menghargai tindakan Syafiq tampil ke hadapan dengan mengakui kesilapannya," jelas Saiful Safwan yang merupakan pengasas syarikat produk kecantikan, Aurawhite Sdn. Bhd.

Pengarah filem itu, Osman Ali, bagaimanapun, berharap filem arahannya itu terus mendapat sambutan baik di pawagam walaupun cuba dibocorkan.

"Filem ini sudah mencatat kutipan sebanyak RM1.8 juta sejak ditayangkan 3O November lalu. Saya kecewa juga kerana sebelum ini tiada tindakan susulan untuk individu yang cuba membocorkan karya tempatan menggunakan sosial media.

"Ini adalah soal harta intelek yang memerlukan rasa tanggungjawab daripada semua orang. Kesederan itu penting dari peringkat akar umbi," jelas Osman.

Filem dibarisi tiga teraju utama Ayda Jebat, Shaheizy Sam dan Farid Kamil itu menjadi mangsa jenayah siber apabila filem itu dirakam secara haram menerusi Facebook Live.

Berikutan rakaman filem Pinjamkan Hatiku ditayangkan secara haram di Facebook Live oleh individu tidak bertangungjawab, Saiful Safwan, Osman Ali serta ditemani penerbit nuansa, Yus Yusop membuat laporan polis di Balai Polis Puchong Jaya pada Isnin, 4 Disember lalu.

Sebelum ini, satu lagi karya Osman, Kau Yang Satu turut menjadi mangsa jenayah siber apabila rakaman filem tersebut tersebar luas di platform media sosial Facebook pada Ogos tahun ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post