Bukan lagi satu rahsia apabila GV4 mengumumkan senarai nama pesertanya lebih sebulan lalu, dua nama figura hebat iaitu Aishah dan Liza Hanim dijangka meranggul gelaran juara pertandingan nyanyian popular itu.
Bagaimanapun, rezeki dan tuah ternyata lebih berpihak kepada Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin apabila program realiti televisyen tersebut berpenghujung pada malam minggu lalu.
Tidak ada siapa yang berasa kemenangan Aishah sebagai tidak adil. Keputusan akhir GV4 adalah tepat, sekali gus memberi gambaran bukan sahaja tentang ketelusan juri tetapi juga meningkatkan saham produksi program itu yang sempat dihinggap dengan beberapa isu kontrovesi sepanjang empat musim ia berlangsung.
Aishah sendiri bukan satu nama ‘kecil’ di dalam industri. Portfolionya sebagai penghibur yang bermula sejak tahun 1980-an dengan untaian hit miliknya telah membuktikan piawaian Aishah.
Lantas, apabila wanita yang begitu senang untuk didekati dan gemar ketawa itu kembali mencuri sedikit tumpuan khalayak dengan menyertai GV4 yang sebahagian daripada pemerhati seni beranggapan ia bukan medan pertempuran buat penghibur tersohor sepertinya, Aishah tidak peduli.
Berkali-kali dalam banyak temu bual, beliau mengaku bukan gelaran juara atau mahu ‘memperjelaskan’ kehebatan dirinya yang mahu ditonjolkan.
Sebaliknya, beliau hanya mahu menyanyi.
Niat ikhlasnya itu ternyata membuahkan hasil yang ranum. Bukan sahaja kembali menjadi soroton umum, Aishah diumumkan sebagai juara musim keempat program yang begitu sensasi dan dinantikan saban minggu itu.
Nyanyian dan penghayatan cemerlang lagu All By Myself oleh Aishah telah menyentuh banyak hati. Ia mendapat tepukan sambil berdiri (standing ovation) yang didahului esakan tangisan juri tetap, Hetty Koes Endang menandakan betapa berkesannya persembahan tersebut, bukan sahaja terhadap dirinya, malah penonton di Pinewood Studios, Johor Bahru dan penonton di rumah.
“Aishah jahat, beliau membuatkan saya menangis,” jelas Hetty ketika ditemui media pada sidang akhbar konsert akhir GV4.
Menjelaskan lanjut, Hetty sangat terkesan dengan persembahan penyanyi berusia 52 tahun itu dan tidak kurang menganggap semua finalis memberikan persembahan yang amat memberangsangkan.
“Persembahan Aishah cukup segala-galanya termasuk dari segi vokal, dinamik dan kualiti. Sebagai juri, saya tidak menyokongnya hanya kerana sudah saling mengenali tetapi dia memang seorang penyanyi yang handal. Semua not dilontarkan dengan sempurna.
“Menurut saya, pada malam ini semuanya adalah juara. Duduk di meja juri, saya tidak berasa seperti memberi markah kerana kualiti persembahan yang diberikan setiap peserta cukup bagus,” kata penghibur legenda Indonesia yang terkenal dengan panggilan Bonda itu.
Layak
Reaksi Aishah berkenaan rasa apresiasi teman seindustrinya itu cukup bersahaja. Sambil diselangi hela tawanya yang melambangkan dirinya walau setinggi mana dijulang, penghibur itu tetap merendah diri.
“Bagi saya, kalau orang menangis selepas melihat saya melakukan persembahan, ada dua, sama ada bagus atau ia terlalu buruk. Alhamdulillah, saya buat apa yang termampu sahaja.
“Saya cuma mahu penceritaan melalui lagu sampai kepada penonton. Sebagai seorang penyanyi, tugas saya adalah menyampaikan cerita dengan sebaik mungkin kepada penonton atau pendengar. Kalau orang suka, saya pun gembira,” kata Aishah yang cukup sinonim dengan lagu popularnya, Janji Manismu.
Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan Aishah yang turut merangkul Anugerah Vida Vaganza membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 sumbangan Astro dan Qu Puteh.
Buat juri tetap, Datuk Ramli MS, beliau amat mengagumi komitmen dan disiplin Aishah sebagai manusia yang sudah menyanyi lebih 30 tahun.
“Bayangkan, Aishah sudah 30 tahun menyanyi dan apabila bertanding dalam GV4, sesi latihan bermula pukul 3 petang, dia sudah bersedia dan tercongok seawal pukul 2.30 petang setiap minggu
“Dia seorang yang sangat kuat. Disiplinnya sangat luar biasa dan sememangnya layak menerima apa yang termakbul untuknya pada malam ini,” celah Ramli bersahaja.
Tewas di tangan seorang permaisuri yang disifatkannya sebagai idola, Liza Hanim yang menghadirkan magis menerusi persembahan solo lagu Di Titian Usang (Search) akur dengan berlapang dada kehebatan Aishah.
Kata Liza: “Kak Aishah memang layak menang. Saya memang sudah ada firasat sejak pertandingan bermula, dia akan bergelar juara dan kita semua membesar dengan lagu nyanyiannya.”
Kembali popular
Aishah saat diusik pertanyaan tentang dirinya yang kembali popular berkata, semakin usia bertambah, semakin beliau menghargai peminat.
“Sebenarnya, saya pun tidak sangka mara sampai peringkat akhir. Masa mula-mula bertanding, rasa hanya boleh ‘bertahan’ untuk beberapa minggu sahaja. Saya tidak pernah berhenti menyanyi dan sangat terharu masih ada peminat.
“Sejujurnya, pada usia sekarang, saya amat terharu kerana bukan sahaja peminat pada zaman saya, yang muda-muda pun mula kenal siapa Aishah.
“Misalnya, kalau saya pergi masjid, ada peminat muda yang ingin mengambil gambar bersama. Sebelum GV4, itu tidak berlaku dan mereka bersahaja panggil saya ‘Aishah’ tanpa pangkalan nama kakak atau mak cik,” ujar Aishah.
Apa yang lucu, tambah Aishah, beliau tidak mahir mengendalikan akaun Instagram sehingga bertanding dalam GV4. Mendapat pertolongan daripada anaknya, Azhad Ahlami, beliau kini sudah pandai memuat naik gambar atau perkembangan terkininya.
“Saya tidak pandai memuat naik gambar di Instagram dan anak saya Azhad yang banyak memberi tunjuk ajar.
“Akaun Instagram itu memang sudah lama wujud, cuma hidup segan mati tidak mahu. Saya kira, sekarang ini perlu sentiasa belajar perkara baharu kerana ingin terus menyanyi dan tidak menghampakan peminat,” jelasnya.
Mengulas lanjut tentang perancangan kerjaya nyanyiannya selepas ini, Aishah memberitahu akan meneruskan bidang nyanyian dan sudah menerima beberapa tawaran.
“Saya tidak pernah berhenti menyanyi, cuma, sebelum ini kurang mendapat jemputan menyanyi di depan kamera. Alhamdulillah, selepas GV4 saya ada menerima tawaran, antaranya mengadakan sebuah konsert di Singapura, insya-Allah tahun depan.
Sebelum menggulung bicara, Aishah berharap dengan kemenangannya di GV4 tidak lagi membataskan ideologi muziknya untuk terus bersemi dalam arena muzik tempatan.
“Saya berharap dengan kemenangan ini, artis atau penyanyi diberi peluang untuk berkarya tanpa mengira ideologi atau prinsip hidup. Sesiapapun tidak mempunyai hak untuk menghalang seseorang daripada berfikir atau berkarya melalui muzik.
“Kita boleh menjadi bermacam-macam jenis perkara. Saya juga berharap dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan masih menyanyi, insya-Allah,” tutup Aishah.
Selain juara, pemenang tempat kedua iaitu Liza membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 serta pakej percutian ke Istanbul, Turki.
Lan Solo yang mempertaruhkan lagu Smells Like Teen Spirit (Nirvana) berpuas hati meraih tempat ketiga, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM 30,000 serta pakej percutian ke Boracay, Filipina.
Bukan itu sahaja, ketiga-tiga pemenang tersebut masing-masing menerima hadiah sebidang tanah lot banglo sumbangan Bina Megan Empire.
Tempat keempat pula dimenangi Hazami yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000, kelima dihuni Firman (RM15,000) dan keenam menjadi milik Tia Jinbara (RM10,000).
Pada konsert akhir itu juga, peserta turut diuji menyanyikan lagu battle secara duet, Aishah dan Liza Hanim (Supergirls), Lan Solo dan Hazami (Amboi) dan Firman dan Tia Jinbara (Tepi Sikit).
Berlangsung di Pinewood Studio, GV4 dikendalikan oleh pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse. Keputusan seratus peratus diadili oleh juri tetap Ramli MS dan Hetty Koes Endang serta dua juri jemputan iaitu Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Rosyam Nor.
Rendisi luar biasa Aishah mendendangkan lagu All By Myself melayakkan dirinya diangkat sebagai juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4). Bakat dan pengalaman lebih tiga dasawarsa sebagai penyanyi membuktikan idealogi muziknya masih relevan.