Terus berusaha mencipta nama di seberang, Iedil Putra mengakui tidak menggunakan pengaruh isterinya yang juga pelakon, Prisia Nasution.
Ini kerana, katanya, produksi di Indonesia turut mengenalinya sebagai aktor dari Malaysia.
"Isteri saya tak pernah buka peluang itu. Biasanya, apabila berjumpa kawan-kawan, kita hanya sekadar melepak.
"Tapi, sebenarnya ramai yang kenal saya melalui filem Interchange apatah lagi filem itu juga sempat menjelajah ke festival filem dan bertemu dengan beberapa deligasi di sana.
"Mereka sedar kewujudan saya bukanlah hanya kerana sebagai suami Prisia tetapi juga sebagai pelakon dari Malaysia," katanya.
Lantaran itu, selebriti berusia 32 tahun ini sedang berusaha untuk melebarkan sayap dalam bidang perfileman di Indonesia.
"Saya masih mengintai peluang di Jakarta. Kalau boleh, saya mahu mencuba semua dan saya masih lagi mencari peluang itu.
"Apa saja tawaran yang diberikan saya terima. Sebelum ini, saya pernah berlakon dalam telefilem dan teater.
"Ada juga tawaran berlakon sinetron panjang tetapi ia bertindih dengan jadual kerja lain. Insya-ALLAH, jika ditawarkan lagi sinetron, saya teringin mencuba," katanya.
Tambahnya lagi, keterlibatan pelakon tempatan dalam pasaran Indonesia dilihat sebagai satu langkah positif dalam industri terutama di rantau Asia Tenggara.
"Salah satu cara untuk menaikkan taraf industri adalah dengan melakukan banyak kerjasama dengan produksi luar seperti Brunei, Indonesia dan Singapura.
"Jika kita, Malaysia nak cuba lawan Hollywood, itu mungkin satu perkara yang mustahil.
"Tapi, kita akan berjaya sekiranya Asia Tenggara yang lawan Hollywood," katanya.
Dalam perkembangan lain, Iedil tampil menerusi drama bersiri yang diadaptasi daripada novel thriller popular, Mandatori.
Selain Iedil, drama bersiri enam episod ini turut dibintangi Aeril Zafrel, Siti Saleha, Alvin Wong, Amerul Affendi, Chew Kin Wah dan Vanidah Imran.
Ia menemui penonton menerusi saluran Astro First Eksklusif (480) dengan hanya RM19.10 mulai 14 Disember lalu.