Elyana Jangan ambil kesempatan terhadap saya


Hampir tiga minggu selepas mengumumkan dirinya sedang berjuang dengan penyakit kanser limfoma tahap empat, penyanyi Erneelya Elyana Emrizal atau Elyana meluahkan rasa terkilan apabila ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap keadaan dirinya.

Tidak cukup dengan dakwaan sesetengah pihak yang mengaku rakan baik penyanyi Kalis Rindu itu, ada juga beberapa peniaga produk kesihatan mendakwa Elyana kekal cergas tanpa kimoterapi kerana produk yang dijual mereka.

Berikutan itu, wanita berusia 30 tahun tersebut tampil memuat naik sebuah status dalam laman Instgramnya bagi menjelaskan hal berkenaan supaya peminat tidak terkeliru atau tersalah percaya informasi yang tidak betul.

Ketika ditemui pada majlis doa selamat dan solat hajat yang dianjurkan oleh Elyana Official Fan Club di Masjid Kumpulan Karangkraf baru-baru ini, dia berkata, tujuan memuat naik status tersebut agar tidak timbul isu berbangkit kelak.

“Saya tidak marahkan mereka, namun perlu jelaskan jika perkara itu tidak benar. Contohnya, jika ada peniaga mendakwa saya sihat kerana mengamalkan produknya dan ada orang yang percaya, andai sesuatu tidak elok berlaku ia secara tidak langsung menjejaskan nama saya.

“Berkenaan kawan baik yang saya nyatakan seperti Datin Anne Ngasri, Anita Baharom, Zuhairy dan Sherry Ibrahim yang benar-benar tahu tentang perjalanan kesihatan saya, ia sebenarnya untuk memudahkan sesiapa yang ingin bertanya tentang saya tetapi tidak dapat menghubungi saya sendiri,” katanya lagi.

Sementara itu, Elyana turut berkongsi rasa terkejut tentang ada sesetengah peminat yang mendakwa dia sebenarnya sekadar berpura-pura sakit untuk meraih simpati dan membina semula kerjayanya dalam industri.


Tipu sakit

Kata ibu kepada Cinta Sumayyah Khairul Anuar itu, dia tidak akan tergamak berbuat sedemikian, tambahan pula penyakit kansernya sudah berada pada tahap empat, bukan satu perkara main-main.

“Tidak logik untuk saya menipu tentang penyakit serius seperti ini. Ia melibatkan soal hidup mati saya. Saya mohon jangan sampai tuduh saya sehingga ke tahap itu dan sekiranya anda tidak percaya sekalipun, cukup doakan yang terbaik buat saya.

“Saya beruntung kerana seorang yang buta teknologi, jadi tidak tahu banyak hal di luar akaun media sosial dan jika saya ada terbaca perkara negatif di laman Instagram, saya akan terus menghalang mereka daripada terus mengikuti akaun saya,” ujarnya yang enggan membiarkan aura negatif mempengaruhi hidupnya.

Dalam pada itu, Elyana juga sempat menzahirkan rasa terima kasih kepada kelab peminatnya yang bersusah payah menganjurkan majlis doa selamat dan solat hajat untuk dirinya.

Sejujurnya, dia tidak menyangka ramai yang akan mendoakan kesihatannya dan semakin ramai yang menyayanginya berbanding ketika merahsiakan penyakit ini daripada pengetahuan orang.

“Jika dahulu saya hanya mendapat doa orang sekeliling sahaja, kini hampir seluruh Malaysia turut sama mendoakan kesejahteraan saya.

“Banyak hikmah yang berlaku sejak saya mengumumkan tentang sakit ini dan bersyukur kerana Allah SWT mengirimkan kumpulan peminat seperti ini,” katanya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post