
Biarpun kerjaya seninya semakin mendapat perhatian di Indonesia, Bront Palarae masih tidak terpengaruh untuk menetap di sana.
Ketia Bront Palarae menerima tawaran untuk membintangi filem seram bikin semula, Pengabdi Setan sekitar tahun lalu, pelakon berusia 39 tahun itu tidak menyangka bahawa naskhah tersebut bakal mencipta fenomena luar biasa di Indonesia dan Malaysia.
Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelakon dan tidak meletakkan sebarang penanda aras yang melampau terhadap penglibatannya pada waktu itu.
Bagaimanapun, tanpa disangka, Pengabdi Setan yang digarap semula oleh Joko Anwar itu meletuskan kegilaan, sehingga meletakkan filem tersebut sebagai antara filem popular tahun ini.
Buktinya, sejak ditayangkan pada 23 November lalu, Pengabdi Setan telah berjaya mencatat kutipan lebih RM4.8 juta di Malaysia. Di Indonesia pula, filem yang turut membariskan pelakon Tara Basro dan Ayu Laksmi itu menerima jumlah tontonan terbesar di sepanjang 2017 iaitu sebanyak 4.1 juta kali.
Bertemu pada majlis pelancaran Dewan Perniagaan Artis di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Bront turut berkongsi mengenai kerjayanya yang kini dilihat lebih condong ke negara seberang dan kebarangkalian untuk berubah angin serta menetap di Indonesia.
KOSMO!: Ketika menjalani proses penggambaran Pengabdi Setan, adakah Bront dapat mengagak filem ini akan mencetuskan fenomena baik di negara asalnya di Indonesia dan Malaysia?
BRONT: Ketika menerima skrip daripada Joko, saya tertarik dengan jalan ceritanya. Bagaimanapun, saya tidak meletakkan sebarang target memandangkan persiapan untuk filem ini hanya dilakukan selama kurang 10 hari sahaja.
Telahan saya berubah apabila kami menghadiri majlis pelancaran filem tersebut di Jakarta bulan lalu.
Apakah yang menyebabkan anda berubah fikiran?
Pada majlis tersebut, pihak media yang datang memberikan sokongan cukup ramai. Sambutan yang diberikan oleh mereka juga sangat luar biasa hebat.
Dari situ, saya sedar bahawa Pengabdi Setan versi asal merupakan sebuah naskhah ikonik yang menjadi sebutan dalam kalangan khalayak.
Saya boleh ibaratkan nilai ikonik filem tersebut sama seperti jika produksi Malaysia membikin semula filem Bukit Kepong dan Ibu Mertuaku.
Bagaimanakah penerimaan penonton Indonesia terhadap lakonan anda?
Alhamdulillah, penerimaan mereka sangat baik. Tanpa disangka, tidak berapa lama selepas filem ditayangkan, muncul tanda pagar #PengabdiBapak (merujuk pada nama watak Bront) di laman sosial.
Saya berpendapat, tanda pagar tersebut menunjukkan bahawa watak Bapak mendapat tempat dalam hati penonton.
Pada pendapat anda, adakah penonton di Malaysia masih menyambut baik filem bergenre seram?
Saya rasa penonton di Malaysia sudah bijak memilih. Lebih-lebih lagi apabila filem Munafik telah meletakkan penanda aras yang tinggi terhadap karya seram beberapa tahun lalu. Jika ada produksi yang ingin membikin filem seram, pastikan ia setaraf atau lebih baik daripada Munafik.
Apakah cabaran yang perlu anda hadapi sepanjang menjayakan filem ini? Adakah perbezaan bahasa menjadi masalah utama buat anda?
Saya boleh katakan masalah bahasa sebagai cabaran utama tidak hanya buat saya. Ia turut dialami oleh pelakon lain memandangkan bahasa yang digunakan adalah bahasa Indonesia sekitar 80-an. Mereka juga perlu mempelajari bahasa tersebut sama seperti saya.
Selepas Pengabdi Setan, anda muncul dengan sebuah lagi filem terbitan Indonesia, Ayat-Ayat Cinta 2. Dua filem ini merupakan susulan beberapa projek lain yang turut berpengkalan di Indonesia seperti Halfworlds, Headshot dan My Stupid Boss. Adakah anda merancang untuk berpindah ke Indonesia bagi memudahkan meneruskan karier di sana?
Isteri saya, Rozi Isma pernah mencadangkan supaya kami berpindah ke sana. Namun, perkara tersebut mungkin tidak akan berlaku.
Benar, saya banyak bekerja di Indonesia selepas membintangi Halfworlds tetapi selepas ini, saya akan fokus kepada tawaran di Malaysia.
Setakat ini saya juga tidak berhadapan masalah untuk berulang alik antara Malaysia dan Indonesia, jadi rasanya tidak ada keperluan buat saya berhijrah ke sana.
Bagaimanakah pula dengan masa anda dengan anak, Adeena Imani yang kini berusia 18 bulan?
Ironi, apabila kita bekerja kuat untuk menyara keluarga, kita akan jarang bertemu dengan mereka. Sejujurnya, anak saya kerap merajuk kerana kami jarang berjumpa. Walaupun sibuk, saya tetap memperuntukkan masa untuk anak dan keluarga.