Alif Satar Kongsi yang baik pun salah juga


“Saya sekadar berkongi perkara kebaikan. Terpulang sejauh mana penerimaan orang. Kalau perkara baik pun dikatakan buruk, saya tak tahu nak kata apa lagi,” kata penyanyi Alif Satar mengenai perkongsian video mengusung jenazah ketika mengerjakan umrah baru-baru ini.

Video berdurasi 26 saat yang dimuat naik di laman Instagram miliknya itu ditonton lebih 1.5 juta pengikut sejak dimuat naik pada 28 November lalu.

Namun dari 1.5 juta itu, ada segelintir yang menulis komen kurang menyenangkan hingga membuatkan Alif serba salah.

Katanya, dia tidak tahu pun rakannya merakam video ini hinggalah ditunjukkan kepadanya dan memintanya memuat naik di laman sosial.

“Pada mulanya saya menolak kerana bimbang jika orang beranggapan saya sengaja ingin menunjuk.

“Namun saya berfikir tidak salah untuk berkongsi sesuatu yang bagus. Bagi yang tidak tahu, mungkin mereka boleh buat perkara sama apabila berada di Makkah.


“Buktinya, ramai bertanya perkara ini di laman Instagram saya. Jadi, saya anggap perkongsian video ini memberikan satu informasi berguna kepada semua. Daripada 1.5 juta yang menonton, hanya 0.1 peratus yang komen negatif,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi pengalaman itu, Alif atau Muhammad Alif Mohd Satar, 27, mengakui dia sendiri baru mengetahui perkara itu ketika menunaikan umrah bersama ibu bapanya pada 23 November lalu.

Katanya, kebetulan ketika di sana dia berjumpa rakan yang bekerja di Makkah.

“Dia bertanya sama ada saya pernah solat dan usung jenazah di sana dan saya beritahu tidak pernah.

“Dia mengajak saya solat Zuhur di ruangan dimaksudkan. Ketika itu ada tujuh jenazah yang sedia untuk disembahyangkan. Alhamdulillah, saya berpeluang untuk sama merasai pengalaman ini di sana,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post