Alif, Harris, Ashraff sedia bersaing


Sewaktu Alif, Harris dan Ashraff mendaftarkan diri untuk menyertai pertandingan pencarian bakat, Hero Remaja 2017 sekitar April lalu, harapan yang tersemat dalam diri mereka hanyalah satu. Mereka mahu menyandarkan nama masing-masing sebagai anak seni dalam industri hiburan tempatan.

Begitupun, apabila melihat pada jalur industri yang kini terlalu kompetitif, memasang harapan dan impian semata-mata tidak mencukupi untuk membawa nama yang baru sahaja hendak dicanai ke peringkat yang lebih tinggi.

Bagi Alif, persediaan awal perlu dibuat dengan terperinci agar niat untuk berada dalam industri dalam senggang masa yang lama mampu untuk direalisasikan.

“Saya sedar industri hiburan di negara kita sangat kecil tetapi sarat persaingan.

“Justeru, disebabkan hal tersebut saya sentiasa berfikiran positif dan cuba sedaya upaya untuk memberi fokus sepenuhnya dengan apa yang diinginkan,” tutur Alif, atau nama lengkapnya, Alif Muhaimin Abdul Rahman memulakan bicara.

Pendedahan

Diangkat sebagai Juara Hero Remaja 2017 dan barangkali bakal meneruskan legasi juara-juara terdahulu seperti Ashraf Sinclair, Zed Zaidi dan Kamal Adli, Alif punya strategi tersendiri dalam memulakan kariernya sebagai seorang pelakon.

“Sejak kecil lagi saya menyimpan hasrat untuk bergelar pelakon. Saya menyertai pertandingan ini memang untuk mencari platform dalam bidang lakonan. Alhamdulillah, tanpa disangka, saya dinobatkan sebagai juara.

“Justeru, untuk tidak mempersiakan pendedahan sedia ada, saya menyertai bengkel lakonan yang dianjurkan oleh penggiat teater Joe Hasham.

“Menerusi bengkel yang diadakan, beliau banyak mengajar saya mengenai asas lakonan dan ia sedikit sebanyak memberi saya keyakinan untuk memulakan karier sebagai seorang pelakon,” katanya yang turut mendapat pendedahan dalam bidang pengacaraan menerusi kelas On Air selenggaran pengacara tersohor negara Datuk Aznil Nawawi.

Masih melanjutkan pelajaran dalam jurusan Aktuari Sains peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, lelaki berusia 23 tahun itu sentiasa positif jika terpaksa melalui permulaan yang sukar menerusi bidang yang digemarinya ini.

“Saya faham kebanyakan artis yang ada sekarang mengambil masa untuk dikenali. Sejujurnya, saya tidak mempunyai masalah jika rezeki masih belum sampai.

“Asalkan saya tidak berputus asa dan sentiasa mahu mencuba sesuatu yang baharu dalam kerjaya untuk masa akan datang,” katanya.



Berguru

Mengikut rentak Alif mendapatkan tunjuk ajar daripada figura berpengalaman dalam industri, Harris, 24, pula selesa untuk berguru dengan pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) bagi filem Azura, Ali Setan dan Puteri, aktres Fauziah Ahmad Daud.

Menurut pemilik nama penuh Mohammad Harris Shahrul Annuar itu, selain nilai kredibiliti yang ada dalam diri Fauziah, cara pengajarannya juga dirasakan unik dan mampu meninggalkan kesan yang mendalam.

“Kak Ogy (nama panggilan mesra Fauziah) mengajar saya menerusi pembacaan puisi. Menerusi kelas beliau, saya diberi sebuah puisi untuk dikaji. Kemudian, saya diminta untuk bermonolog berdasarkan bait-bait puisi tersebut.

“Pada pendapat saya, cara tersebut sangat berkesan kerana ia membantu saya untuk menjiwai watak dan skrip dengan mudah,” ujar Harris.

Ditanya siapakah yang memberi cadangan kepadanya untuk menuai ilmu daripada Fauziah, Harris berkata, kesedaran tersebut datang daripada dirinya sendiri.

“Saya sanggup untuk keluarkan duit bagi mengikuti kelas yang dikelolakan oleh Kak Ogy kerana mahu dilihat berilmu apabila dipanggil pihak produksi untuk berlakon,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2017 ini baru sahaja selesai menjalani penggambaran bagi sebuah episod untuk drama bersiri Gerak Khas terbitan Skop Production.

Memegang watak antagonis, Harris bagaimanapun mahu cuba mengubah persepsi khalayak yang sering mengaitkan imej botak sepertinya dengan karakter jahat.

“Tidak seperti karya Hollywood, jarang kita lihat watak utama atau hero digalas oleh pelakon berimej botak.

“Jika diberi peluang, saya mahu mencuba watak-watak lain selain watak antagonis,” tuturnya.

Mengacara

Jika Alif dan Harris bercita-cita mahu meluaskan gawang karier masing-masing dalam bidang lakonan, minat Ashraff atau nama sebenarnya, Mohammed Ashraff Md. Moghni lebih condong ke arah bidang pengacaraan.

Bagaimanapun, ada satu perkara yang menyebabkan jejaka berusia 24 tahun itu sedikit berbolak-balik dengan cita-citanya.

“Sebenarnya, saya tidak boleh menyebut perkataan yang mempunyai huruf R dengan betul. Ketika di sekolah, saya sering diejek kerana kelemahan itu.

“Namun, selepas menyertai Hero Remaja, saya berpendapat ia bukanlah satu kekurangan. Sebaliknya, ia adalah satu keistimewaan yang perlu saya banggakan,” katanya.

Sungguhpun sedikit ralat kerana tidak berjaya ke pusingan akhir, Ashraff tetap komited dengan cita-citanya untuk bergelar pengacara.

Bersemuka sendiri dengan Aznil dan meminta kebenaran untuk mengikuti kelas On Air bersama Alif, Ashraff kini mengakui teruja mempelajari perkara-perkara baharu menerusi kelas yang disediakan.

“Menerusi kelas tersebut, saya banyak belajar tentang cara berkomunikasi dengan betul. Dalam masa yang sama, saya juga diberi pendedahan tentang teknik kawalan vokal supaya apa yang dilontarkan mudah difahami khalayak.

“Saya berharap agar ilmu ini dapat dimanfaatkan jika saya diberi peluang untuk mengendalikan sebarang program televisyen pada masa akan datang,” tutup Ashraff.

Trio wajah baharu, Alif, Harris dan Ashraff menjadikan pertandingan Hero Remaja 2017 sebagai platform untuk mengembangkan bakat dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

Post a Comment

Previous Post Next Post