Farah Nabilah mengaku masa bersama keluarga semakin berkurangan selepas kerjaya seninya mendapat perhatian.
Lakonan sebagai seorang isteri teraniaya yang menyentuh hati penggemar drama popular, Titian Cinta menerusi slot Akasia baru-baru ini telah melonjakkan nama pelakon Farah Nabilah.
Wanita yang memiliki rupa paras menarik itu bukan sahaja berjaya membawa watak tersebut dengan berkesan di layar televisyen tetapi nama Aisy meniti di bibir peminat sehingga hari ini.
Begitupun, ramai yang tidak mengetahui pemilik nama sebenar, Farah Nabilah Saipuddin itu bukan sahaja berbakat besar dalam lapangan lakonan, malah mempunyai minat terhadap bidang kulinari.
Pelakon drama Papa Ricky berusia 25 tahun itu tidak menafikan akan memilih bidang masakan berbanding lakonan jika diberi pilihan.
KOSMO!: Bagaimana kehidupan Farah selepas kemunculan dalam drama Titian Cinta mendapat sambutan positif dalam kalangan peminat?
FARAH NABILAH: Tidak dapat dinafikan lakonan sebagai Aisy dalam drama berkenaan banyak memberi impak kepada kehidupan saya bergelar anak seni.
Bahkan, jadual harian saya semakin padat dengan pelbagai undangan termasuk daripada media massa dan elektronik apabila mula dikenali melalui lakonan dalam drama berkenaan.
Alhamdulillah, pintu rezeki semakin terbuka luas.
Adakah anda menjangka akan mendapat sambutan menggalakkan sehingga melonjak nama apabila memegang watak Aisy dalam drama Titian Cinta?
Dalam drama berkenaan saya membawa watak seorang wanita desa yang merupakan isteri dianiaya suami tercinta. Saya sama sekali tidak sangka ia akan mendapat sambutan menggalakkan daripada khalayak.
Bahkan pada mulanya, saya sendiri tidak begitu yakin dan mempunyai keberanian untuk membawa watak berkenaan kerana ia agak berat terutama apabila terdapat banyak babak-babak memerlukan penghayatan jiwa.
Begitupun, saya nekad untuk mencabar diri untuk memegang watak berkenaan. Kalau tidak mencuba sesuatu yang baharu, kita tidak tahu kemampuan diri dalam membawa watak tersebut.
Selain daripada drama Titian Cinta, anda juga terlibat dalam drama Papa Ricky sebanyak 80 episod. Boleh ceritakan pengalaman berlakon dalam sebuah drama yang begitu panjang?
Biarpun ia merupakan pengalaman baharu dalam penggambaran drama sebanyak 80 episod tetapi apa yang memberi kesan kepada saya adalah tempoh masa bersama keluarga dan sahabat-sahabat semakin terhad.
Selain itu, saya mendapati berat badan juga menurun apabila berlakon dalam drama berkenaan. Banyak juga sahabat yang bertanya kenapa saya semakin kurus.
Difahamkan, anda bukan sahaja meminati lakonan tetapi memiliki bakat terpendam dalam bidang masakan. Kalau diberi pilihan, bidang mana yang ingin anda ceburi?
Saya berharap akan dapat mengendalikan program masakan sendiri dalam masa terdekat. Hal ini kerana saya gemar mencuba masakan baharu, malah tiada pengkhususan untuk memasak dalam diari saya.
Selain daripada bidang lakonan dan masakan, bagaimana pula dengan jodoh anda?
Buat masa ini, jodoh tiada lagi. Nanti kalau sudah ada jodoh, kita sembang semula.