Adik-Beradik - Biarpun sudah membawa haluan masing-masing, Lan tetap mendoakan Kristal berjaya kerana telah menganggap mereka seperti adik-beradik.
Bermula sebagai peserta bukan pilihan, siapa menyangka penyanyi yang kini disapa sebagai Lan Solo dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang berakhir minggu lalu.
Dalam pertandingan tersebut, selain memecah kepompong lazim penyanyi rock ‘kampung’, Lan atau nama sebenarnya, Mohd. Razlan Mohamed Yusuf turut diuji kontroversi pengunduran daripada band, Kristal. Isu tersebut ternyata membuahkan beragam emosi kepada peminat mereka.
Masakan tidak, Lan dan Kristal dilihat seperti sepasang kekasih. Lagu-lagu mereka seperti Seragam Hitam, Delaila dan Resam Pak Belalang misalnya telah meletakkan nama Kristal sebagai sebuah band generasi baharu yang utuh.
Bagaimanapun, pada usia 18 tahun ‘perkahwinan’ mereka, badai melanda. Hanya kerana kelonggaran komunikasi, Kristal tidak lagi diperjuangkan.
Sebaik pemain gitar utamanya, Rody bersama anggota Kristal yang lain iaitu Gg (gitaris kedua), Kechiq (bass) dan Acap (dram) mengumumkan menerusi laman sosial akan merehatkan dirinya daripada perjuangan mereka, Lan turut mengambil keputusan untuk berundur.
Dia sudah membulatkan hasrat untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi solo. Hatinya masih sebak menerima hakikat sebuah perjuangan band yang dimulai sejak zaman mereka masih remaja harus diakhiri dengan perpisahan kurang menyenangkan.
“Sebenarnya, saya sudah tidak mahu komen tentang hal ini. Saya sudah mengeluarkan kenyataan sudah undur diri daripada Kristal. Bagaimanapun, itu tidak bermakna kami bermusuh.
“Saya doakan yang baik-baik sahaja untuk mereka. Saya berharap mereka juga mendoakan yang terbaik buat saya. Saya perlu bekerja keras untuk menampung keluarga.
“Kalau sudah tertulis rezeki saya sampai di situ bersama Kristal, tiada apa yang boleh saya lakukan,” ujar Lan, 32, ketika ditemui Kosmo! usai konsert akhir GV4 di Pinewood Studios, Johor Bahru.
Berat hati
Kata Lan lagi, berat hatinya untuk berpisah dengan anggota Kristal yang lain. Namun baginya, nasi sudah menjadi bubur dan perjuangan harus diteruskan demi kelangsungan portfolio sebagai penyanyi.
“Saya sayangkan Kristal. Kalau tidak percaya, dalam beg duit masih ada lagi gambar Kristal dan di cermin kereta juga masih ada pelekat Kristal.
“Mana mungkin hampir 20 tahun bersama, saya dengan mudah melupakan mereka. Saya masih ingat dulu kami berkongsi bilik tidur dan bantal bersama. Hubungan kami rapat seperti adik-beradik. Namun apabila isu ini timbul, lebih baik saya buat haluan sendiri,” jelas Lan.
Lan memanjangkan bicara dengar berkata, isu tersebut boleh diselesaikan secara baik andai Kristal tidak bertindak melulu membuat pengumuman merehatkan dirinya daripada bangku vokalis di laman sosial Facebook dan Instagram.
“Saya amat terluka disebabkan tindakan tersebut. Sudahlah saya bertanding di GV4, mereka tidak pernah sekalipun datang menyokong. Sekarang zaman teknologi, kenapa tidak telefon atau WhatsApp sebelum membuatkan pengumuman ingin merehatkan saya?” persoalnya.
Akui Lan, tidak pernah terlintas di dalam hatinya untuk meninggalkan Kristal. Menyertai GV4 juga bukan sebagai lorong untuk dia bergerak solo tetapi ia dilakukan untuk menguji kemampuan diri yang hanya memakan masa sekitar lapan minggu.
“Saya tidak pernah berniat untuk keluar daripada Kristal. Penyertaan saya dalam GV4 secara solo sampai bulan Disember sahaja dan saya minta pemahaman daripada mereka, namun lain yang jadi,” terang Lan.
Ditanya sama ada masih mempunyai keinginan untuk ‘bercantum’ semula dengan Kristal pada masa hadapan, Lan menjawab: “Macam orang berkahwin, pengunduran saya daripada Kristal boleh diibaratkan hanya talak satu. Namun, saya tidak boleh menjanjikan apa-apa.
“Kita tengoklah rezeki pada masa akan datang bagaimana. Apa pun, saya doakan yang terbaik untuk Kristal dan saya pula perlu fokus dengan perjalanan sebagai artis solo selepas ini.”
Fesyen, persediaan
Jika diamati sejak bermula GV4, Lan melalui perubahan fesyen yang boleh dikategorikan sebagai agak luar biasa. Berbanding sebelum ini dirinya tebal dengan imej rock kapak, penampilannya dalam pertandingan tersebut nampak lebih tersusun dan trendy.
Menjelaskan hal itu, Lan berkata, dia memang ingin sesuatu kelainan sejak menjejakkan kaki pada pertandingan tersebut demi para peminatnya.
“Alhamdulillah, orang nampak usaha saya untuk berubah. Sejak bermula GV4, memang saya amat tekankan perhatian dari segi fesyen kerana mahu tonjolkan kelainan.
“Saya merancang ingin beri apa yang orang suka. Itu motif saya masuk GV4. Saya terharu orang nampak perubahan itu,” katanya.
Melanjutkan bicara, dia sudah bersedia untuk melancarkan kerjayanya sebagai penyanyi solo secara mental dan juga fizikal.
“Sejak mengundurkan diri daripada Kristal, saya nekad untuk buat yang terbaik. Tidak kisah andai saya perlu bermula dari bawah seperti 18 tahun lalu.
“Saya bekerja keras demi keluarga dan rela berkorban apa sahaja untuk mencari sesuap rezeki. Insya-Allah, saya bersedia untuk dikenali sebagai penyanyi solo,” katanya yang merancang untuk muncul dengan single solo genre rock balada.
Sebelum menggulung perbualan, Lan berharap percubaan solonya tidak lagi menjadi isu atau kontroversi buat mana-mana pihak.
“Isu sudah selesai. Saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Kristal dan saya mengharapkan yang sama untuk kerjaya saya selepas ini sebagai penyanyi solo.
“Perjuangan harus diteruskan dan kalau diberi kebenaran menyanyikan lagu popular Kristal untuk persembahan pentas, saya tetap akan menyanyi. Buat masa sekarang inilah jalan yang saya pilih,” tutur Lan.
Seperti seorang kekasih yang masih lagi setia kepada mantannya, begitulah hati Lan yang tidak berganjak mencintai Kristal, band yang membesarkan namanya dalam lapangan hiburan. Kini memakai nama Lan Solo selepas pergeseran mereka sehingga membuatkan dia mengambil keputusan membawa diri, vokalis berusia 32 tahun itu bercerita tentang masa silam dan perancangan terkininya.