Bergelar guru muzik di sebuah sekolah rendah di Shah Alam, Selangor, penyanyi baharu yang mesra disapa sebagai Cikgu Meera itu menyimpan harapan menggunung agar bakat seninya diterima umum.
Muncul dengan single perdana berjudul Oh Sayangku, siapa sangka selepas tular menerusi aplikasi karaoke Smule, wanita berusia 25 tahun itu dilamar menjadi artis rakaman bawah syarikat Jayy Production.
“Sudah ada peluang, jadi saya perlu mencuba nasib untuk menjadi penyanyi. Bagaimanapun, kerjaya sebagai seorang guru muzik tetap menjadi keutamaan,” ujar pemilik nama sebenar Nur Ameera Nabila Azmi itu pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Oh Sayangku merupakan karya ciptaan Eddie Hamid, manakala lirik pula tulisan Nur Hakim.
Kata Cikgu Meera, bukan populariti yang mendesaknya untuk bergelumang dalam dunia nyanyian tetapi kecenderungan tersebut lebih terhadap perkongsian bakat dengan orang ramai.
“Saya melibatkan diri dalam bidang ini kerana memang suka menyanyi sejak kecil, bukan berniat untuk mengejar populariti.
“Tanggungjawab paling besar sekarang adalah mengajar murid-murid di sekolah berkenaan ilmu muzik. Sebagai seorang guru, saya perlu menjaga imej dan reputasi diri serta sekolah yang diwakili,” katanya.
Baru bergelar guru selama empat bulan, ujar Cikgu Meera, niat bergelar penyanyi arus perdana juga disokong oleh pelajarnya. Bahkan ada dalam kalangan mereka yang benar-benar mahu Cikgu Meera meneruskan minat dalam bidang muzik.
“Ada yang menjadikan saya sebagai idola. Saya juga akan memberikan didikan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan cita-cita dalam bidang muzik.
“Bukan semua orang sukakan muzik. Di Malaysia juga, masih ada segelintir ibu bapa yang memandang serong terhadap bidang ini. Mereka sebaliknya mahu anak-anak berkecimpung dalam bidang yang kurang diminati,” jelas Cikgu Meera yang amat meminati penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Ditanya soal pembahagian masa antara kerjaya sebagai guru muzik dan penyanyi, Cikgu Meera berkata, dia hanya akan menerima tawaran menyanyi selepas selesai mengajar di sekolah.
“Biasanya saya akan menyanyi atau menerima tawaran menyanyi pada hujung minggu. Pada hari biasa, saya fokus terhadap tanggungjawab sebagai guru.
“Tidak mungkin saya akan meninggalkan kerjaya sebagai guru muzik kerana ini adalah impian terbesar saya dalam hidup,” kata graduan Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Perak tu.
Bercakap lanjut mengenai Oh Sayangku, ia merupakan sebuah karya yang cukup sinonim dengan jiwanya bahkan mempunyai kaitan dengan kehidupan peribadi dan kerjayanya.
“Lagu ini tentang kecintaan mendalam seseorang individu selepas ditinggalkan kekasih dan berharap kekasih itu akan kembali kepadanya.
“Jika dibandingkan dengan lagu-lagu masa kini, single ini ada kelainan dari segi keindahan melodinya yang melankolik dan kematangan garapan lirik.
“Tidak hanya itu, saya turut menekankan aspek vokal selain susunan muzik yang lebih moden dan bercita rasa alaf kini,” tuturnya menutup bicara.