Foto kemesraan Nabila dan Aedy yang dimuat naik dalam media sosial menimbulkan pelbagai spekulasi tentang status perhubungan mereka.
Tindakan penyanyi baharu, Nur Nabila Razali memuat naik gambar berdua dengan pelakon, Aedy Ashraff baru-baru ini mengundang pelbagai persepsi peminat tentang status sebenar perhubungan mereka.
Sepintas lalu, foto yang dirakam kelihatan sangat mesra, ditambah pula dengan kapsyen yang diletak oleh pelantun lagu Pematah Hati itu hanya sebuah simbol hati. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa mereka sedang bahagia.
Benarlah kata orang, sekeping gambar membawa seribu makna, namun wanita berusia 25 tahun itu tidak cepat berasa gelabah dan dengan pantas memberitahu, setakat ini belum ada perasaan istimewa wujud antara mereka berdua.
Hanya kawan dan masih mengenali antara satu sama lain, itu sahaja kenyataan terbaik yang dirasakan oleh Nabila berkenaan gosip bahawa dia dan Aedy kini sedang dilamun cinta.
KOSMO!: Bagaimanakah anda dan Aedy mula berkenalan?
NABILA: Hubungan kami baru bermula. Saya mula berkawan dengannya sekitar sebulan lepas di laman Instagram selepas saya menegurnya di ruang komen.
Saya sudah lama mengetahui bahawa dia seorang pelakon, namun tidak pernah berkenalan secara berdepan walaupun selepas saya bergelar penyanyi.
Saya sendiri lupa bagaimana kami boleh berkawan, tahu-tahu sudah mula berhubungan menerusi telefon.
Apakah tujuan sebenar anda memuat naik gambar berdua dengan Aedy?
Sebenarnya saya tidak berfikir panjang ketika memuat naik gambar itu, maksudnya dari segi komen peminat dan juga kemungkinan akan digosipkan bercinta.
Ini kerana pada pandangan saya pada waktu itu, saya lihat ia sekeping gambar yang cantik dengan gabungan warna yang lawa jadi saya terus muat naik di laman Instagram.
Tiada niat untuk memberikan apa-apa tanda atau membuatkan peminat tertanya-tanya.
Jadi, anda dan Aedy tidak bercinta seperti yang dikatakan?
Belum, hubungan kami masih terlalu baharu dan rasanya masih awal untuk bercakap tentang cinta.
Saya selesa berkawan dengan Aedy kerana dia seorang yang sangat baik, pandai mengambil hati dan periang.
Saya terkejut mengapa gambar dengan Aedy jadi isu kerana saya pernah juga bergambar dengan pelakon lain sebelum ini.
Mengapakah anda meletakkan kapsyen simbol hati dan menutup ruang komen?
Bagi saya, simbol hati itu mewakili kecantikan gambar itu secara keseluruhan dan bukan fokus kepada Aedy sahaja. Bagi tindakan menutup ruang komen pula, saya mahu mengelakkan peminat bergaduh di situ, sekali gus merosakkan momen yang baik dalam hidup saya.
Jika dilihat pada gambar itu, kedudukan anda dengan Aedy kelihatan sangat mesra. Tidakkah anda berasa ia boleh merosakkan reputasi sebagai selebriti bertudung?
Gambar itu menunjukkan posisi saya seperti duduk rapat dengan Eady tetapi sebenarnya saya berada di hadapan dan masih ada ruang di antara kami.
Cuma apabila dilihat, dalam gambar ia seperti bersandar pada Aedy. Apa yang penting saya tahu kedudukan yang sebenar dan masih tahu menjaga batas dengan orang lelaki.
Biarpun sudah digosip bercinta, mengapa anda memilih untuk tidak memadam foto tersebut dan membiarkan sahaja ia di halaman Instagram anda?
Gambar itu tidak salah, ia sekeping gambar yang bagus dan cantik. Mungkin ada orang yang salah tafsir dengan gambar itu tapi bagi saya, ia kenangan yang saya mahu simpan dan kekalkan dalam diari media sosial saya.
Adakah anda akan lebih berhati-hati untuk memuat naik gambar dengan Aedy atau mana-mana jejaka selepas ini?
Saya pun tidak tahu kerana saya memuat naik gambar secara spontan dan bukan kerana mahu menunjuk sesuatu. Saya sendiri tidak tahu bagaimana masa depan hubungan dengan Aedy, kalau berpanjangan, alhamdulillah. Buat masa sekarang, kami okey berkawan sahaja dan tidak terlalu berfikir soal cinta lagi.